Thursday, March 28, 2013

RM1,000 untuk penduduk 5 kampung Lahad Datu

Wang ihsan RM1,000 untuk penduduk 5 kampung Lahad Datu
LAHAD DATU - Seramai 370 penduduk dari lima kampung yang terjejas akibat insiden pencerobohan pengganas Sulu, menerima bantuan wang ihsan RM1,000, sumbangan kerajaan persekutuan hari ini.

Sumbangan kepada ketua keluarga dari Kampung Sungai Bilis, Kampung Sungai Merah, Kampung Lok Sambuang, Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian itu disempurnakan anggota Dewan Undangan Negeri Tungku Datuk Mohd Suhaili Said di perkarangan pejabat urusetia daerah kecil Tungku, dekat sini.

Hadir sama Pegawai Daerah Lahad Datu Zulkifli Nasir dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara bagi Sabah Rodzi Md Saad.

Mohd Suhaili dalam ucapannya berkata walaupun sumbangan itu tidak dapat mengembalikan segala kerugian yang ditanggung penduduk berkenaan, tetapi sedikit sebanyak, tentunya mampu membantu mengatasi kesusahan yang ditanggung.

"Pemberian ini ialah manifestasi tanda kasih sayang dan keprihatinan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada rakyat walau kita tahu jumlah yang diberi kecil berbanding penderitaan yang dialami penduduk," katanya.

Pemberian wang ihsan itu ialah sebahagian daripada tiga bentuk bantuan yang diumum Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 12 Mac lepas bagi membantu penduduk tempatan yang menjadi mangsa akibat insiden pencerobohan itu.

Selain bantuan ihsan wang tunai RM1,000 kepada setiap keluarga, kerajaan turut menyediakan bantuan pembinaan semula rumah yang musnah dengan kos setiap rumah RM50,000 serta pembaikan kecil untuk rumah yang rosak, dan penjadualan semula bayaran pinjaman kepada penduduk yang berniaga dan meminjam daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tabung Ekonomi Usahawan Nasional (Tekun Nasional) dan Amanah Ikhtiar.

Mengenai Kampung Tanduo yang ditutup daripada menjadi kawasan kediaman, Mohd Suhaili berkata semua penduduk akan ditempatkan sementara di Projek Perumahan Rakyat Masej Nala, kira-kira 60 kilometer dari kampung itu, dan tanah kampung berkenaan diserah untuk pembangunan Kawasan Keselamatan Khas Sabah (Esscom).

"Bagi penduduk yang memiliki tanah, mereka tidak perlu bimbang, kami tahu perumahan rakyat itu tidak sepadan dengan apa yang mereka miliki sebelum ini tetapi itu hanya sementara, kerajaan akan sediakan petempatan baharu yang bertanah untuk mereka selepas ini," katanya.

Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib memaklumkan bahawa Kampung Tanduo, yang menjadi kubu kumpulan militan, ditutup ekoran terjejas teruk dalam insiden pencerobohan itu.

Mohd Suhaili berkata satu kajian juga akan dijalankan bagi mengenal pasti petempatan baharu untuk penduduk kampung yang terjejas dalam insiden pencerobohan itu.

Mohd Suhaili yang juga pengerusi Majlis Agama Islam Sabah berkata kajian yang dijangka siap dalam tempoh tiga bulan itu penting bagi membolehkan kerajaan menyusun semula petempatan masyarakat kampung yang terjejas.

"Dalam kajian itu, pegawai daerah akan menentukan 120 hektar tanah untuk petempatan baharu di tanah kerajaan bagi membina kawasan perumahan dan pekan yang mampu merancakkan aktiviti sosioekonomi penduduk dan secara tidak langsung dapat membasmi kemiskinan penduduk kampung," katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata kerajaan sedang mempertimbang untuk menempatkan penduduk dari Kampung Tanjung Batu dan Tanjung Labian di satu petempatan baharu yang akan diputuskan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun katanya pembangunan kawasan petempatan baharu itu yang akan dilengkapi dengan kemudahan asas seperti klinik kesihatan, surau dan tadika memerlukan sedikit masa untuk disiapkan.

