Tuesday, December 7, 2010

Rasuah: Kerani Lembaga Tabung Haji dipenjara

SANDAKAN: Seorang kerani Lembaga Tabung Haji yang berdepan dengan 28 pertuduhan pecah amanah dijatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM10,000 atau 10 bulan penjara bagi setiap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Hakim Mahkamah Sesyen, di sini, kelmarin, Indra Haji Ayub memutuskan hukuman itu dijatuhkan ke atas Nasaruddin Salim, 41, selepas beliau didapati bersalah melakukan perbuatan itu antara tempoh 18 April 2007 hingga 4 November 2008.

Nasaruddin yang mempunyai tiga anak mengaku bersalah bagi 23 pertuduhan yang dibacakan terhadapnya. Bagaimanapun, beliau menafikan penglibatannya dalam lima lagi kes pecah amanah.

Berdasarkan fakta kes yang dibacakan, Nasaruddin yang diamanahkan untuk mengurus transaksi kewangan disyaki menyalahgunakan wang dalam 26 akaun pelanggan institusi kewangan itu membabitkan sejumlah RM215,000 untuk kegunaan sendiri.

Transaksi kewangan tersebut dipercayai telah diluluskan dengan bantuan seorang pegawai kerani tanpa pengetahuan dan kebenaran pemegang akaun yang sah.

Kesalahan itu menyebabkan Nasaruddin didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebat dan denda.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fillany Siji. Indra turut memerintahkan kesemua hukuman dijalankan serentak bermula 29 November 2010. -nst

1 comment:
Write comments
  1. Harap Kerani ini akan bertaubat dan tidak mengulangi perbuatannya selepas ini.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.