Penerbangan MH370 sudah lebih dua hari hilang. Prognosisnya tentulah tidak positif. Jadi dalam kita berdoa dan berharap, kita juga perlu realistik.
Daripada aspek apa pun dan serapi mana pun kita mendalami tragedi ini, kita terpaksa mengakui bahawa kehilangan pesawat Boeing 777 di Laut China Selatan itu adalah misteri luar biasa
Hatta sekiranya bangkai pesawat itu ditemui sekalipun, penyiasatan bagi memastikan punca tragedi itu akan mengambil masa.
Yang menjadi tanda tanya adalah bagaimana sebuah pesawat yang begitu besar, begitu canggih, dengan rekod keselamatan yang amat baik dan di tangan seorang juruterbang yang sangat berpengalaman boleh hilang tanpa kesan, tanpa pesanan SOS, tanpa signal dalam apa-apa bentuk pun.
Yang mengacau fikiran kita adalah hakikat ia hilang di satu kawasan yang semakin hari semakin tegang konfrontasi bersenjatanya.
Angkatan tentera Amerika Syarikat, China, Taiwan, Vietnam dan Filipina semua meronda Laut China Selatan. Mereka melakukan latihan di darat, laut dan udara.
Ingatan saya kembali kepada penembakan jatuh penerbangan 007 Korean Air oleh pesawat pejuang Rusia pada tahun 1983, tembakan peluru berpandu Tentera Laut Amerika ke atas penerbangan 665 Iran Air (1988) dan pengeboman pesawat Pan Am 103 ketika terbang di ruang angkasa Lockerbie, Scotland (1988).
MAS sendiri telah mengalami tragedi rampasan udara. Pada tahun 1977, pesawat Boeing 737-200 dengan nombor penerbangan MH653 dirampas oleh orang atau orang-orang yang tidak dikenali dan terhempas di Gelang Patah, Johor.
Tragedi itu mengorbankan kesemua 93 penumpang dan tujuh anak kapal.
Dalam kita menunggu jawapan dan kepastian mengenai nasib penerbangan MH370, kita kena akui bahawa kawalan dan pemeriksaan keselamatan di lapangan-lapangan terbang kita, termasuk KLIA, boleh dikira cukup longgar dan santai berbanding di Eropah, Amerika Utara, Australia dan New Zealand.
Hatta di lapangan terbang raksasa Dubai pun kawalan dan pemeriksaan keselamatan lebih ketat.
Apakah kita telah membayar harga yang sangat mahal kerana sikap dan standard Dunia Ketiga kita terhadap keselamatan dan pengurusan aset?
Atau apakah ini bala mutakhir akibat rasuah, penyalahgunaan kuasa dan keabaian yang berulang kali dilaporkan berlaku di KLIA?
Tengok saja penangguhan berulang kali pembukaan klia2. Semua relaks, semua nampak macam ok dan tidak siapa pun mengaku bertanggungjawab. Business as usual.
– kadirjasin.blogspot.com
Tuesday, March 11, 2014
Melihat melepasi tragedi MH370
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.