- Bernama

Apa selepas PRU13?

Ketika artikel ini ditulis dan disiarkan, Dewan Rakyat masih berbaki empoh sebulan lebih untuk terbubar secara automatik. Masih ada dalam kalangan kita terkeliru di antara Parlimen dan Dewan Rakyat. Parlimen sebenarnya merujuk kepada dua dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Tetapi apabila sudah terbiasa menyebabkan ramai yang menganggap Parlimen itu Dewan Rakyat dan Dewan Rakyat itu Parlimen.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah Malaysia apabila Parlimen dibiarkan lanjut sehingga menghampiri tempoh matangnya. Banyak telahan dibuat seperti BN takut partinya kalah,BN sedang mengatur strategi dan sebagainya.

Terdapat juga yang mengatakan bahawa BN mahu melaksanakan sehabis mungkin segala inisiatif dan dasar transformasi yang dibawa oleh YAB Datuk Seri Najib Tun Razak. Pilihanraya umum kali ini diakui ramai bahawa akan menjadi paling sengit. Hal ini kerana PAS, DAP dan PKR di dalam Pakatan Rakyat (PR) tidak lagi berperangai seperti parti pembangkang biasa.

Mereka sudah tekad dan mula menunjukan diri mereka sebagai kerajaan dalam penantian selepas mereka Berjaya menafikan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat. Selepas pilihanraya umum 2008 yang dianggap sebagai “tsunami politik”, Barisan Nasional (BN) sudah mula mempercayainya bahawa selepas 2008, mereka berkemungkinan akan menjadi parti pembangkang pada masa akan datang.

Hikmah daripada “tsunami politik 2008”, Malaysia mula menuju ke arah dimensi politik baru. Malaysia sudah ke arah mengamalkan sistem dua parti iatitu BN dan PR. Kini, pada tahun 2013, buat pertama kalinya parti-parti pembangkang seperti PAS, DAP dan PKR akan turun ke gelanggang pilihanraya sebagai satu muafakat politik di bawah nama PR. Adapun begitu, masih terdapat parti-parti lain yang boleh menjadi seperti PSM, KITA, Berjasa dan lain-lain boleh dikategorikan mewakili suara ketiga dalam politik Malaysia. Namun begitu, saya merasakan berkemungkinan Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan menyertai PR.

Parti-parti politik dan NGO yang lain sekadar tidak memberi apa-apa impak. Bahkan apabila saya membaca berita bahawa Ikatan Muslim Malaysia (ISMA) akan bertanding di dalam pilihanraya umum ke-13 ini menggunakan logo parti Berjasa serta Gerakan Mahasiswa13(GE13)mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Pekan, saya rasa kedua-dua pihak ini hanya menyibuk dan memanaskan suasana pilihanraya sahaja. Walaubagaimanapun, di ambang pilihanraya umum ke-13, suasana sememangnya makin panas dan menarik.

Dasar BN dan PR

Setakat ini, BN belum mengeluarkan apa-apa manifesto pilihanraya. Tetapi PR telah bertindak lebih awal dengan mengumumkan manifesto mereka. Saya telah pun membaca manifesto PR beserta dengan Buku Jingga yang mereka pernah tonjolkan sebelum ini.

Secara peribadinya, saya melihat manifesto pilihanraya PR merupakan kesinambungan daripada Buku Jingga. Pemimpin-pemimpin PR mendakwa kebanyakan idea dan dasar PR telah ditiru oleh parti pemerintah BN. Saya memerhati sedikit sebanyak manifesto PR. Kebanyakannya relevan namun adakah semua dasar ini akan dilaksanakan dengan jayanya selepas PR membentuk kerajaan persekutuan?.

Saya tidak mahu bincang manifesto PR di sini. Anda semua boleh baca dan menilai sendiri. Seharusnya politik negara kita perlu bergerak dengan lebih matang dan professional. Ini adalah satu perkara positif apabila kedua-dua gabungan parti politik ini memperkenalkan gagasan masing-masing demi kesejahteraan rakyat.

