Friday, December 17, 2010

SPRM DIGESA SIASAT 1AZAM

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menjalankan siasatan segera berhubung pendedahan Ahli Dewan Undangan Negeri Nabawan, Bobbey Suan bahawa 102 daripada 557 senarai e-kasih Nabawan tidak layak menerima program 1Azam, kerana termasuk ramai pegawai Kerajaan.

“Siasatan harus ditumpukan siapa yang menjadi dalang menggunakan senarai e-kasih untuk tahun 2000 bagi penerima 2010? Dalam hal ini, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am dan Menteri terbabit perlu meletakkan jawatan atau bercuti ketika siasatan dijalankan kerana dibuat secara tidak telus,” ujar Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat Sabah, Zainuddin Hassan sebagai mengulas kenyataan Bobbey.

Program Kerajaan Persekutuan ini amat baik untuk membantu Sabah membasmi gelaran Negeri termiskin di Malaysia, namun pelaksanaannya dibuat secara tergesa-gesa sehingga memudahkan berlakunya penyelewengan kerana Jabatan Audit Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah tidak professional menjalankan tugas.

Tegas Zainuddin, kerjasama semua pihak amat penting kerana pelaksanaan program secara membuta tuli akan membazirkan wang rakyat dan penyelewengan mudah dilakukan disebabkan tidak ada pemantauan daripada pihak berkuasa seperti Jabatan Audit Negara dan SPRM.

“Pegawai yang mengesahkan senarai e-kasih tanpa rujukan silang berkenaan harus dipecat kerana jika benar pendedahan Bobbey, maka senarai e-kasih yang digunakan di seluruh Sabah juga tidak sah disebabkan penuh dengan fakta palsu dan penyelewengan,” ujar Zainuddin yang mencabar Bobbey agar membuat laporan polis jika benar-benar mahu membasmi kemiskinan kerana Bobbey mempunyai locus-standi untuk berbuat demikian disebabkan kes ini berlaku di kawasan yang diwakilinya.

Sehubungan itu, Zainuddin mendesak agar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Dato’ Shahrizat Abdul Jalil turut meletakkan jawatan sekiranya beliau turut bersubahat dengan penyelewengan ini sehingga menyebabkan rakyat yang benar-benar berhak tercicir daripada senarai penerima; malah yang tidak layak pula tersenarai.

Pelaksanaan 1Azam kata Zainuddin dibuat secara 'muslihat' untuk mengukuhkan kedudukan BN di Sabah sedangkan mekanismenya berterabur dan tidak kemaskini kerana melalui Pejabat Pos. Semua sedia maklum bahawa pejabat pos di luar bandar tidak mempunyai lebihan tunai untuk menunaikan elaun berkenaan.

“Kenapa tidak salurkan melalui Bank Simpanan Nasional, Bank Pertanian atau Bank Rakyat yang boleh turun padang untuk membuka akaun dan menunaikan elaun 1Azam bagi membantu masyarakat miskin tegar keluar daripada kemiskinan yang merantai mereka selama ini?,” tanya Zainuddin.

Menurut Zainuddin, Projek 1AZAM yang diperkenalkan bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan rakyat Malaysia miskin tegar dan miskin, menambah pendapatan sehingga melebihi had garis kemiskinan yang ditetapkan iaitu RM750 sebulan bagi miskin dan di bawah RM2000 sebulan bagi golongan berpendapatan rendah melalui 4 (empat) peluang menambah pendapatan dikenalpasti iaitu Penempatan pekerjaan, Perniagaan kecil-kecilan, Penyediaan perkhidmatan dan Pertanian

Namun kata Zainuddin, hasrat untuk menyediakan peluang kepada golongan miskin tegar dan miskin meningkatkan pendapatan isirumah mereka sehingga keluar dari garis kemiskinan dengan meraih pendapatan melebihi RM2000 sebulan, iaitu melepasi garis kemiskinan Negara tidak mungkin tercapai dengan pelaksanaan yang penuh dengan penyelewengan.

“Usaha untuk memperkasa kumpulan miskin tegar dan miskin agar dapat berdikari dan tidak terlalu bergantung sehingga bebas daripada bantuan kewangan secara langsung daripada kerajaan, hanyalah omongan kosong kerana pelaksanaannya seperti meludah ke langit,” ujar Zainuddin yang menggesa penilaian semula Bidang Keberhasilan Utama Negara atau dikenali sebagai National Key Results Area (NKRA).

Walaupun secara keseluruhannya, kata Zainuddin, inisiatif 1AZAM untuk menumpukan usaha membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia melalui penempatan semula pekerjaan yang diisi oleh pekerja asing, namun cadangan pihak makmal NKRA agar kerajaan memperkenalkan Penetapan Gaji Minimum kepada pelbagai industri dan sektor pekerjaan yang ditawarkan kepada tenaga kerja Malaysia hanya omongan kosong.

“Gagasan NKRA melalui 1Azam agar bakal pekerja di Malaysia berpendapatan sekurang-kurangnya RM750 sebulan kepada pekerja berkelulusan rendah dan separa mahir, tidak mungkin dicapai dalam keadaan Kerajaan 1Malaysia lebih banyak membazir wang rakyat dalam keadaan ekonomi menguncup disebabkan hutang negara yang meningkat secara mendadak,” kata Zainuddin yang meminta agar semua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menjalankan kajian terhadap pelaksanaan 1Azam yang penuh skandal dan dicemari gejala rasuah.

Oleh: ZEILA A (sabahkini)

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.