Thursday, June 3, 2010

12 Rakyat Malaysia Dibebaskan

Semua 12 rakyat Malaysia yang ditawan oleh tentera Israel semasa kapal Mavi Marmara diserang pagi Isnin lalu disahkan selamat.

Perkara itu disahkan oleh wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail yang menghubungi bilik beritanya di Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Ashwad adalah seorang daripada 12 rakyat Malaysia yang ditahan itu.

Semua mereka kini berada di sempadan di Jordan sementara menunggu persiapan bagi membawa mereka pulang ke Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman kini dalam perjalanan ke Jordan bagi menguruskan pembebasan 12 rakyat Malaysia yang ditawan pihak Israel itu.

Beliau berlepas ke Jordan pada jam 10.15 pagi tadi dan dijangka tiba di Amman pada jam 1.30 tengahari waktu Malaysia.

“Anifah diiringi beberapa pegawai Wisma Putra,” kata seorang pembantu beliau.

Sementara itu menurut laporan AP, seramai 124 aktivis pro-Palestin dari 12 negara Islam termasuk Malaysia tiba di Jordan hari ini selepas dibebaskan oleh Israel.

Kumpulan itu yang ditahan dalam serangan komando Israel ke atas flotila bantuan Gaza kelmarin menyeberangi Jambatan Allenby ke Jordan dengan menaiki lima bas.

Pegawai tentera Jordan, Brigadier Mahmoud Abu Jumaa berkata, negaranya akan membantu menghantar pulang aktivis itu ke negara masing-masing dengan kerjasama kerajaan mereka.

Aktivis yang dibebaskan itu terdiri daripada rakyat Malaysia, Azerbaijan, Indonesia, Pakistan, Algeria, Jordan, Kuwait, Maghribi, Mauritania, Yemen, Oman dan Bahrain. -EP

2 comments:
Write comments
  1. It's good all the activist are safe. Hopefully this war would diminish soon.

    ReplyDelete
  2. baguslah mereka dah selamat dibebaskan. tarima kasih atas kesungguhan kerajaan Malaysia usaha membebaskan rakyat malaysia daripada tahanan israel.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.