Wednesday, May 8, 2013

MB Selangor: PAS atau PKR?

Bermula dari semalam, Perdana Menteri selaku kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional (BN) sudah mengangkat sumpah dan disusuli oleh menteri-menteri besar kerajaan-kerajaan negeri yang dimenangi olehnya. Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat (PR) juga sudah mengangkat sumpah di Kelantan dan Pulau Pinang. Namun begitu, sesuatu di luar dugaan apabila sebuah negeri yang kaya dengan hasil industrinya yang menyaksikan kemenangan lebih dari 2/3 majoriti DUN pula memaklumkan akan mengumumkan perlantikan Menteri Besar seawal-awalnya minggu hadapan. Negeri apa lagi kalau bukan negeri Selangor Darul Ehsan.

Secara terus-teranglah, situasi ‘tarik tali’ yang berlaku di Selangor ini amatlah dikesali kerana suasana politik melampau masih menyelubungi kepimpinan PR di Selangor. Malah, ada pihak tertentu yang kini sudah terpinggir ke’jati’annya pula cuba membangkitkan sentimen perkauman di antara orang Cina dan Melayu di negeri ini yang tiba-tiba menggesa PAS dan Umno bergabung yang kononnya Cina mahu rampas kuasa. Kini yang trending di media-media sosial ialah beberapa kerat mereka yang tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan dari ucapan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebaik sahaja memperolehi majoriti mudah di Parlimen. Di dalam ucapan itu sambil dengan rupa sugul, Najib membayangkan polarisasi kaum Cina merupakan penyebab kepada pengurangan mendadak undi kepada BN di seluruh negara. Kini, golongan di luar PAS dan Umno ini telah menggunakan intipati ucapan itu bagi membangkitkan suasana perkauman yang berbahaya di sosial media.

Adalah diharapkan bagi pihak polis yang mendakwa mereka telah mewujudkan pasukan pemantau media sosial agar segera bertindak bagi mengekang usaha tidak bertanggungjawab tersebut. Semua sedia maklum berdasarkan kajian yang dilakukan pada keputusan PRU13 telah melihat kepada trend pengundi bandar dan sub bandar tak kira Cina, Melayu atau India sebagai faktor utama kepada kehilangan undi kepada BN. Lihat sahaja ibu-ibu negeri yang majoritinya mempunyai pengundi Melayu di timur Semenanjung Malaysia iaitu Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Kuantan pun menolak BN. Bukankah ini pola pengundi bandar? Malah Shah Alam yang memiliki hampir 70% pengundi Melayu juga menolak BN.

Tidak dinafikan kenyataan Najib itu terlalu awal kerana ketika ucapan itu dibuat pun sudah awal pagi (1 pagi) dan pengamatan sekali imbas beliau pada tragedi undi yang berlaku adalah tidak adil, beremosi dan bersentimen.Namun begitu, bukannya isu ini yang mahu diutarakan oleh penulis. Ini kerana penulis yakin Najib pada ketika itu berkata sedemikian mungkin tidak dapat berfikir dengan baik kerana sepanjang masa dan hari pengundian itu, beliau seperti manusia yang lain juga berdebar-debar dengan kedudukan BN, beliau sendiri sebagai PM untuk pasca PRU jika mencapai keputusan yang buruk untuk parti dan dikelilingi oleh laporan pelbagai tidak rasmi oleh mereka yang berada di kiri kanannya. Ditambah pula dengan keletihannya yang berkempen dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak bersilih ganti sepanjang minggu-minggu berkempen maka penulis pasti dalam sehari dua ini, Najib akan terbuka untuk melihat situasi ini dengan lebih adil dan penuh maklumat.

Benarkah PAS mendesak mahu jadi MB Selangor?

Selain cubaan pihak yang cuba melaga-lagakan Melayu dan Cina di media massa, satu lagi masalah dalaman PR Selangor sekarang adalah kononnya PAS yang gembira menambah 7 kerusi DUN dan menjadikan mereka kini memiliki 15 kerusi DUN amat beriya-riya untuk meletakkan pemenang mereka sebagai MB baru. Pada mulanya saya menolak dakwaan mengenai wujudnya usaha berkenaan. Ini adalah kerana kerana saya percaya PR sudah menjadi satu gabungan parti yang penuh istiqamah, toleransi dan penuh muafakat. Namun apabila mendengar sendiri dari sumber yang dekat dalam parti tersebut, penulis berasa bertanggungjawab untuk menghurainya dan menentang mereka daripada merosakkan imej PR di mata pengundi negeri Selangor ini.

Apabila Ketua PKR Selangor, Azmin Ali membuat kenyataan media bahawa perlantikan MB Selangor akan dilakukan selewat-lewatnya minggu hadapan, penulis sudah berasa lebih yakin dengan kebenaran berlakunya pergelutan di dalam PR Selangor. Amatlah menghairankan apabila telah diberikan mandat yang kuat untuk terus mentadbir Selangor, kini parti-parti di bawah PR mula bertelingkah bagi kepentingan sendiri tanpa melihat nawaitu dan sebab untuk majoriti 65% pengundi Selangor kekal memilih PR. Tidak salah untuk saya katakana bahawa kemenangan PR di Selangor adalah suatu ‘landslide’ apabila berjaya memiliki 44 kerusi DUN dan selebihnya 12 kerusi dimiliki oleh BN. Di dalam 44 kerusi itu, secara pecahannya PAS memiliki 15, DAP (15) dan PKR (14). Tetapi kini parti PKR dan PAS didakwa ingin sama-sama menunjuk kuasa dengan hanya merujuk pada jumlah kerusi yang mereka miliki.

