Wednesday, September 10, 2014

Pelajar dan pensyarah UM demo bantah Akta Hasutan

Beratus-ratus mahasiswa dan kakitangan akademik Universiti Malaya (UM) hari ini mengadakan protes sebagai tanda solidariti kepada Profesor Madya Dr Azmi Sharom yang menghadapi dakwaan mengikut Akta Hasutan 1948.

Protes digelar "hartal" anjuran Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) dan Persatuan Kakitangan Akademik UM (PKAUM) itu bermula dengan perarakan mahasiswa daripada Fakulti Undang-Undang hingga ke perhentian bas utama di kampus tersebut.

Azmi merupakan pensyarah di fakulti itu dan presiden PKAUM.

Antara lain, mereka menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengotakan janji dengan memansuhkan akta zaman penjajah itu.

Protes hari ini juga disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin PKR termasuk Ketua Pemuda, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar.

Ketua Kordinator Persatuan Belia Baru UM Leong Yu Sheng berkata kebebasan berakademik adalah hak, bukan kelebihan.

"Mansuhkan Akta Hasutan, gugurkan semua tuduhan ke atas Azmi," katanya.
Penyelaras PKAUM untuk 'Solidarity4AzmiShahrom' Dr Lee Hwok Aun menyokong kenyataan itu, mengatakan ahli akademik juga mempunyai hak asasi.

"Namun rupanya, hak asasi Azmi dicabul dengan Akta Hasutan.

"Jadi kenapa kita hari ini berdiri mempertahankan kebebasan bersuara? Kerana mana-mana universiti akan terkubur sekiranya tiada kebebasan berakademik," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PMUM Fahmi Zainol menuntut semua tuduhan terhadap Azmi mengikut akta ketinggalan zaman itu digugurkan.

"Kita tuntut akta itu dimansuhkan segera. Ia merupakan peninggalan pemerintah kolonial yang zalim kerana ia mengekang kebebasan asasi bersuara secara mutlak," katanya.

Mereka juga menuntut semua cabang kerajaan mentadbir urus negara dengan lebih baik dan memberi jaminan terhadap undang-undang dan demokrasi untuk melindungi kebebasan hak asasi bagi semua rakyat.

"Kita mesti memperjuangkan kebebasan akademik kerana tanpanya seluruh universiti di Malaysia akan kekal terbelakang di peringkat antarabangsa."

Azmi didakwa pada 2 September kerana artikel bertajuk "Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told" (Ambil jalan krisis Perak, selesaikan segera kebuntuan Selangor, Pakatan diberitahu), dilaporkan sebuah portal berita pada 14 Ogos.

Pendakwaan Azmi merupakan sebahagian siri serangan besar-besaran mengikut akta itu yang bukan sahaja dikenakan kepada pemimpin PKR, namun juga kepada pihak berhaluan kiri.

Azmi kemudiannya melahirkan penghargaan terhadap solidariti persatuan itu yang ditujukan kepadanya.

Beliau berkata kumpulan yang hadir menyatakan bantahan bukan semata-mata kerana menyokong dirinya, tetapi bagi memperjuangkan kebebasan bersuara.

"Saya berterima kasih tetapi ini bukan untuk saya. Hakikatnya mereka hadir kerana sedar pentingnya memansuhkan Akta Hasutan ini. Dan kita akan teruskan perjuangan sehinggalah ia tidak digunakan," katanya kepada pemberita.

Protes diakhiri dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku. Malah pihak penganjur juga mengatakan akan mengibarkan bendera Malaysia separuh tiang sebagai simbolik 'pencabulan' yang berlaku. –TMI
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Pelajar dan pensyarah UM demo bantah Akta Hasutan "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx