Monday, June 23, 2014

Adakah PM Najib akan mengemas barisannya?

Mula-mula kita dengar pertukaran menteri besar dan kini, kedengaran kisah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula yang akan berundur bagi memperkukuhkan parti Umno.Adakah ini dongengan atau akan benar-benar berlaku? Tunggu dan lihat.

Ketika satu persatu tokoh besar Umno bertukar, persoalannya: Adakah Perdana Menteri akan membuat perubahan besar bagi mengukuhkan kedudukannya sendiri?

Setelah dikritik dan diserang dari pihak dalaman parti, termasuk tokoh veteran Umno kerana kurang berpendirian tegas dan tidak menunjukkan pengaruhnya, Najib dilihat berdepan cabaran besar mengekalkan kuasa.

Diberitakan terdapat beberapa kumpulan yang diterajui pemimpin veteran yang turut disokong bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamda yang kurang senang dengan Najib dan mahunya berundur. Muhyiddin dilaporkan menjadi pilihan bagi menggantikan tempatnya.

Ironinya, ia seperti apa yang berlaku apabila Najib mengambilalih jawatan perdana menteri daripada tangan Tun Abdullah Badawi dahulu, di mana Muhyiddn memainkan peranan penting menyingkirkan Pak Lah.

Berita yang berlegar-legar daripada kumpulan di dalam Umno telah dibaca pemerhati sebagai kemungkinan Najib bakal disingkirkan dari berterusan memimpin parti Melayu itu, selepas pencapaian hambar di dalam PRU13 yang lalu.

Namun Najib secara senyap-senyap (atau mungkin penasihatnya) mengorak langkah menyusun kembali langkah agar beliau kekal memimpin Umno.

Sejak berita pertukaran barisan MB tersebar, sekurang-kurangnya satu jawatan MB telah bertukar tangan dengan pengunduran Datuk Seri Ahmad Said di Terengganu. Ini kemungkinan diikuti dengan Datuk Seri Adnan Yaakob di Pahang mengambil langkah yang serupa.

Tokoh lama diganti dengan pemimpin baru yang menyokong kepimpinan Najib.

Berita kemungkinan Muhyiddin direhatkan daripada jawatan TPM bakal mengesahkan bahawa Najib sedang memperkemas barisannya sambil menyingkir pesaingnya.

Berita tersebut dipetik daripada blog Umno dan Muhyiddin dikatakan akan mengambil cuti daripada berpolitik kerana beliau mahu memperkukuhkan parti Melayu itu.

Penyokong tegar Najib dan sepupunya yang juga menteri pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dikhabarkan akan mengambil tempat Muhyiddin selaku TPM.

Cerita yang mungkin sukar diterima, seperti juga Ahmad menandatangani perjanjian bagi menjadi MB hanya bagi tempoh setahun selepas PRU13 dan Adnan dijangkiti bakteria yang menyebabkannya berundur atas sebab-sebab kesihatan.

Seorang blogger Umno dilaporkan mengulas tentangnya di laman Facebook, walaupun beliau kurang gemar dengan langkah menjadikan Hishammuddin TPM, sambil menggelarnya ‘pondan’. Ini bermaksud beliau bukan pemimpin kuat yang mampu menjayakan agenda Umno.

Tetapi mungkin benar Najib sedang mengemas kedudukannya. Namun bukan mudah menyingkirkan Muhyiddin. Malah penyingkiran Ahmad turut memberi kesan kepada Najib dari segi kos, modal politik dan pengaruh.

Langkah Ahmad keluar parti hampir menyebabkan BN tumbang di Terengganu. Muhyiddin bakal memberi kesan lebih besar kepada Najib dan kumpulannya sudah tentu tidak bersetuju beliau digantikan dengan Hishammuddin

-bm.theantdaily.com

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.