Tuesday, November 18, 2014

Benarkah Sabah masih tidak selamat untuk pelancong?

Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata enggan mengambil risiko mempromosikan Sabah selagi kes penculikan melibatkan pelancong asing di negeri itu masih belum selesai.

Menteri pelancongan itu berkata beliau sendiri tidak mahu pergi ke Lahad Datu buat masa ini, apatah lagi menggesa duta Malaysia di luar negara mempromosikan kawasan pelancongan yang masih belum selamat itu.

"Saya tidak berani hendak bagi jaminan Sabah selamat sedangkan ada lagi dua kes penculikan masih belum selesai.

"Saya tidak akan cakap dengan duta-duta kita (supaya) yakinkan pelancong luar datang ke Sabah... saya tidak akan buat," katanya semasa sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Nazri berkata demikian menjawab isu dibangkitkan Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid yang mencadangkan agar kementerian meminta bantuan duta Malaysia mempromosikan kawasan tersebut.

"Macam mana saya hendak yakinkan orang kalau kes itu tidak selesai lagi, kes itu turut melibatkan anggota polis, konstabel yang bertugas menjaga perairan Sipadan. Adakah itu selamat?" soalnya.

"Saya tidak mahu tanggung (akibatnya). Kalau saya bagi jaminan Sabah sudah selamat, berduyun-duyun (orang) datang. Dan kalau seorang kena culik, saya yang kena nanti," kata Ahli Parlimen Padang Rengas itu.

Nazri berkata, pelancong lebih takut dengan insiden penculikan berbanding insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.

"Pelancong merasakan penculikan di Sabah lebih menakutkan daripada insiden kapal terbang, sebab saya sendiri pun takut.

"Pada mereka MH370 boleh berlaku pada mana-mana penerbangan, tapi untuk ke Sabah, mereka (pelancong) takut sebab penculikan berlaku di sana," katanya.

"Saya sendiri tidak mahu ke Lahad Datu, tidak mahu cari pasal."

Pada tengah malam 16 Jun lepas, sekumpulan lelaki bersenjata api menyerbu rumah atas air yang didiami pengusaha kolam ikan Chan Sai Chiun di Kunak, Sabah sebelum melarikannya dengan sebuah bot laju menghala ke perairan antarabangsa.

Selain Chan, seorang lagi rakyat Malaysia Konstabel Zakiah Aleip masih berada dalam tawanan penculik di Selatan Filipina selepas dilarikan dari Pulau Mabul di perairan Semporna pada 12 Julai lepas.

Penculik yang menculik Chan didakwa menuntut RM3 juta sebagai syarat pembebasan.

-TMI

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.