Apalah sangat 15 dimiliki oleh PAS atau 14 kerusi milik PKR untuk masing-masing mahu merampas jawatan MB. Penulis mengucapkan tahniah kepada DAP yang juga memiliki 15 kerusi DUN kerana tidak terlibat dalam perebutan ini kerana menghormati undang-undang tubuh negeri yang menjamin jawatan tersebut hanya boleh disandang oleh orang Melayu. Namun begitu, saya yakin DAP mempunyai suara untuk memilih sama ada MB yang bakal dilantik dari PAS atau PKR. Perlantikan MB seharusnya berdasarkan pengalaman dan ketrampilan di dalam pengurusan politik setempat,sosial dan ekonomi. Untuk itu, di kalangan pengundi PR di Selangor ini yang tidak berparti termasuklah saya, faktor utama kenapa PR masih memenangi DUN Selangor adalah disebabkan oleh kewibawaan MB Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri. PAS dalam hal ini perlu akur dengan kehendak pengundi dan bukannya mengikut suka hati dan perasaan atau perjuangannya. Walaubagaimanapun, terus-terang saya yakin sentimen PAS mahukan MB dari kalangan mereka ini rasanya hanya di kalangan pengikut yang dizahirkan melalui media sosial oleh ahli-ahli mereka. Saya yakin kepimpinan PAS Selangor tidaklah terikut-ikut dengan tuntutan sebegini demi ummah.

PKR bergelut dalamannya: Khalid atau Azmin?

Satu lagi situasi yang saya rasa lebih besar kemungkinan berlaku di dalam PR Selangor ketika ini ialah pertembungan di antara Khalid dan Azmin sendiri di dalam PKR. Saya juga ada menerima maklumat dalaman yang mendakwa bahawa kumpulan Azmin dan Azmin sendiri mahu menjadi MB dan tidak ketinggalan dengan penyokong-penyokong Khalid yang mahukan Khalid meneruskan karier tersebut dengan mandat baru. Bukan itu sahaja, saya juga dimaklumkan DAP Selangor dan PAS Selangor memberi kata dua kepada PKR dengan mendesak agar Azmin menerima hakikat bahawa PAS dan DAP mahukan Khalid sebagai MB. Malah, turut dilaporkan bahawa PAS Selangor mengingatkan PKR bahawa jika Khalid tidak dipilih, mereka mahukan jawatan tersebut diberikan kepada PAS.

Saya sebagai pengundi di Selangor lebih yakin akan kewibawaan Khalid untuk meneruskan tugasnya sebagai MB Selangor jika dibandingkan dengan Azmin. Saya yakin Azmin boleh menumpukan tugas beliau di peringkat nasional dan menumpukan usaha penyatuan parti-parti pembangkang di Sabah. Dalam PRU13, kita boleh melihat betapa banyak kerusi Parlimen dan DUN di Sabah yang terlepas dari PR gara-gara pertandingan banyak penjuru dengan parti-parti setempat seperti STAR dan SAPP. Hakikat ini adalah pahit untuk ditelan tetapi perlu diterima kerana kekalahan ‘bodoh’ inilah yang merosakkan peluang PR untuk mengumpul cukup kerusi untuk ke Putrajaya. PKR perlu banyak berunding dengan penuh muafakat dengan parti-parti negeri Sabah ini sebelum menghadapi PRU akan datang.

Bukan itu sahaja, Azmin perlu menumpukan usaha permuafakatan PR di Selangor. Meskipun tidak ada jawatan Pengerusi PR Selangor tetapi Azmin dilihat menerajuinya kerana beliau adalah Ketua PKR negeri dan Timbalan Presiden PKR. Kelemahan permuafakatan inilah yang menyebabkan PR kehilangan buta-buta dua kerusi DUN di Selangor. Kehilangan DUN Kota Damansara dan Semenyih yang disebabkan oleh perpecahan undi di antara parti-parti PR hanya membantu BN untuk menang di sana. Perkara sebegini adalah penting untuk dilihat Azmin selain dari menjalankan tugasnya di peringkat nasional sejajar dengan jawatannya di peringkat PKR pusat.

Selangor adalah negeri yang maju, dinamik dan berdaya saing. Tidak dinafikan bahawa Khalid telah membuktikannya dengan kejayaan program-program ekonomi dan kemasyarakatan di Selangor yang sebenarnya membantu PR mendapat majoriti 2/3. Selangor memiliki komposisi penduduk seimbang dari segi taraf hidup, etnik dan taraf kehidupan. Boleh dikatakan masyarakat atau penduduk Selangor merupakan orang-orang yang celik belaka atau terpelajar. Oleh itu, kedudukan Khalid yang tidak terikat dengan kepimpinan parti dapat membantu beliau menumpukan perhatian ke arah mensejahterakan penduduk berbilang kaum di negeri ini ke peringkat yang lebih baik dari hari ini. Oleh itu, saya merayu kepimpinan PR usah melemahkan pakatan yang ada. Untuk itu segeralah sepakat memilih individu yang sudah banyak membantu mereka sendiri untuk terus berkuasa di Selangor. Apapun keputusan itu biarlah selaras dengan inspirasi dan kehendak para pengundi Selangor. Jangan lupa janji anda sebagai Y.B Yang Berkhidmat dan bukannya lagi Yang Berhormat.

-Shaharul Shafie
Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik, Teknologi Sains Maklumat dan program pembangunan organisasi. Beliau juga kini melanjutkan pengajian di peringkat PhD di sebuah universiti terkemuka tempatan. Beliau juga merupakan pemimpin NGO antarabangsa, Armed for the Quill (AFTQ) yang berpusat di Oslo, Norway. Beliau adalah Ketua AFTQ bagi Asia Tenggara dan Timor Leste.Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di beberapa laman web dan media cetak. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.