Tuesday, April 1, 2014

Lebih ramai tak puas hati dengan Najib kini?

Peratusan jumlah rakyat yang tidak berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (gambar) meningkat kepada 44% pada Mac 2014 berbanding 40% pada Disember 2013, dedah kaji selidik Merdeka Center.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, rating perdana menteri itu bagaimanapun kekal pada tahap 52% pada tempoh sama.

Sementara itu, 49% merasakan negara ini bergerak ke arah bertentangan berbanding 38% yang merasakan sebaliknya.

Kajian berkenaan, kata Ibrahim, yang dijalankan dijalankan antara 7 Mac hingga 20 Mac 2014 ketika isu berkenaan pemotongan subsidi, peningkatan harga bahan api dan gula serta bil elektrik berlaku.

Kajian itu turut menunjukkan luahan "kegembiraan" terhadap kerajaan meningkat daripada 38% pada Disember 2013 kepada 42% pada Mac 2014.

Peningkatan itu dipercayai berpunca, terutamanya daripada persepsi pengundi luar bandar dan mereka yang berpendapatan kurang RM1,500 ke bawah kerana mereka merupakan kumpulan penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia.

Daripada sejumlah 1,005 responden mereka, Merdeka Center mendapati pengundi Cina mempunyai luahan kegembiraan terendah dengan kerajaan iaitu hanya 13%.

Jumlah itu bagaimanapun menunjukkan peningkatan berbanding 10% pada Disember 2013.

Pengundi Melayu kekal kelompok tertinggi dalam rating berkenaan iaitu sebanyak 57% pada Mac 2014, berbanding 52% pada Disember tahun lalu.

Masyarakat India pula mengalami penurunan kepada 37% berbanding 40% pada tempoh sama.

Sejumlah 38% pengundi pula menunjukkan persepsi gembira terhadap Barisan Nasional berbanding 42% yang tidak berpuas hati dengan parti pemerintah kerajaan pusat itu.

Sejumlah 46% pengundi berpuas hati dengan pengurusan ekonomi perdana menteri, manakala 51% menunjukkan tren sebaliknya.

Manakala masing-masing 58% berpuas hati dengan pengurusan kaum dan menjaga keharmonian kaum oleh perdana menteri.

Jumlah tertinggi pengundi berpuas hati dengan usaha Najib meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa iaitu sebanyak 59%.

Bagaimanapun, hanya sejumlah 33% pengundi berpuas hati pengurusan Najib menangani rasuah dalam kerajaan; 32% berpuas hati langkah pengurangan ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan; dan 39% berpuas hati kerajaan memahami beban rakyat menanggung peningkatan kos sara hidup. – TMI

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.