Sunday, May 5, 2013

1,001 kisah menarik PRU13

DALAM pertarungan politik kita sedar dan akur dengan realiti bahawa semua pesaing mempunyai kubu masing-masing. Betapa hebat seseorang calon, mahupun sesebuah parti politik sekalipun, mustahil menyapu 100% undi.

Kehangatan mood politik masyarakat Cina kini sedang memuncak, sehingga ke satu tahap di mana saya perhatikan Pakatan Rakyat tidak melepaskan secebis atau sehiris peluang untuk terus memujuk agar penyokong di kubu pesaingnya “menyeberang”. Saya tidak berani meramalkan peratus sokongan masyarakat Cina terhadap Pakatan tanpa soal selidik yang dijalankan mengikut kaedah profesional. Tetapi pengamatan saya menyimpulkan bahawa sokongannya lebih daripada PRU12.

Dalam PRU12, pengundi Cina “protes secara senyap”, sehingga membeliakkan MCA dan Gerakan apabila peti undi dibuka, maka PRU13 menyaksikan semakin ramai pengundi Cina menyatakan pendiriannya secara lantang dan terbuka sebelum mengundi.

Saya meramalkan fenomena ini bakal mencetus ledakan lebih besar, kerana pengaruh ini berlaku dalam rantaian. Mereka yang bangun dari tidur akan mengejutkan lebih ramai pengundi yang masih didodoikan BN.

Antara yang menjadi kayu ukur adalah, satu petisen yang ditandatangani 438 orang dari bidang seni-budaya untuk menyokong sistem dua parti.

Meskipun tidak menyatakan secara langsung dan khusus bahawa gesaan itu bermaksud “sokong Pakatan Rakyat”, tetapi mesejnya cukup jelas kerana hanya dengan pertukaran kerajaan persekutuan, barulah “sistem dua parti” ini boleh dijayakan.

Kita tidak terperanjat seandainya NGO hak asasi manusia atau aktivis sosial yang tampil membuat seruan sama secara terbuka, tetapi 438 orang ini berasal dari bidang seni budaya, terdiri daripada artis, penyanyi lagu pop, pemuzik, pereka fesyen, penari, pelakon teater, pengamal seni, penulis, pembikin filem, pereka iklan dan sebagainya.

Kebanyakan mereka tidak mengerti politik kepartian, antara BN dengan Pakatan. Namun mereka merasai bahang kemelut politik yang menggugat kehidupan mereka. Penjenayahan, tekanan ekonomi, rasuah, sekatan kebebasan dan sebagainya, mengusik mereka saban hari, meskipun mereka tidak berhasrat untuk mengusik politik.

Perlu diingat, rezeki mereka amat bergantung kepada hubungannya dengan kerajaan BN.

Tindakan menyatakan pendirian sebegini umpama memecah periuk nasi sendiri. Namun akhirnya mereka tampil ke depan, setelah menyedari bahawa masanya tiba untuk melakukan perubahan.

Secara jujur saya mengakui terkejut dengan sebahagian nama dalam petisen tersebut. Untuk saya, sesetengah daripada mereka dilihat begitu “pro-establishment”, kalau bukan pro-BN dalam penampilan diri mereka sebelumnya. Rupa-rupanya, mereka juga “sedar” dan mendahagakan perubahan.

Masyarakat Cina berubah tatkala menuntut perubahan kerajaan. Politik tidak lagi terbatas kepada sekadar “mengundi secara rahsia”, tetapi juga keterlibatan dalam ceramah, menyebarkan maklumat, malah menyatakan pendiriannya secara terbuka, misalnya menggantung kain rentang atau bendera parti di depan rumah atau kedainya.

Pada PRU12, saya didengarkan kisah penduduk Cina mengambil bungkusan ayam goreng KFC yang diberikan MCA, kemudian bergegas ke sebelah ceramah DAP, mendengar sambil makan, dan kemudian menghulurkan derma.

Kisah ini dilanjutkan selepas lima tahun. Saya tergelak apabila penduduk Cina “cabut” setelah habis makan di jamuan anjuran MCA, meninggalkan pemimpinnya berucap kepada kerusi kosong.

Apabila ditanya wartawan mengenai sambutan dingin ini, pemimpin MCA mencari alasan cuaca tak baik, kesesakan jalan raya dan sebagainya...

Hujung minggu lalu, saya tertarik apabila ternampak beberapa orang mengagih beras dalam beg plastik berwajahkan Najib Razak di Klang. Maka saya ke depan menjenguk apa yang terkandung dalam beg.

