Wednesday, December 15, 2010

JUTAYA JADI SAMSENG CEROBOH TANAH ADAT?

SEKUMPULAN seramai 300 orang penduduk kampung Solog, Penganitan dan Kagasa mengadakan demonstrasi secara aman di perkarangan pejabat daerah Nabawan bagi tujuan membantah pencerobohan Syarikat Jutaya yang ingin meneroka tanah mereka di sini pada Selasa.

Penduduk yang kesal dengan tindakan pihak Syarikat Jutaya yang mencerobohi kawasan berkenaan melakukan demonstrasi aman untuk membantah keras tindakan tersebut dan memohon Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman untuk menyelesaikan masalah mereka.

Pengerusi Jawatan kuasa Kemajuan dan keselamatan kampung, Liwas Bin Lambang dan Ketua Kampung Kg.Solog, Andabi Ampungit mengetuai demonstrasi tersebut berkata, tindakan demonstrasi itu adalah ingin menarik perhatian pihak atasan agar menangani permasalahan penduduk yang sudah 9 tahun merujuk perkara ini di jabatan tanah dan ukur daerah dan negeri namun belum diselesaikan.

Liwas berkata hampir setiap bulan mereka merujuk dan bertanya tentang perkara itu di pejabat tanah dan ukur serta pihak hasil bumi namun ia tidak dapat diselesaikan kerana belum ada keputusan dari pihak atasan.

Beliau bersama beberapa penduduk telah merujuk perkara tersebut di pejabat tanaha dan ukur Nabawan sejak 21 September 2001 untuk melakukan bantahan keatas pencerobohan pihak Syarikat Jutaya yang diakui telah mengaku memiliki tanah tersebut, namun tiada keputusan.

Selain itu pada 15 September 2008 perkara di rujuk ke Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur di Kota Kinabalu, Peggi Lim namun belum dapat menyelesaikan perkara tersebut dengan alasan surat bantahan tidak diproses.

Pada 18 Februari 2006 sekali lagi perkara ini dirujuk di Jabatan Tanah Dan Ukur, Kota Kinabalu namun ia hampa kerana tidak ada sebarang respon oleh pihak berkenaan membuat penduduk meragui tindakan tersebut yang menyebabkan penduduk sukar menanam atau mengusahakan pertanian di kawasan tersebut oleh kerana telah mendapat tentangan daripada pihak berkenaan termasuk pihak Syarikat Jutaya.

“Kami masyarakat tiga kampung iaitu Kg.Solog, Kg.Penganitan dan Kg.Kagasa tidak mahu hak asasi tanah adat kami dicerobohi dan dirampas oleh orang luar, kami tidak mahu generasi akan datang tidak memiliki tanah akibat perbuatan khianat pihak tidak bertanggungjawab menjual tanah dan kami ingin mempertahankan peninggalan warisan nenek moyang kami,” katanya.





BANTAH…KK Andabi dan PKKK Liwas mengetuai perhimpunan aman membantah pencerobohan Sykt.Jutaya yang ingin meneroka tanah mereka.

KK Andabi pula berkata, jika tanah adat hak asasi kami tidak diurus sebaiknya bagaimana kami boleh bercucuk tanam atau dimana kami mencari sumber pendapatan untuk menampung keperluan harian kami?

Andabi turut mempertahankan tanah adat tersebut kerana ia peninggalan nenek moyang sejak ratusan tahun yang lalu dengan adanya bukti tanah perkuburan nenek moyang dan tanaman mereka.

Lagi pula katanya, apa logiknya perkara ini tidak dapat diselesaikan oleh pihak berkenaan dan mengapa tanah yang berstatus LA boleh dijual sewenang-wenangnya sedangkan kami seramai 101 orang telah memiliki LA namun ia tidakpun diambil tindakan untuk tujuan penyukatan dan penyelesaian sebaik mungkin, katanya.



ABAI…Penduduk memegang kertas yang ditulis dengan slogan 9 tahun perjuangan bantahan mereka namun tidak diambil perduli oleh pihak tertentu.

Penduduk ketiga-tiga kampung tersebut menyedari pencerobohan itu dan bertindak menghalang masuk jentera pihak Syarikat Jutaya pada 18 November 2010 apabila mereka ingin meneroka tanah berkenaan bagi tujuan tanaman pertanian kelapa sawit dan getah.

Dalam pada itu beberapa ladang penduduk yang ditanami getah turut mengalami kerosakan kerana pihak Syarikat membina jalanraya menuju ke kawasan yang cerobohi melalui ladang-ladang tersebut menyebabkan kemarahan penduduk kerana tidak ada keizinan masuk dari mereka, malah pihak Syarikat Jutaya turut mengambil hasil balak di kawasan berkenaan.

Justeru itu, beliau berharap pihak Ketua Menteri dapat menangani masalah penduduk oleh kerana kepada siapa lagi kami harus berharap selain kepada pemimpin atasan yang memegang tampuk pemerintahan kerana kami juga adalah sebahagian rakyat yang senantiasa menyokong kepimpinan di bawah kerajaan Barisan Nasional, jelas beliau.

Oleh : HASSAN DALIMPOS (sabahkini)

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.