Thursday, December 9, 2010

FBI keluar amaran untuk patung Barbie berkamera video

BARBIE VIDEO GIRL: Kamera video kecil yang diselindungi dalam satu loket di dadanya dikatakan boleh disalah guna untuk menghasilkan pornografi kanak-kanak, menyebabkan FBI mengeluarkan 'amaran jenayah siber' untuknya. -- Foto REUTERS
LOS ANGELES (Amerika Syarikat): Biro Siasatan Federal (FBI) mengeluarkan 'amaran jenayah siber' untuk patung baru Barbie yang dilengkapi kamera video kecil tersembunyi di bahagian dadanya.

FBI berkata mainan itu boleh disalah guna untuk menghasilkan pornografi kanak- kanak.

Laporan yang dikeluarkan pejabat FBI Sacramento pada 30 November lalu itu memberi amaran bahawa kamera patung mainan tersebut boleh merakam video sehingga 30 minit yang boleh dimuat turun.

Amaran itu mendapat liputan media selepas dihantar kepada beberapa organisasi berita secara tidak sengaja.

Seorang jurucakap wanita FBI cuba mengawal keadaan dengan menyatakan laporan itu adalah untuk kegunaan penguat kuasa undang- undang.

'Tiada laporan mengenai insiden patung mainan ini digunakan untuk perkara lain selain tujuan asalnya.

'Sebagai penjelasan, tujuan amaran itu adalah untuk memastikan agensi penguat kuasa sedar bahawa patung mainan itu, sama seperti peralatan dengan keupayaan merakam video, boleh mengandungi bukti dan tidak seharusnya diabaikan ketika sesuatu pemeriksaan,' kata jurucakap wanita itu, yang berpangkalan di Washington, dalam satu kenyataan.

Patung Barbie Video Girl buatan Mattel Inc yang mula dipasarkan pada Julai lalu pada harga AS$49.99 ($65.23) itu dilengkapi kamera video di dadanya yang diselindungi dalam satu loket.

Rakaman kamera video itu boleh ditonton pada layar LCD pada bahagian belakang patung tersebut atau dimuat turun ke komputer.

Amaran FBI itu menyatakan tiada tanda-tanda rakaman video tersebut boleh disalurkan terus ke Internet. -- Reuters.

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.