Wednesday, December 1, 2010

SAMPAI BILA KAMI TERUS TERSISIH?

APAKAH hadiah yang teristimewa kepada rakyat Sook selepas 47 tahun mengharungi kemerdekaan? Jawapannya kira-kira lebih 1,000 penduduk di tiga buah kampung iaitu Kg Linsudan Baru, Kg Namadan Baru dan Kg Bambangan Baru masih bergelumang dengan jalanraya berlumpur dan bermandi debu.

Menurut mereka, janji-janji untuk menaiktaraf jalanraya sudah lama dizahirkan oleh pemimpin kerajaan semasa melakukan lawatan ke kampung mereka khususnya ketika musim berkempen dalam pilihanraya, tetapi malangnya selepas itu janji tinggal janji ibarat ‘janji terang bulan’.

Justeru, mereka sekali lagi menggesa kerajaan agar tidak melengah-lengahkan pelaksanaan untuk menaiktarafkan jalan raya utama menuju ke simpang Batu 16, kerana ketika ini jalanraya berkenaan telah rosak teruk dan sukar dilalui oleh sebarang jenis kenderaan.

Disebabkan penduduk di situ sudah bosan dengan keadaan jalanraya yang berlumpur dan licin malah mereka (penduduk) terpaksa kena menyorong kenderaan apabila tersangkut di kawasan berlubang dekat situ. Bukan sahaja itu, malah mereka sudah serik dan tidak tahan lagi berada dalam keadaan yang serba kedaifan, seolah olah masih berada di zaman kolonial lagi.

Jurucakap penduduk, Henry Judy Kusop, 50, berkata demikian kepada media pada Ahad, berikutan kerosakan jalan raya di situ yang menyulitkan penduduk kampung apabila keluar berurusan ke pekan untuk memasarkan hasil tanaman mereka ke pusat bandar.

Judy menegaskan bahawa selain penduduk kampung, warga pendidik di Sekolah Kebangsaan (SK) Linsudan juga turut mengalami masalah yang sama sehingga menyukarkan mereka membawa keperluan mengajar termasuk peralatan sekolah kerana kenderaan pengangkutan awam enggan masuk di kawasan itu.

“Amat menyedihkan lagi katanya, apabila ada penduduk yang sakit tenat dan memerlukan rawatan di hospital Keningau kerana tidak dapat dibawa keluar dengan cepat kerana masalah jalanraya yang teruk,” tegas beliau.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Isim Gamurong yang menceritakan detik-detik memilukan apabila seseorang penduduk keluar ke pekan terpaksa membawa cangkul untuk mengeluarkan takungan air dan lumpur di atas jalanraya.

“Jika tidak, kenderaan kami tidak dapat lalu di situ kerana jalan licin dan berlumpur, takut kenderaan tersangkut di kawasan berlubang besar,” jelas Isim.

Kata Isim, bukan setakat membawa cangkul tetapi terpaksa membawa dua pasang pakaian kerana jika pakaian mereka terpalit dengan lumpur mereka menukarnya sebelum meneruskan perjalanan ke pekan.

Sementara itu, menurut mereka Adun Sook, Datuk Ellron Alfred Angin telah pun menyedari permasalahan di situ kerana beliau telah pun meninjau kawasan tersebut pada Oktober 2010 dan difahamkan beberapa perkara telah pun dirancang dan dikemukakan kepada pihak tertentu namun setakat ini masih belum ada tanda-tanda tindakan telah dilakukan.

Oleh: JACKSON LU (sabahkini)

1 comment:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.