Wednesday, January 5, 2011

Lelaki tempatan didenda RM37,000 atas lima kesalahan

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun telah didenda sebanyak RM37,000 oleh Mahkamah Majistret atas lima kesalahan.

Johnny Yee Chi Khien mengaku bersalah dihadapan Majistret Nuruhuda Mohd Yusof bagi kelima-lima pertuduhan ke atasnya.

Bagi kesalahan pertama, tertuduh mengaku memiliki 34 filem pornografi pelbagai tajuk di dalam external hard disk dan bagi kesalahan kedua, dia juga mengaku memiliki 74 cerita pornografi di dalam hard disk komputernya.

Kedua-dua kesalahan itu diperuntukkan di bawah Seksyen 5 (1) a Akta Penapisan Filem 2002 yang boleh didenda RM10,000 dan penjara selama setahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan ketiga, Johnny memiliki 229 keping cakera padat pelbagai tajuk yang belum diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem.

Dia juga didakwa memiliki 255 keping DVD pelbagai tajuk yang juga belum diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem.

Bagi pertuduhan kelima, Johnny sekali lagi melakukan kesalahan iaitu mempamerkan 188 DVD pelbagai tajuk yang belum diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem.

Ketiga-tiga pertuduhan itu diperuntukkan di bawah Seksyen 6 (1) a Akta Penapisan Filem 2002 yang boleh didenda di antara RM5,000 dan RM10,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan pertama, Johnny didenda RM11,000 gagal bayar lapan bulan penjara, RM12,000 gagal bayar sembilan bulan penjara bagi pertuduhan kedua, RM6,000 gagal bayar lima bulan penjara bagi setiap pertuduhan ketiga dan kelima dan RM2,000 gagal bayar dua bulan penjara bagi pertuduhan kelima. -NST

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.