Apa Selepas PRU13?

Saya tidak mahu membuat ramalan parti manakah yang bakal menguasai Putrajaya nanti. Walaupun saya sudah mendapat sedikit gambaran mengenainya tetapi biarlah ramalan itu terus menjadi ramalan sehingga pada hari mengundi nanti. Sebagai rakyat Malaysia, saya cuma berharap politik Malaysia akan berubah. Politik Malaysia perlu melakukan anjakan paradigm.

Amalan politik fitnah dan politik lucah mesti dihentikan segera. Saya berharap tidak ada lagi mana-mana pihak yang membaling cat, telur, batu serta menganggu majlis orang. Saya juga mahu badan-badan penguatkuasa seperti polis bertindak dengan professional.

Pihak yang berjaya menguasai Putrajaya nanti haruslah betul-betul membela dan memperjuangkan kepentingan rakyat. Tiada lagi rasuah, kronisme, nepotisme dan segala perkara keji dan mungkar di dalam politik pentadbiran. Manakala pihak yang kalah harus redha.

Jangan pula nanti ada parti politik membuat huru hara terutamanya bagi parti yang sudah lama memerintah dan tetiba meroyan kerana kalah. Jika merasakan bahawa pilihanraya itu penuh dengan penipuan dan penyelewengan maka ia harus di bawa ke muka pengadilan.

Sebab itu, tanpa segan-silu, saya menyokong 10 tuntutan BERSIH. Pilihanraya kita masih ada keraguan dan perlu ditajdidkan demi kebaikan negara. Seperkara lagi, budaya politik pasca pilihanraya umu ke-13 mesti berubah. Tiada lagi istilah “kuda tunggangan”, “balaci”, “macai”, “pencacai”, “alat”, “ejen” dan sebagainya.

Oleh Abdul Muiz Azmi (DD)

500 Rumah Atas Air Musnah Dalam Kebakaran Di Sepanggar



Hampir 500 rumah atas air musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Numbak, Sepanggar, dekat sini Rabu.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata tujuh jentera bersama hampir 50 anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 7.09 malam.

Beliau berkata pihaknya menghadapi kesukaran untuk memadamkan api disebabkan kedudukan rumah papan di situ yang rapat.

"Bila anggota bomba sampai, hampir keseluruhan perkampungan atas air itu sudah musnah terbakar," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Mohd Affendy berkata anggota bomba berjaya mengawal keadaan pada 10 malam.

Katanya setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.

Sementara itu, anggota Dewan Undangan Negeri Karambunai Datuk Jainab Ahmad berkata Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) bersama pelbagai agensi kerajaan termasuk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Umno Sepanggar telah mengagih-agihkan bantuan segera terutama makanan dan barang keperluan lain kepada mangsa kebakaran itu.

"Saya selaku wakil rakyat di sini akan memastikan segala keperluan terutama makanan diberikan kepada mangsa tersebut. Malam ini, saya sendiri akan turut serta mengagih-agihkan baju dan tilam kepada mangsa," katanya kepada Bernama.

Jainab yang juga Pembantu Menteri, Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat berkata jumlah penduduk yang terjejas dengan kebakaran itu mencecah 2,000 orang dan majoriti mangsa ditempatkan di Dewan Serba Guna Kampung Likas, balai raya Kampung Numbak dan SK Kebagu.

"Ada juga mangsa yang tinggal di rumah saudara mereka, dan kami merancang untuk memindahkan mangsa yang ditempatkan di SK Kebagu ke Dewan Masyarakat Menggatal pada hujung minggu sebelum sesi persekolahan dibuka Isnin depan," katanya. - BERNAMA

Simpati Mahasiswa Terhadap Isu Lahad Datu Dikhianati

Dalam fatrah semua rakyat Malaysia bersimpati atas apa yang terjadi di Lahad Datu akhirnya dikhianati oleh segolongan manusia yang mempunyai kepentingan politik.

Dengan berselindung atas nama ‘Taklimat Isu Keselamatan Lahad Datu’, pihak tersebut menyelinap masuk ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi menyebarkan doktrin politik yang tidak matang.

