Monday, March 10, 2014

Tumpahan Minyak Ditemui Di Lokasi Terakhir MH370

Kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan tumpahan minyak sekitar 20 batu nautika ke utara daripada lokasi terakhir pesawat MH370 Malaysia Airlines.

Ketua Pengarah APMM, Datuk Mohd Amdan Kurish, yang menyertai misi mencari pesawat berkenaan berkata pasukan mencari menemui "dua atau tiga" tompokan minyak dalam anggaran 16 kilometer berwarna kekuningan sekitar jam 11 pagi pada Ahad.

"Sebuah kapal dihantar ke lokasi tumpahan untuk mengambil sampel untuk diuji sama ada ia datang dari pesawat itu," kata Mohd Amdan kepada The Star.

Gambar berkemungkinan serpihan pesawat MH370 di laut sekitar kawasan lokasi pesawat berkenaan hilang turut tersebar di laman media sosial China.



Gambar berkenaan yang diambil oleh penumpang China menaiki pesawat lain yang selamat mendarat di Kuala Lumpur pada pagi ini menunjukkan serpihan yang terapung berada sekitar 90 minit daripada ibu negara Malaysia. – TMI



China dakwa jumpa serpihan pesawat, mungkin milik MH370


KUALA LUMPUR: Beberapa serpihan pesawat dilaporkan ditemui di luar pantai Timur Barat Malaysia, namun ia masih belum dapat disahkan sebagai milik pesawat MH370 milik Malaysia Airlines yang hilang.

Pegawai kanan Pentadbiran Penerbangan Awam China, Li Jiaxiang berkata, serpihan terbabit ditemui di kawasan longitud 103.29 darjah timur dan latitud 6.42 darjah utara.

“Penemuan ini bagaimanapun masih menanti pengesahan daripada pasukan mencari yang tiba di lokasi,” ujarnya di dalam satu laporan berita.

“Kita masih lagi belum pasti dengan lokasi sebenar pesawat tersebut, dan masih berharap akan keajaiban bahawa semua penumpang selamat,” kata Li seperti yang dilaporkan oleh China News.

"Ia juga masih belum jelas pada ketika ini sekiranya pesawat tersebut terlibat dalam serangan pengganas,” tambahnya.

Satu lagi laporan menyebut bahawa serpihan itu konsisten dengan satu gambar serpihan yang diambil oleh seorang penumpang yang menaiki sebuah lagi pesawat Malaysia Airlines dari Beijing ke Kuala Lumpur, yang telah mendarat pada pagi Ahad.

Gambar-gambar tersebut dikatakan sebagai imej serpihan yang terapung di permukaan laut, setelah 90 minit perjalanan dari Kuala Lumpur.

Semalam, pesawat Tentera Udara Vietnam mengesan dua tumpahan besar minyak di kawasan di mana pesawat Boeing 777-200 MAS itu dilaporkan hilang dan sehingga kini , proses mencari MH370 yang membawa 239 orang itu masih dijalankan.
-astroawani

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.