Thursday, June 19, 2014

Rafizi Dedahkan Konsesi UiTM Puncak Alam Diberi Kepada CEO Syabas



PKR mendakwa konsesi penswastaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam dianugerahkan kepada syarikat milik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Tan Sri Rozali Ismail.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli ketika membuat pendedahan itu di lobi Parlimen berkata, konsesi penswastaan itu diberikan kepada TRIplc Ventures Sdn Bhd, milikan 100% oleh TRIplc Berhad yang majoriti sahamnya dimiliki oleh Rozali dan keluarganya.

"Saya menganggarkan Rozali mengawal sekurang-kurangnya 43% pegangan dalam TRIplc melalui syarikat miliknya dan keluarga serta syarikat berkaitan beliau," kata Rafizi kepada pemberita.

Rafizi berkata, semakan Laporan Tahunan TRIplc Berhad 2013 menunjukkan 43% pegangan Rozali dan individu berkaitan meliputi beberapa syarikat, antaranya ialah 12.31% pegangan peribadi atas nama Rozali, 5.15% melalui Central Plus (M), 4.93% melalui Corporate Line (M) Sdn Bhd yang kedua-duanya dimiliki beliau dan anak-anaknya serta 0.77% pegangan peribadi atas nama anak lelakinya Azlan Shah Rozali.

Rafizi berkata, semakannya juga menunjukkan 5.5% pegangan saham peribadi atas nama adik Rozali, Datuk Mat Hairi Ismail, 6.25% melalui syarikat Minat Bakti Sdn Bhd, syarikat yang dikawal kontraktor utama Rozali, 4.69% melalui Formasi Simbolik Sdn Bhd dan 4.35% melalui Embun Edar Sdn Bhd, yang mana kedua-duanya syarikat dikawal individu berjawatan dalam NGO yang dinaungi Rozali.

Rafizi berkata, Syarikat Minat Bakti Sdn Bhd adalah syarikat bermodal RM2 yang dimiliki oleh anak kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Aidil Abdul Aziz dan Ruzlan Rahmat.

"Kedua-duanya adalah pengarah dalam MRPI Pipes Sdn Bhd dan Jalur Cahaya Sdn Bhd iaitu syarikat pembekal utama kepada Syabas dan Kumpulan Puncak Niaga yang dikawal Rozali," katanya.

Beliau berkata, Formasi Simbolik juga adalah syarikat bermodal RM2 dimiliki Borhanuddin Ramli yang merupakan Bendahari Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) dan Datuk Abdullah Abu Bakar, iaitu timbalan pengerusi pertubuhan yang dipengerusikan sendiri oleh Rozali.

Katanya, Embun Edar Sdn Bhd pula syarikat bermodalkan RM2 yang dimiliki Pengerusi Dewan Perniagaan Generasi Baru Felda Malaysia, Mohd Roshidi Hassan dan Pengerusi Pertubuhan Kontraktor Generasi Felda, Amran Mohamad, iaitu pertubuhan NGO dinaungi Rozali.

"Pegangan melalui pelbagai syarikat ini menguatkan pendirian saya UiTM Puncak Alam diswastakan kepada syarikat yang dikuasai Rozali.

"Rozali merupakan ahli perniagaan yang memegang jawatan dalam Umno dan terkenal sebagai antara orang paling bermanfaat daripada Umno," dakwa Rafizi. – TMI

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.