Sudah jatuh ditimpa tangga, peribahasa yang tepat menggambarkan nasib yang menimpa Malaysia dalam tempoh seminggu yang berlalu. Misteri kehilangan MH370 masih belum selesai, tiba-tiba Malaysia dikejutkan pula dengan kematian tragis aset negara, sehingga kini 6 orang semuanya, berpunca daripada pengambilan dadah terlebih dos.
Kematian adalah biasa untuk golongan tua senja, tetapi "luar biasa" untuk golongan muda belia. Apatah lagi punca kematian adalah dadah yang merupakan musuh nombor satu negara. Ditambah derita apabila kematian terjadi di sebuah acara hiburan melampau yang dibuat secara tertutup. Ini mengundang pelbagai reaksi masyarakat yang cakna. Malapetaka apa ini?
Pandangan saya, tragedi ini hanyalah sekelumit daripada lambakan masalah sosial yang berlegar di kalangan anak muda Malaysia. Dadah, walaupun diisytihar musuh nombor satu negara masih berjalan secara terbuka, sehinggakan pengalaman sendiri mendengar pengakuan peserta pusat serenti masih boleh mendapatkan bekalan di dalam pusat sendiri.
Betapa gagalnya kita menangani masalah ini. Seks bebas berlaku depan mata kita dibuktikan dengan pendaftaran kelahiran bayi tanpa bapa yang jumlahnya bukan sedikit dan kes pembungan bayi yang dilaporkan bagaikan tiada noktah. Bila semuanya akan berhenti?
Sebuah tamadun manusia dan juga pembangunan negara bergantung harap kepada keutuhan belia anak muda sebagai "pucuk muda" yang akan tumbuh segar menggantikan "daun tua" yang akan gugur akhirnya. Pembinaan belia negara sewajarnya menjadi agenda nasional nombor satu negara yang bukan hanya berkosmetik merancang, tetapi harus bersungguh-sungguh melaksanakan di lapangan dan terus menerus mendidik anak muda mereka supaya mereka kenal mana intan yang mana kaca.
Realitinya, kita melihat kesungguhan mendidik golongan belia negara ini tidak bersungguh. Di suatu tangan kita berikan mereka madu, di satu tangan yang lain kita beri mereka racun. Bagaimana sepohon pokok dapat membesar jika kita berikan baja dan racun serentak. Pastinya akan layu dan mati kerana itu hukum alam. Air tidak boleh bercampur dengan minyak. Mesti ikut tatacara pendidikan manusia dan alam.
Cukup sebagai pemerhatian kecil, melihat rancangan di kotak bersuara televisyen, lambakan rancangan realiti yang mencari bakat penyanyi, filem aksi ganas yang terlampau, promosi gaya hidup tanpa batasan lelaki dan wanita dan slot acara yang mengagungkan kecintaan dunia disumbat masuk ke dalam minda belia. Tapi pada masa sama, di sekolah diajarkan mata pelajaran akhlak mulia. Tidakkah ini konflik yang kusut di dalam jiwa anak muda. Ke mana hala tuju pembinaan generasi muda kita.
Terkesan dengan pandangan seorang cendekiawan agama mengatakan bahawa setiap manusia ini lahir dalam keadaan suci bersih daripada dosa dan sifat buruk. Maka ibu bapalah yang mencorakkan apa bentuk sahsiah anak-anak mereka. Di dalam keluarga di rumah, ibu dan ayah yang menentukan produk anak mereka. Di dalam masyarakat, ketua masyarakat adalah ibu bapanya. Begitu juga negeri, ketua negeri adalah "ibu bapa" yang bertanggunjawab menentukan warna-warni yang terhasil daripada kain putih jiwa rakyatnya.
Begitulah juga ketua negara. Kita semua ada peranan dan watak yang perlu dimainkan di dalam proses pendidikan belia ini. Sebiji kek yang sedap pastinya terhasil daripada bahan-bahan terpilih kualitinya dan diuli oleh tangan pembuat kek yang berkemahiran.
Kematian 6 belia di festival muzik ini adalah tamparan kepada semua pihak yang diamanahkan menjaga belia. Penjaga di rumah, penjaga masyarakat, penjaga negeri sehinggalah penjaga negara harus bermuhasabah dan koreksi diri di mana silapnya. Tidak perlu menuding jari kepada orang lain. Satu jari yang menunjuk "engkau yang bersalah" 4 jari lagi mengisyaratkan "aku" juga bersalah. Perlu ada keikhlasan dan kesungguhan kita semua untuk memastikan aset negara yang tiada nilainya ini terus ditatang dan diisi jiwa mereka dengan bahan berkualiti dan membina dan hentikan menyogok mereka dengan sampah jijik dan hina.
Tidak pernah ada istilah terlambat dalam membuat kebaikan, ayuh seluruh rakyat, kita berganding bahu, berpimpinan tangan untuk terus memastikan belia Malaysia menjadi belia harapan agama dan nusa. Kepada belia, sedarlah bahawa di atas pundak anda, terpikul cita-cita dan harapan, seluruh rakyat untuk mewarisi negara tercinta, agar terus dipelihara dan dipacu agar dihormati kawan dan lawan. –.
* Dr Nazil Nuhairi Ismail ialah Pengerusi Persatuan Profesional Islam Kedah (Promis).
Monday, March 17, 2014
Future Music Festival Asia: Malapetaka yang dicari
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.