Friday, June 20, 2014

Bekas Suspek Kes Altantuya Ditangkap Khalwat

Seorang bekas polis komando berusia 38 tahun yang dibebaskan tahun lalu atas tuduhan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006 ditahan awal hari ini selepas ditangkap berkhalwat dengan seorang polis wanita yang sudah berkahwin di Sepang.

Lelaki berkenaan yang sebelum ini bertugas di Skuad Tindakan Khas di Bukit Aman ditangkap di sebuah unit kuarters polis di Sepang bersama seorang wanita oleh suami wanita terbabit pada jam 1.20 pagi. Gambar fail

Suami berkenaan, seorang anggota polis yang bertugas di unit kereta peronda, pulang ke rumah untuk memeriksa sama ada isterinya di rumah dan mengesyaki sesuatu tidak kena apabila mendapati pintu berkunci.

Selepas memeriksa dengan lebih lanjut, beliau mendapati bekas komando itu bersembunyi di sebelah katil dalam bilik tidur.

Ketua Polis Sepang, Superintendan Mohd Yusoff Awang mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes itu diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk tindakan selanjutnya.

“Polis membuka fail tindakan disiplin terhadap polis wanita itu. Lelaki itu, bagaimanapun, tidak tertakluk kepada tindakan disiplin kerana bukan lagi anggota polis. Kes ini akan dikendalikan oleh Jais,” kata Yusof kepada The Malaysian Insider.

Beliau enggan mengesah atau menafikan lelaki yang ditahan itu adalah orang yang sama disabitkan membunuh Altantuya dan kemudian bebas dalam kes rayuan.

“Saya belum melihatnya. Saya tidak tahu bagaimana rupanya jadi saya tidak boleh beritahu kamu,” katanya.

Difahamkan nama lelaki berkenaan dalam laporan polis ialah Azilah Hadri, nama yang sama seperti Ketua Inspektor Azilah Hadri iaitu salah seorang daripada dua komando yang dibebaskan pada Ogos tahun lalu selepas mahkamah membenarkan rayuan selepas mereka disabitkan bersalah dalam kes pembunuhan Altantuya.

Secara kebetulan, lelaki yang ditangkap awal hari ini juga adalah bekas pegawai polis yang pernah bertugas di Skuad Tindakan Khas di Bukit Aman, unit yang sama dengan Azilah sebelum beliau ditahan pada 2006.

Pada Ogos tahun lalu, Mahkamah Rayuan membebaskan Azilah dan bekas corporal Sirul Azhar Umar selepas menterbalikkan sabitan terhadap mereka dalam kes bunuh Altantuya.

Azilah dan Sirul dituduh bersama dan disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 kerana membunuh Altantuya, 28, di hutan simpan di Shah Alam pada Oktober, 2006.

Kedua-duanya pada masa itu bertugas dengan Skuad Tindakan Khas Bukit Aman dan berada dalam pasukan keselamatan Datuk Seri Najib Razak. Najib pada ketika itu adalah timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan. -TMI / GB

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.