Saturday, November 22, 2014

SPRM akan siasat ahli politik BN

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius kenyataan seorang hartawan China yang mendakwa pernah membayar sejumlah wang kepada ahli-ahli politik untuk operasi perlombongannya.

Kenyataan SPRM hari ini menyatakan, Ketua Eksekutif CAA Resources, Li Yang pernah membayar kira-kira AS$100,000 kepada ahli-ahli politik Barisan Nasional (BN) untuk mereka mendapatkan gelaran Datuk, sekali gus memudahkan operasi lombongnya di Bukit Besi, Terengganu. SPRM akan bertemu dengan Li Yang untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara tersebut.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah, menegaskan SPRM yang mengambil pelbagai pendekatan untuk membanteras rasuah tidak akan bertolak ansur dengan apa jua bentuk rasuah termasuk perbuatan meminta dan memberi rasuah.

“Dakwaan dibuat oleh Li Yang juga boleh merosakkan nama dan imej pihak istana di mana kemungkinan ada pihak tengah yang cuba mengambil kesempatan meminta wang daripada ahli-ahli perniagaan,” ujarnya.

Beliau berkata, SPRM akan bertindak tegas jika benar wujud perbuatan meminta wang sogokan atau rasuah daripada ahli-ahli perniagaan bagi memudahkan operasi perniagaan. Ini terbukti dengan kes-kes yang pernah di bawah ke mahkamah sebelumnya.

Pada tahun lalu, seorang kontraktor dijatuhkan hukuman lima tahun penjara dan denda RM50,000 kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 iaitu meminta suapan RM5,000 sebagai dorongan membantu seorang individu memperoleh Darjah Kebesaran Negeri Perak yang membawa gelaran Datuk Seri.

Tegas beliau, SPRM juga ingin menegaskan bahawa jenayah rasuah hanya boleh diperangi habis-habisan sekiranya semua pihak memberi kerjasama dengan memberi maklumat dan bukti mencukupi.

-fmt

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.