Thursday, December 2, 2010

ANUGERAH ‘THE UGLY TOWN’ UNTUK SEMPORNA

KEMENTERIAN Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah tidak perlu membuang banyak masa untuk menjenamakan semula Semporna sebagai ‘Bandar Bersih’ kerana pekan ini akan tetap kotor, bukan sahaja oleh sampah sarap, malah oleh penyakit ciptaan Barisan Nasional.

Aktivis Masyarakat, Abdullahsani Haji Abdul Salleh ketika menghubungi Sabahkini.net menjelaskan usaha Menteri KKTP, Datuk Haji Hajiji Mohd Noor untuk membersihkan pekan Semporna sebagai usaha sia-sia sebagaimana gagalnya pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur untuk membersihkan Lahad Datu sejak lebih 10 tahun lalu.

“Lahad Datu bertambah kotor dan kini Semporna layak digelar ‘Bandar Kembar Tawi-Tawi selepas Lahad Datu kerana timbunan sampah sarap dan pendatang asing tanpa izin,” ujar Abdullahsani yang jengkel dengan sikap berdolak dalih kerajaan untuk menukarkan Pegawai Daerah Semporna yang tidak cekap mentadbir daerah tersebut.

Masanya telah tiba, kata Abdullahsani untuk Kerajaan Negeri Sabah menempatkan Pegawai Daerah yang berkaliber seperti Pegawai Daerah Papar, Iman Ali di Pekan Sampah Semporna agar nama buruk sektor pelancongan Sabah dapat dipulihkan segera.

“Saya rasa perlantikan Iman Ali sebagai ‘Pegawai Daerah Pakar’ atau Juruperunding Kerajaan boleh membantu Semporna dan tempat asal Iman, Lahad Datu membuang badi kotor yang menistai dua bandar yang mendapat jolokan Bandar PATI,” kata Abdullahsani yang mencabar semua Adun dan Ahli Parlimen meletakkan jawatan jika tidak mampu menjalankan tugas.

Perlantikan Datuk Nasir sebagai pengerusi jawatankuasa khas untuk memastikan kebersihan di Semporna pada masa akan datang, kata Abdullahsani, bagaikan melantik kambing untuk menjaga sirih; kerana beliau menyifatkan Nasir gagal memastikan Semporna mencapai status bandar sifar sampah dan malah mengambil kesempatan untuk menjaga kepentingan kroninya yang menjadi penyumbang kepada kekotoran bandar ini.

Abdullahsani juga mencadangkan agar Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun membatalkan niatnya untuk menyediakan dana khas untuk membersihkan Bandar Semporna; sebaliknya mengadakan Anugerah khas dalam kalendar Pelancongan Sabah iaitu Anugerah ‘The Ugly Town’ agar menjadi renjatan semangat kepada penerima anugerah berkenaan untuk memperbaiki nama baik mereka atau terus mengekalkan anugerah tersebut selama-lamanya.

Berhubung bantahan beberapa pihak termasuk beberapa Adun dan Ketua Pemuda UMNO Semporna berhubung isu Semporna Bandar terkotor, Abdullahsani meminta mereka bermuhasabah diri dan menerima hakikat bahawa Semporna sememangnya terlalu kotor.

“Bukan sahaja kotor, berbau kotor malah dikotori oleh sikap ahli politik yang enggan menerima pandangan pelancong dan masyarakat setempat. Saya sendiri telah tegur banyak kali dalam Sabahkini.net dan juga Facebook, tetapi mereka membutakan mata dan memekakkan telinga. Bila isu ini diketengahkan di Dewan Undangan Negeri, ada pihak mula mahu menunjukkan jaguh,” kata Abdullahsani yang kesal dengan sikap pemimpin BN yang terlalu bertolak ansur dengan kekotoran.

Oleh: ZULKARNAIN HASSAN (sabahkini)

1 comment:
Write comments
  1. Harap pemimpin kawasan Semporna akan bersama-sama rakyat membersihkan Semporna dan juga membersihkan nama mereka.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.