Dua tompok tumpahan minyak yang dipercayai datang daripada enjin pesawat Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines yang hilang awal pagi Sabtu ditemui dalam operasi mencari yang dilakukan pihak berkuasa Vietnam, lapor sebuah akhbar negara itu.
Akhbar Tuoi Tre itu juga melaporkan tompokan minyak masing-masing sepanjang 20 kilometer pada jarak 500 meter antara satu sama lain itu ditemui juruterbang pesawat tentera Vietnam yang menyertai misi pencarian tersebut.
Tompokan minyak itu dilaporkan ditemui 140 kilometer ke selatan Pulau Tho Chu di pesisir selatan Vietnam.
Selain tompokan minyak, pasukan pencari Vietnam juga mengesan kepulan asap di permukaan laut berhampiran tempat tompokan minyak ditemui di koordinat 7.25 utara, 103.2320 timur.
Sebelum itu akhbar yang sama melaporkan pesawat MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing itu terhempas di Laut China Selatan dalam kawasan perairan Malaysia.
Penerbangan MH370 ke Beijing itu membawa 227 penumpang dari 14 negara selain 12 anak kapal terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi Sabtu.
Pesawat itu berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi.
Ia dilaporkan hilang selepas gagal dikesan pada radar pusat kawalan trafik udara Vietnam yang kemudian melaporkannya kepada pusat kawalan trafik di Subang.
Dalam pada itu, Vietnam juga menyatakan kesediaan untuk menggerakkan misi mencari dan menyelamat sekiranya ada permintaan daripada kerajaan Malaysia.
"Oleh kerana pesawat itu hilang dalam kawasan perairan Malaysia, Vietnam tidak boleh menghantar pasukan penyelamatnya tanpa permintaan rasmi daripada Malaysia," kata Mejar Jeneral Pham Hoai Giang, pengarah Jabatan Mencari dan Menyelamat di Kementerian Pertahanan Vietnam dipetik oleh Tuoi Tre. -astroawani
TERKINI
Tumpahan minyak: Belum ada jawapan dari Vietnam
Kerajaan Malaysia telah menghubungi Vietnam untuk pengesahan bahawa tumpahan minyak, mungkin berkaitan dengan kehilangan penerbangan MH370 Malaysia Airlines, dikesan di Laut China Selatan.
"Pihak berkuasa Vietnam tidak memaklumkan kepada kita mengenai penemuan itu. Kami membacanya dalam berita. Kami bertanya tetapi kami belum menerima lagi jawapannya," kata Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman.
Ini ekoran laporan berita bahawa dua tumpahan minyak telah dikesan oleh pihak berkuasa Vietnam di kawasan hujung paling selatan Vietnam.
Tidak ada sebarang petunjuk bahawa tumpahan minyak itu berkaitan dengan kehilangan pesawat MH370 Malaysia Airlines tetapi menurut laporan, minyak tersebut konsisten dengan bahan api yang digunakan oleh Boeing 777-200 .
Reuter Newswire memetik Timbalan Menteri Pengangkutan Vietnam Phan Quy Tieu sebagai berkata ia mengesan tumpahan minyak dan lajur asap kira-kira 250 kilometer ke barat pulau Tho Chu di selatan Vietnam.
Tambahnya Vietnam telah menghantar bot maritim dan ketenteraan ke kawasan itu untuk menjelaskan apa yang dilihat. Ia akan mengambil masa tiga hingga empat jam untuk sampai ke kawasan dari pantai.
Azharuddin berkata DCA juga tidak mengetahui tentang sebarang panggilan kecemasan diterima oleh tentera AS, seperti satu laporan berita.
"Kami tidak mendengar apa-apa," katanya sambil menambah bahawa tentera AS setuju untuk membantu.
Sementara itu , Pegawai Operasi dan Latihan Tentera Udara Diraja Malaysia Affendi Buang berkata usaha mencari dan menyelamat akan terus sepanjang malam.
"Kami menggunakan pesawat dengan kemampuan carian malam. Bukan mudah tetapi ia tidak mustahil menggunakan sistem malam yang betul.
"Komitmen kami adalah supaya usaha mencari sepanjang masa sehingga keputusan dibuat," katanya.
Usaha mencari itu juga diperluaskan dari pantai timur Semenanjung Malaysia, di mana pesawat itu terakhir dikesan pada radar pada jam 1.30 pagi ini, hingga ke pantai barat.
Ini bermakna pihak berkuasa merancang untuk melancar usaha mencari di Laut China Selatan, Selat Pulau Pinang dan Selat Melaka. -mk
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.