Apa makna puasa?
Puasa menurut pengertian bahasa bermaksud menahan dari sesuatu seperti menahan dari bercakap, makan, minum atau sebagainya.
Adapun puasa menurut pengertian Syara‟ (yakni puasa yang disuruh Allah supaya dikerjakan oleh setiap orang Islam) ialah; “Menahan diri dari makan, minum dan jimak (persetubuhan) dengan suatu niat dan ikhlas kepada Allah”. (Tafsir Ibnu Kathir; Surah al-Baqarah, ayat 183)
Masa berpuasa ialah dari terbit fajar Sodiq (iaitu fajar yang menandakan masuknya waktu subuh) hinggalah terbenam matahari (iaitu masuknya waktu maghrib).
Berapa jenis puasa?
Puasa melihat kepada hukumnya ada beberapa jenis;
- Puasa yang wajib. Ia ada beberapa jenis pula; Pertama; puasa yang diwajibkan Allah dengan ditetapkan hari-harinya iaitulah puasa Ramadhan. Kedua; puasa yang diwajibkan kerana sebab-sebab tertentu sebagai hak (kewajipan) terhadap Allah, iaitulah puasa Kaffarah yang merangkumi kaffarah sumpah, kaffarah zihar, kaffarah membunuh secara tersalah dan sebagainya. Ketiga; puasa yang diwajibkan oleh individu itu sendiri ke atas dirinya, iaitulah puasa nazar.
- Puasa yang disunatkan; seperti puasa isnin dan kamis, puasa tiga hari setiap bulan dan sebagainya.
- Puasa yang diharamkan; seperti puasa pada hari raya dan sebagainya.
- Puasa yang dimakruhkan; seperti puasa pada setiap hari.
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.