"Raja bomoh" Ibrahim Mat Zain yang kini menjadi perhatian media antarabangsa mengancam untuk menampar Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kerana menggesa agar beliau ditangkap.
Ibrahim marah dengan kenyataan Khairy yang juga merupakan ahli Parlimen Rembau itu melalui akaun Twitternya, @khairykj.
"Biar saya cakap terang-terang pada Khairy Jamaluddin hari ini. Saya cabar dia.
“Letak jawatan jadi menteri dan saya letak jawatan sebagai mahaguru. Kita berlawan," kata Ibrahim dalam satu klip video YouTube disiarkan blog www.suara.tv.
"Saya tampar dia macam (semudah menampar) buaya nanti, baru dia tahu," katanya.
Ibrahim yang sebelum ini mengugut untuk menyaman pihak yang mengatakan beliau bercanggah dengan ajaran Islam berkata akan mengemukakan saman sebanyak RM100 juta sekiranya Khairy yang juga merupakan Ketua Pemuda Umno itu mengulangi kenyataannya.
"Saya bagitahu Khairy, kalau dia buat lagi saya nak saman dia RM100 juta. Menjatuhkan imej Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zain.
"Anak murid saya seramai beberapa juta orang akan sanggup ke depan ke mahkamah," katanya.
Khairy pada 12 Mac lalu menulis di akaun Twitter @khairykj, "bomoh permaidani sakti" itu perlu ditangkap kerana "memalukan" negara.
Ibrahim pada Isnin mendapat perhatian meluas apabila muncul di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan dua batang buluh dan satu bubu.
Bubu itu diletakkannya di atas kepala seorang lelaki yang hadir di situ dan beliau menggunakan dua batang buluh berkenaan sebagai teropong untuk meninjau ke arah bubu berkenaan sambil membaca surah Yasin.
Beliau muncul sekali lagi pada hari Rabu dan bersama tiga orang pembantu yang diarahkannya supaya duduk bersila dalam satu barisan di atas satu pengalas, diperhatikan orang ramai.
Ibrahim yang melakukan ritual untuk membantu usaha mengesan pesawat MH370 yang hilang dalam perjalanan ke Beijing sejak Sabtu akan memfailkan saman terhadap mana-mana pihak yang mendakwa perbuatannya itu bercanggah dengan syariat Islam.
Ibrahim mendakwa upacara yang dilakukannya pada Isnin di KLIA menggunakan ayat suci Al-Quran dan berlandaskan syariat Islam.
“Penggunaan barang itu hanya sebagai simbolik atau petua yang diturunkan oleh orang tua dan bukannya untuk dipuja," katanya. – TMI
Friday, March 14, 2014
‘Raja bomoh’ mahu tampar Khairy Jamaluddin
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.