Taklimat yang diadakan petang semalam (27 Mac 2013) sepatutnya menjadi medium informasi tentang Lahad Datu akhirnya bertukar wajah menjadi medium untuk memfitnah beberapa pimpinan Pakatan Rakyat dan juga mahasiswa.

Hal ini sangat mendukacitakan, walaupun mahasiswa bebas berpolitik akan tetapi bukan bermaksud universiti menjadi lubuk bagi menghamburkan fitnah dan tohmahan kepada Pakatan Rakyat atau yang lebih tepat ‘Agenda Pembodohan Mahasiswa.'

USIM adalah sebuah IPTA yang menjadi kebanggaan rakyat Negeri Sembilan khususnya, lebih-lebih lagi menjadi lambang sebuah institusi terulung yang melahirkan para dai dan cendekiawan Islam.

Sekiranya USIM dijadikan tempat untuk membodohkan mahasiswa, pihak tersebut bukan sahaja telah mencemarkan nama baik USIM malah mengkhianati harapan rakyat Negeri Sembilan. Yang lebih teruk, mereka telah mempergunakan nama perwira Lahad Datu untuk kepentingan politik.

Saya mendesak agar pihak yang terbabit memohon maaf secara terbuka dan membersihkan segala fitnah yang dilemparkan. Dan pihak pentadbiran universiti mesti bertanggungjawab terhadap penganjuran taklimat tersebut.


Nor Azman Mohamad
Ketua Penerangan Pas Negeri Sembilan

Tarikh akhir pembubaran Parlimen 30 April

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mperjelaskan bahawa tarikh sebenar pembubaran Dewan Rakyat secara automatik ialah pada 30 April dan bukan 28 April seperti yang banyak dilaporkan sebelum ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ini berikutan tarikh 28 April itu jatuh pada hari Ahad.

Beliau berkata tempoh matang dibawa ke hari Isnin, 29 April dan Dewan Rakyat akan terbubar secara automatik pada tengah malam hari itu bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 diadakan sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.

"Perubahan tarikh itu adalah berdasarkan peraturan yang ditetapkan SPR dan disahkan oleh bahagian undang-undang suruhanjaya ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

"Ini adalah pengiraan yang dibuat oleh bahagian undang-undang SPR di mana ada tarikh-tarikh cuti yang tidak boleh dikira," katanya.

Sebelum ini, banyak pihak membuat andaian bahawa Dewan Rakyat sepatutnya terbubar sendiri pada 9 Mac lepas berikutan PRU ke-12 diadakan pada 8 Mac 2008.

Bagaimanapun, tarikh cukup tempoh satu penggal atau lima tahun pilihan raya umum dikira berdasarkan tarikh hari pertama Dewan Rakyat bersidang selepas pilihan raya umum diadakan, bukan berdasarkan tarikh pilihan raya berlangsung.

Dewan Rakyat bersidang buat kali pertama pada 28 April 2008, iaitu 51 hari selepas tarikh PRU ke-12. - Bernama

Taktik kotor, rakyat semakin memilih Pakatan Rakyat

Menjelang pilihanraya umum ke 13 ini, PKR ingin memaklumkan rakyat bahawa mereka hendaklah bersedia menghadapi pilihanraya umum yang paling kotor dalam sejarah negara. Di sebalik keyakinan yang cuba ditonjolkan pemimpin UMNO melalui media arus perdana, wujud kekhuatiran yang ketara di kalangan pemimpin tertinggi BN.

Selain dari manipulasi dan pengawalan maklumat melalui media arus perdana, jentera kerajaan disalahgunakan untuk memenangkan BN. Duit cukai rakyat digunakan untuk melalikan rakyat dari hakikat bahawa daya saing negara semakin merosot dan pencapaian ekonomi negara tidak seimbang. Kepimpinan tertinggi UMNO tahu masa depan mereka telah pudar. Walau pun kepimpinan UMNO cuba memberi gambaran mereka yakin akan menang, kita sedia maklum berbagai maklumat perisikan yang mereka terima telah memberi penilaian bahawa BN akan tewas pada pilihanraya umum ke 13 yang menjelang tiba. Inilah sebabnya Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak terpaksa berterusan menangguh pembubaran Parlimen. UMNO sebenarnya sedang mengalami kegusaran dan krisis keyakinan.