Makcik Cina itu terus memberikan beg itu kepada saya, “Ambiklah kalau nak. Saya nak beras aje. Dia bagi kita ambiklah.” Kami ketawa bersama. Dua hari lalu saya terlihat satu gambar dalam laman Facebook, bagaimana beg yang sama itu diterbalikkan untuk digunakan.

Menurut warga internet yang memuat-naik gambar itu, emaknya memberitahu, “Beg kalau dibuang, bazir. Tapi kalau guna, malu. Jadi, terbalikkan sajalah, sebagai mesej terbalikkan BN, pada masa yang sama, tidak boros.”

Ia tidak bertujuan menghina pemimpin, tetapi sebagai reaksi rakyat apabila merasakan dirinya dihina sedemikian rupa. Apakah undi mereka boleh dibeli dengan beras sekilo, malah ada yang membalas, “Apakah kita nak gadaikan masa depan anak kita hanya dengan RM500 (BR1M)?”

Jika dahulu mereka menerima iklan BN yang diasak kepada mereka, kini mereka mampu melontar balik soalan, “Kalaulah wang iklan BN ini diperuntukkan untuk kebajikan rakyat, misalnya membina sekolah, tak usahlah BN belanja wang iklan untuk raih sokongan sekarang.”

Terbaru, seorang warga Malaysia yang bekerja di China, mengambil keputusan balik mengundi. Bosnya tidak gembira, malah tidak faham apa mustahaknya “mengundi”. Maklumlah, China negara komunis yang tidak mengamalkan sistem pilihan raya.

Warga Malaysia ini sudah menjangkakan reaksi bosnya, lantas menghulurkan surat letak jawatan kepadanya. Kisah ini membuat calon DAP Jelutong, Jeff Ooi sebak, dan berkata, “Negara kita bersyukur kerana anda.”

Ceritanya terlalu banyak untuk dikongsi. Ada yang terharu, ada pula yang lucu, dan ada juga yang mencungkil “kemarahan”. Kini, satu fenomena hampir terbentuk dalam masyarakat Cina -- barang siapa orang awam yang menyatakan sokongan secara terbuka kepada BN, akan dipanah kritikan massa.

Misalnya, Michelle Yeoh, yang memainkan watak Aung San Suu Kyi dalam filem The Lady, dilontarkan kritikan setelah memuji Najib sebagai PM terbaik. Ada yang menyifatkan kehangatan ini sebagai “fenomena kegilaan”, tetapi saya membacanya sebagai keresahan masyarakat Cina yang amat mendalam, sehingga meletakkan harapan yang tinggi untuk menjayakan pertukaran kerajaan persekutuan kali ini.

Ia juga menjelaskan mengapa masyarakat Cina masih berhati-hati meskipun sokongan terhadap PR semakin mantap. Jangan terperanjat apabila pengundi Cina meminta anda untuk luangkan lebih masa di kawasan Melayu, ketika anda turun ke padang. Ini kerana masyarakat Cina sedar, perubahan tidak bermakna seandainya ia bukan dijayakan dengan gandingan semua kaum.

Oleh LIM HONG SIANG (DD)
xxx2

Komen Anda

2 Responses to " 1,001 kisah menarik PRU13 "
Anonymous said...
May 6, 2013 at 5:46 PM

Masih hairan dgn mentaliti pengundi...

kalau pasaraya buat tawaran potongan harga berebut2 ke pasaraya..

tapi bila PR tawarkan :

Minyak murah .... x nak
kereta murah ..... x nak
belajar murah .... x nak


next election ... PR kena tawarkan:

bahan lucah
petrol akan dinaikkan
semua sekolah diswastakan
harga minima kereta RM1 juta

Barangkali dgn tawaran begini
pengundi akan memilih...


Anonymous said...
May 6, 2013 at 5:48 PM

Kekalahan PR adalah kepada pengundi remaja wanita dan ibubapa saluran satu yang tegar mengundi tanpa merasa terkait dengan penangan undi untuk masa depan mahupun akhirat.Harga barangan naik dipandu oleh cukai, petrol dan subsidi, kebajikan akan terus mengecil kerana sebahagiannya telah dicurahkan.Percayalah rakyat bawahan akan terus susah bagi tahun-tahun mendatang, wang pencen yang nampak besar kini akan terus mengecil dengan kadar mampu beli semakin mengecut.Keputusan pru 13 juga mencerminkan minda melayu yang terus tercicir sanggup tercicir. Golongan wanita dan saluran satu melayu tidak faham matematik politik malah matematik dosa pahala?. maaf, sedarlah.


Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx