Monday, September 1, 2014

ADUN PAS di Selangor cuba dipancing?

Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata pihaknya tahu ada lagi usaha untuk memancang ADUN PAS di Selangor.

"Kita ada maklumat lengkap siapa terlibat," katanya dalam satu kenyataan semalam.

"...dan kita akan dedahkan nama pelobi ini jika permainan ini tidak dihentikan segera," katanya lagi.

Beliau juga mengesahkan Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Selangor ke-26 semalam sebulat suara meluluskan usul mengutuk dan mengecam dua ADUN PAS yang menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar baru.

Sebelum ini, ADUN Hulu Kelang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddin dilaporkan menandatangani Akuan Bersumpah menyokong pencalonan Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tanpa persetujuan dan pengetahuan PAS.

Menurut catatan Facebook terbaru Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor, usul itu akan diserah kepada Jawatankuasa Tatatertib PAS Pusat untuk diambil tindakan berdasarkan Fasal 82 Perlembagaan PAS (Pindaan) 2011.

Kemelut politik di Selangor menjadi lebih tegang apabila Abdul Khalid diminta meletak jawatan setelah didakwa kehilangan sokongan 30 ADUN termasuk dua daripada PAS.

Berikutan itu, pada Selasa lepas, Abdul Khalid menyatakan hasrat kepada Sultan Selangor untuk melepaskan jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, Sultan Sharafuddin Idris Shah menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan beliau sehingga pelantikan menteri besar baru dibuat.

Baginda turut menitahkan PAS, DAP dan PKR masing-masing mempersembah lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar selewat-lewatnya 3 Sept ini.

- Bernama

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.