Dalam kegusaran ini, UMNO mula mengambil tindakan-tindakan yang terdesak. Dua teras utama taktik yang diambil UMNO hari ini ialah menakut-nakutkan orang Melayu dan menggunakan askar-askar upahan di ruang-ruang blog untuk mereka-reka dan menyebarkan video-video palsu yang kononnya memaparkan salahlaku seks pemimpin-pemimpin PKR. Taktik pertama melibatkan menakut-nakutkan masyarakat Melayu bahawa masa depan mereka akan tergadai jika Pakatan Rakyat memerintah, walau pun UMNO lah sebenarnya yang menggadaikan kepentingan orang Melayu selama ini.

Taktik kedua ialah menggunakan dakwaan salahlaku seks. Selain dari video palsu yang cuba mencemarkan nama baik Dato Seri Anwar Ibrahim, kita mendapat maklumat dari sumber-sumber yang boleh dipercayai bahawa beberapa video palsu seks beberapa orang pemimpin lain PKR akan diterbitkan. Video-video ini merupakan manipulasi imej digital yang melibatkan pencantuman babak-babak yang tidak berkaitan untuk memberi gambaran pemimpin-pemimpin berkenaan terbabit dalam salahlaku seks.

PKR ingin mengingatkan rakyat Malaysia bahawa sudah menjadi lumrah perjuangan bahawa mereka yang berada di barisan kebenaran akan diuji dengan sengit. Nabi Yusuf AS, Maryam AS dan Aishah RA semuanya diuji dengan dakwaan seksual. Jika insan-insan mulia ini diuji sebegini rupa, sudah tentulah insan biasa seperti kami tidak akan terlepas dari dugaan dan fitnah. Fitnah dan tuduhan-tuduhan seksual palsu yang bertubi-tubi ini hanya meyakinkan kami akan ketulusan perjuangan kami. Ia hanya mengukuhkan keazaman kami untuk terus mara ke hadapan. Dan kami yakin video-video palsu ini akan dilihat rakyat sebagai taktik politik UMNO yang terdesak, jijik dan keterlaluan.

Kami yakin rakyat Malaysia akan berdiri teguh dengan kebenaran dan tidak akan mudah diugut atau diperdayakan oleh tipu helah serta muslihat kotor UMNO. Mereka akan membuat pilihan yang bijak dan membina masa depan negara yang lebih cerah dengan memilih Pakatan Rakyat.


Dato’ Saifuddin Nasution
Setiausaha Agung
Parti Keadilan Rakyat

Utusan Disaman Lagi RM40 juta

Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid telah mengambil tindakan undang-undang ke atas Utusan Melayu (Malaysia) Berhad dengan menyaman sejumlah RM20 juta kerana memburukkan reputasi dan nama baik beliau kepada umum.

Dalam satu kenyataan media hari ini, peguam pemohon Samarudin Md Rejab berkata kes tersebut telah difailkan semalam dan menamakan Datuk Abdul Aziz Bin Ishak dan Raja Shahrir Abu Bakar sebagai pihak defendan.

“Dalam artikel Utusan Online bertarikh 13 Mac, 2013, secara palsu dan berniat jahat, telah menyiarkan satu artikel dalam talian menuduh anak guam kami sebagai 'telah memperleceh' Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mengendalikan insiden pencerobohan pengganas dari Sulu,” kata Samarudin dalam satu kenyataan.

Menurut Samaruddin lagi, artikel tersebut juga menuduh Abdul Ghafir telah mengatakan PDRM dan ATM menangani pengganas dari Sulu itu sehinggakan kini hanya “duduk di bawah rumah orang dan di reban ayam”.

Disamping itu, Samarudin berkata tuduhan tersebut sengaja direka memandangkan Abdul Ghafir adalah bekas Timbalan Panglima Tentera Darat Malaysia dan bertujuan untuk mewujudkan kebencian kepada PKR dan Pakatan Rakyat.

“Dakwaan di atas adalah benar-benar palsu, berniat jahat dan fitnah kepada Datuk Ghafir.

“Dalam hal ini, kita semua sedar bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 bakal menjelang dan Datuk Ghafir adalah salah satu daripada bekas pegawai tertinggi yang menyokong Parti Keadilan Rakyat serta Pakatan Rakyat,” tambah Samaruddin lagi.

Dalam tuntutan yang dihantar semalam, Abdul Ghafir telah meminta Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Datuk Abdul Aziz Bin Ishak dan Raja Shahrir Abu Bakar memohon maaf serta menarik menarik balik artikel tersebut dan berjanji tidak akan mengeluarkan sebarang artikel yang sama bertujuan memburukkan nama beliau.

Berita tentang kenyataan oleh Abdul Ghafir telah dilaporkan oleh Utusan ketika berucap dalam Forum anjuran Akademi Pak Sako bertajuk Solidariti Lahad Datu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor di Jalan Maharajalela di sini.

Turut menjadi panel pada forum itu ialah Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Editor Malaysiakini, Fathi Aris Omar. -TMI

Wednesday, March 27, 2013

Dr M: Najib mesti turun kalau prestasi PRU buruk

Dr M: Najib mesti turun kalau prestasi PRU burukSeperti penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga perlu berundur sekiranya gagal menunjukkan prestasi baik dalam pilihan raya umum akan datang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya kata secara teorinya, jika beliau tidak melakukan dengan baik, sudah tentu kedudukannya tidak stabil," kata bekas perdana menteri dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau diminta mengulas wawancaranya dengan agensi berita antarabangsa AFP, di mana beliau dilaporkan berkata demikian. Beliau bagaimanapun menjelaskan perkara itu pendapat peribadinya yang yang mungkin tidak sepatutnya keluar.

Menjawab soalan lain, Dr Mahathir enggan menamakan pihak yang patut menggantikan Najib sekiranya beliau berundur.

"Saya tidak ada sebarang calon. Saya tidak jangkakan perkara ini akan berlaku... Saya hanya bercakap daripada segi teori," katanya lagi.

Tanda-Tanda Kanser Pangkal Rahim

cancercervix.jpgDianggarkan seramai hampir 1,600 kes kanser pangkal rahim dilapurkan pada tahun 2003 di Semenanjung Malaysia (Lapuran NCR 2003). Angka sebenar kes kanser pangkal rahim adalah dijangka jauh lebih tinggi dari angka yang tersebut di atas memandangkan banyak kes-kes yang tidak dilapurkan.

Di samping itu angka yang tersebut di atas tidak meliputi Sabah dan Sarawak. Insiden kanser pangkal rahim adalah 19.7 per 100,000 populasi dengan bangsa Cina mempunyai insiden yang tertinggi yakni 33.6 per 100,000 populasi, diikuti oleh bangsa India dan bangsa Melayu.

Kebarangkalian seseorang wanita untuk mengidap kanser pangkal rahim di sepanjang hayatnya adalah dari 1 di dalam 28 orang sehingga 1 di dalam 80 orang. Contohnya,kalangan wanita berbangsa Cina, seorang dari 28 orang wanitanya akan menghidap kanser pangkal rahim di sepanjang hayatnya (lifetime risk).

FAKTOR-FAKTOR RISIKO MENGHIDAP KANSER PANGKAL RAHIM

Seperti yang dinyatakan di dalam bab yang lepas, punca terjadinya kanser pangkal rahim adalah jangkitan virus HPV dan jangkitan virus ini diperolehi melalui hubungan kelamin. Di samping jangkitan virus HPV, faktor-faktor lain turut mempengaruhi terjadinya kanser pangkal rahim yakni sistem imunisasi (pertahanan badan) yang rendah dan juga faktor genetik.

