Friday, April 18, 2014

MP Langkawi hina gambar mayat Karpal Singh

Tatkala ahli-ahli politik daripada kerajaan dan pembangkang bersedih dengan kematian bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad menghina mayat pemimpin veteran pembangkang itu di laman Facebooknya.



Sambil memuatkan gambar mayat Karpal dan menyiarkan keratan akhbar penentangan pemimpin itu terhadap hukum hudud, Nawawi mengeluarkan kenyataan yang memperlekehkan pemimpin itu.

"Siapa nak sambut cabaran Karpal Singh? Sila bagi nama he he," tulis Nawawi di akaun Facebook ‘Dato Ir Nawawi Ahmad’ merujuk kepada keratan akhbar bertajuk "Mahu wujudkan negara Islam langkah mayat kami dulu - Karpal Singh".

Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam reaksinya terhadap sesetengah pihak yang tidak menghormati jenazah Karpal meminta semua pihak menunjukkan nilai baik Islam dengan menghormati seseorang yang sudah meninggal dunia.

"Inilah ketinggian akhlak dan budi yang menjadikan Islam itu dihormati. Kegagalan untuk menampilkan akhlak yang baik inilah yang menimbulkan prasangka manusia terhadap Islam dan sekali gus mereka membenci umatnya," katanya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.


Selain itu, Nawawi yang juga ahli Umno turut menulis
tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Karpal Singh.

Tulisan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Karpal Singh.

"Anwar berahim mesti lega bila orang yang arah 'anwar ibrahim harus bertaubat' sudah tiada," tulis Nawawi.

Mohd Asri yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, umat Islam perlu memikirkan sebab mengapa seseorang bukan Islam menolak sesuatu berkaitan Islam.

"Jika dia menolak tafsiran Islam yang dibuat oleh pihak tertentu, bukan semestinya dia membenci Islam.

"Saya tidak tahu hakikat YB Karpal Singh, namun atas nama akhlak Islam yang mulia, saya ucapkan takziah kepada kaum keluarganya," kata Mohd Asri.

Karpal yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor itu maut dalam satu kemalangan ngeri di kilometer 301.6, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala utara berhampiran Gua Tempurung, Perak pada kira-kira jam 1.30 pagi ini.

Turut terkorban dalam kemalangan itu ialah pembantu peribadinya, Michael Cornandez sementara anaknya, Ram Karpal mengalami cedera parah.

Karpal yang dipercayai sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang bagi menghadiri satu kes mahkamah meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah. -TMI

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.