Malaysia perlu bersedia untuk berdepan dengan satu lagi krisis kewangan dunia yang dijangka berlaku berikutan kenaikan harga dan kurang kuasa membeli.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed (gambar) berkata negara perlu merangka strategi berdasarkan pengalaman lalu dan mencari punca krisis.
"Dengan krisis kewangan semasa dan yang lepas, kita perlu meneliti dan seterusnya mencari idea-idea mengenai cara bagi menyediakan diri kita untuk mengatasinya," katanya pada sidang akhbar selepas sesi meja bulat antarabangsa Yayasan Kepimpinan Perdana, mengenai “Bertahan Dalam Krisis Kewangan Global Akan Datang”, di Kuala Lumpur hari ini.
Katanya peringkat pertama akan melibatkan memahami mekanisme dan apabila dicapai, krisis berkenaan boleh diuruskan.
"Saya bekas doktor dan pendekatan kita perlu seperti seorang doktor," katanya.
Sesi meja bulat itu membincangkan cara-cara untuk mengatasi krisis kewangan dan hasilnya akan dikemukakan kepada kerajaan.
Sesi itu dianjurkan Yayasan Kepimpinan Perdana dan ditaja oleh YTL Corp Bhd, Malaysia Airlines, Bina Puri, Westports, AmBank, UEM dan Bank Rakyat.
Pesertanya termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Tan Sri Azman Mokhtar, Timbalan Pengerusi Khazanah Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Pengerusi AmBank Tan Sri Azman Hashim, Pengarah Urusan YTL Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping, Pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Sabbaruddin Chik, Pengerusi/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Symphony Life Tan Sri Azman Yahya dan Pengerusi ISIS Tan Sri Jawhar Hassan.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata beliau sedih dengan insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, sejak 8 Mac lepas.
"Anehnya ia tidak boleh dikesan melalui satelit dengan 20 negara membantu dalam usaha mencari dan menyelamat," katanya. – Bernama
Monday, March 17, 2014
Dr M : Malaysia perlu bersedia berdepan krisis kewangan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.