Friday, April 18, 2014

Adun Paloh cedera, isteri maut dalam kemalangan

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelantan kawasan Paloh, Datuk Nozula Mat Diah (gambar) mengalami cedera ringan manakala isterinya Datin Maziah Din maut dalam kemalangan di Kilometer 23 Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai di Ipoh hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata anak lelaki pasangan itu berumur 20-an turut berada di dalam kenderaan yang dipandu Nozula.

Beliau berkata mereka yang selamat kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini manakala mayat Maziah dibawa ke rumah mayat hospital yang sama untuk bedah siasat.

"Berdasarkan maklumat yang diterima kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan Murano yang dipandu sendiri oleh Nozula dipercayai terbabas dan merempuh tebing bukit dalam kejadian pada pukul 6.30 petang," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata kesemua mangsa sedang dirawat dan masih mengalami trauma.

Pihaknya akan memastikan mangsa stabil sebelum mengambil maklumat lanjut kejadian, katanya. – Bernama

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.