Monday, June 23, 2014

ADUN DAP Bukit Assek meninggal dunia

Seorang ADUN Sarawak, Wong Ho Leng, meninggal dunia malam tadi selepas bertarung dengan penyakit barah otak selama lebih setahun.

ADUN DAP Bukit Assek itu meninggal dunia di Sibu sekitar jam 11 malam tadi dan meninggalkan lima orang anak.

Wong, 54, berada dalam keadaan koma sejak Februari tahun ini dan menerima rawatan di Singapura.

Barah yang menyerang bahagian otak itu dikesan sejak tahun 2012.

Wong mendapat perhatian ramai sebelum ini selepas merampas kerusi parlimen Sibu dari BN dalam pilihan raya kecil tahun 2010.

Beliau tidak bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 apabila barah itu dikesan.

Bagaimanapun, beliau kekal sebagai ADUN Bukit Assek yang dimenanginya dalam pilihan raya tahun 2011.

Sarawak adalah satu-satunya negeri yang pilihan raya negerinya tidak serentak dengan pilihan raya melibatkan kerusi parlimen.

Pemergian Wong itu hanya sehari selepas persidangan DUN Sarawak genap tiga tahun, yang dikira sejak hari pertama persidangan pada 20 Jun 2011.

Pilihan raya kecil tidak perlu adakan selepas tempoh tiga tahun tersebut.

Sementara itu, Bernama melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, melalui laman twitter beliau, mengucapkan takziah kepada keluarga Wong. -MK

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.