Sunday, June 6, 2010

Himpunan Bantah Kekejaman Israel

Tawau : Ratusan orang berhimpun secara aman untuk membantah Kekejaman yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin juga tindakan tentera mereka yang menyerang konvoi kemanusiaan pelbagai negara ketika membawa bekalan makanan ke Gaza Isnin lalu sehingga mengakibatkan sembilan rakyat Turki yang menaiki kapal Mavi Marmara milik negara terbabit menjadi korban.

Himpunan aman yang diadakan di perkarangan Masjid Al Kauthar Tawau selesai Solat Jumaat sekitar pukul 1.05pm tadi dianjurkan oleh PAS Kawasan Tawau mewakili bantahan daripada PAS negeri Sabah di dalam isu ini.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah, Kadarisman Kadiran berkata, “Sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai orang Islam untuk menuntut keadilan dan memperjuangkan nasib saudara kita di Palestin.”

Katanya lagi,“Apa yang telah berlaku kini membuktikan, perlunya wujud pertubuhan tentera yang mewakili negara negara Islam di seluruh dunia.”

“Kami juga mengecam tindakan kerajaan yang memberi bantuan kepada rakyat Palestin tetapi dalam masa yang sama menjemput syarikat asing proksi Yahudi yakni APCO untuk membina imej negara di mata dunia. Inilah sifat munafik yang tidak diterima dalam Islam.”

Menurutnya lagi, PAS memperjuangkan isu ini dalam himpunan bantahan ini mewakili seluruh umat Islam tak kira di mana mereka berada.

Himpunan diakhiri dengan solat hajat yang dipimpin oleh Ketua Pemuda PAS Tawau , Ustaz Nazrey Mokhtar.sebelum bersurai secara aman sekitar 1.35pm.

PAS TAWAU

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.