Apakah faktor-faktor risiko terjadinya kanser pangkal rahim? Di antara faktor-faktor yang menjadikan seseorang wanita itu boleh menghidap kanser pangkal rahim adalah:
  1. Hubungan sek pada usia muda
  2. Jangkitan virus HPV berisiko tinggi
  3. Merokok
  4. Wanita dari golongan susah ataupun miskin.
  5. Keadaan yang menyebabkan sistem pertahanan badan menjadi rendah seperti penyakit AIDs, pesakit yang menjalanipemindahan buah pinggang dan lain-lain.
  6. Wanita yang mempunyai pasangan sek yang ramai.
  7. Wanita-wanita yang tidak menjalani ujian pap smear bolehdikategorikan sebagai golongan yang berisiko mengidapkanser pangkal rahim sebab kajian telah menunjukkan bahawaujian pap smear boleh mencegah kanser pangkal rahim.

TANDA-TANDA KANSER PANGKAL RAHIM

Berbanding dengan kanser organ reproduktif wanita yang lain, wanita yang menghidap kanser pangkal rahim sering dapat mengesan penyakit mereka pada peringkat awal.

Ini disebabkan pangkal rahim terletak di dalam faraj/vagina yang apabila berlaku penyakit kanser, perdarahan yang berlaku boleh dikesan hampir serta merta. Di kebanyakan negara-negara maju, hampir 75% daripada wanita-wanita yang dikesan menghidap penyakit kanser pangkal rahim dapat dikesan pada peringkat awal.

Walau bagaimanapun , di negara kita peratusan ini adalah lebih rendah disebabkan oleh sikap dan pengetahuan masyarakat kita yang masih rendah. Apa yang paling penting adalah, wanita-wanita tersebut perlu segera mendapatkan pemeriksaan lanjut dari Pakar Sakitpuan jika sekiranya terdapat tanda-tanda yang mungkin berkaitan dengan kanser pangkal rahim.

Kebanyakan wanita yang menghidap kanser pangkal rahim mengalami salah satu ataupun kombinasi gejala-gejala berikut:
  1. Perdarahan selepas hubungan sek (“postcoital bleeding“)
  2. Keluar lendir berdarah dari kemaluan.
  3. Perdarahan di pertengahan kitaran haid.
  4. Perdarahan dari kemaluan setelah disahkan putus haid.
  5. Hilang selera makan
  6. Turun berat badan yang mendadak

APAKAH KAEDAH RAWATAN KANSER PANGKAL RAHIM.

Terdapat 3 jenis rawatan yang boleh diberikan kepada wanita-wanita yang mengidap kanser pangkal rahim. Tiga jenis rawatan utama tersebut adalah :

a. Pembedahan
b. Rawatan Radioterapi
c. Rawatan Kemoterapi

Pakatan dijangka menang 7 negeri

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang meramalkan Perlis dan Negeri Sembilan adalah dalam jangkauan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13, sekaligus meningkatkan bilangan kerajaan negeri Pakatan daripada lima pada 2008 kepada tujuh pada 2013.

NONEDalam temubual eksklusif dengan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, ahli parlimen Ipoh Timor itu menyatakan keyakinan bahawa gabungan itu boleh mengekalkan kuasanya di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, dan menawan semula Perak.

Dengan kemampuan untuk menawan Perlis dan Negeri Sembilan, maka beliau mendakwa harapan Pakatan untuk menawan Putrajaya adalah cerah.

Bagaimanapun, Lim (kiri) mengakui bahawa kerajaan PAS Kedah dalam keadaan yang goyah.

Walaupun begitu, Lim berkata, 'tsunami politik' pada pilihan raya umum 2008 masih belum mencapai kemuncaknya.

"Pada pilihan raya umum lepas, angin anti-establishment bermula dari utara dan berhenti di Negri Sembilan. Ia bukan tsunami penuh. Ia belum mencapai kemuncaknya.

"Tsunami akan hanya reda apabila ia mencapai puncaknya. Saya percaya akan ada tsunami politik yang lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang yang akan melanda seluruh negara," Sin Chew Daily memetik Lim sebagai berkata. -MK