Sunday, December 12, 2010

Sungai Logongon jadi pintu masuk PATI

KENINGAU: Tanpa sedar Sungai Logongon yang menghubungkan dua negara, Indonesia (Wilayah Kalimantan) dengan Malaysia (Sabah), menjadi pintu masuk pendatang tanpa izin.

Kenyataan di atas diakui oleh ribuan penduduk negeri ini yang tinggal di pesisir Sungai Logongon – Pensiangan, dan menurut mereka ia sudah berlaku sejak tahun 60an lagi.

Menurut penduduk, sungai itu juga merupakan nadi bagi kedua buah negara untuk berhubung, kerana mereka mempunyai hubungan kekeluargaan yang masih erat.

“Mereka tidak merbahaya, kerana mereka adalah sebahagian daripada kami,” akui Atak Vuntung, 40.

Atak yang merupakan penduduk tetap Kg. Sabibingkol menjelaskan, rakyat Indonesia yang keluar dan masuk ke daerah itu melalui Sungai Logongon, merupakan suku kaum Murut yang masih mempunyai pertalian saudara di antara mereka.

“Mereka datang untuk menziarahi keluarga, atau menghadiri majlis keluarga di sini,” jelasnya.

Kg. Sabibingkol merupakan sebahagian daripada puluhan kampung di pesisir Sungai Logongon, dan berada di garisan sempadan Indonesia (Kalimantan), Malaysia (Sabah).

Rata-rata penduduk di sini mengungsi di kawasan pedalaman itu sejak berabad tahun yang lalu.

Sebuah pejabat Jabatan Imigresen Malaysia dibina di daerah kecil Pegalungan, bersama pos keselamatan PDRM – diwujudkan bagi tujuan menjaga keselamatan.

Sungguhpun demikian menurut penduduk, kemasukan rakyat dari negara jiran ke negeri ini begitu sukar untuk dibendung.

“Mereka masuk ke sini begitu kerap,” dedah Musuh Ambong, 46, yang merupakan seorang anggota Pasukan Rela.

Musuh berkata, kemasukan yang begitu bebas memperlihatkan negeri ini seolah-olah tidak ada undang-undang.

“Kami mahu mereka yang memasuki negeri ini diperiksa,” tambahnya.

Tinjauan yang dilakukan mendapati kebanyakan rakyat Indonesia yang memasuki secara bebas ke Wilayah Sabah melalui Sungai Logongon, terdiri daripada penduduk Kg. Labang, Masalong dan Malinau Kalimantan Indonesia.

“Mereka daripada keturunan suku kaum Murut dan Lundayoh, dan mereka mempunyai ramai saudara mara di daerah pedalaman Sabah,” jelas Ampalus Kaluhu, 50.

Sebelum ini, Sungai Pensiangan dikenali sebagai laluan utama rakyat negara jiran untuk memasuki negeri ini, tetapi beberapa tahun kebelakangan ini mereka beralih menggunakan Sungai Logongon yang memudahkan mereka mendarat melalui Salong.

Perjalanan ke Labang Kalimantan Indonesia, hanya mengambil masa kira-kira dua jam dari Pusat Pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia yang terletak di Pegalungan, atau 5 jam dari Salong Sepulot melalui perhubungan sungai.

“Begitu mudah untuk masuk dan keluar,” demikian pandangan rata-rata penduduk, dan menegaskan penguatkuasaan undang-undang perlu dilakukan daripada sekarang, sebelum berlaku sesuatu yang sukar dibendung terjadi.

Wartawan akhbar ini mengunjungi kampung-kampung terpencil itu, melalui jalan darat yang penuh mencabar. -NST

1 comment:
Write comments
  1. Semestinya perlu diketatkan lagi kemasukan mereka ke Sabah. Jika boleh minta mereka untuk memiliki pasport dan hadkan kemasukkan mereka setiap hari dan hadkan hari mereka berada di Sabah.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.