Kempen Switch Off’14 ‘Rancangan tergendala’ mendapat sambutan di luar jangkaan apabila hampir 3,000 orang hadir termasuk selebriti terkenal dan para karyawan seni.
Program yang diadakan di Dataran Zoo Negara, Hulu Kelang Selangor malam semalam dibanjiri dengan penyokong yang majoritinya berpakaian serba hitam sebagai solidariti terhadap kempen itu.
Antara selebriti popular yang hadir ialah Fauziah Nawi, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Fizz Fairuz, Afdlin Shauki, Mustafa Kamal, Norish Karman, Kopratasa, Eddie Hamid dan A Aida.
Kempen itu untuk menzahirkan 11 tuntutan gabungan 11 persatuan artis dan industri kreatif berlangsung dengan aman dan santai sambil dihidangkan beberapa persembahan dari artis jemputan.
Acara yang berlangsung tiga jam bermula jam 8 malam, dimulakan dengan nyanyian lagu ‘Negaraku’ dan disusuli dengan tarian singa dan persembahan ‘silat panglima’.
Kemudian penyokong dihidang dengan ‘gimik’ perasmian kempen dengan kemunculan dua buah helikopter kawalan jauh yang membawa mafla ‘Switch Off’ 14’.
Salah sebuah helikopter kawalan jauh itu membawa alat kawalan jauh televisyen sebagai simbol untuk mematikan TV bagi meneruskan program rancangan tergendala tersebut.
Turut hadir menyokong program itu Ketua Penerangan Pemuda Umno Jamawi Jaafar.
Sebelum itu, dalam ucapannya, beliau berkata sepanjang beliau pernah menjadi pengerusi biro kebudayaan dan kesenian pergerakan itu, ramai yang mengetahui perjuangannya dalam industri itu.
Sketsa Grup Poyo
Katanya, beliau sentiasa menyokong kumpulan anak seni dalam memperjuangkan hak mereka dan sedia menjadi "jambatan" antara penggiat seni dan kerajaan.
“Untuk maklumat semua, saya akan sentiasa bersama anda dan saya akan membawa perkara ini kepada kerajaan bagi memaklumkan tentang tujuan kempen ini.
“Semoga perjuangan anda dapat diteruskan pada masa akan datang dan saya bersedia menjadi jambatan untuk pihak anda kepada kerajaan," kata Jamawi yang diringi tepukan gemuruh hadirin.
Kemudian acara diteruskan dengan persembahan sketsa dari kumpulan Teater Grup Poyo.
Dalam sketsa itu, mereka melakonkan mengenai kepayahan para pelakon dan pekerja industri seni antaranya terpaksa berkerja lebih masa, jadual tidak menentu dan bayaran rendah.
Himpunan malam tadi turut diserikan lagi dengan persembahan nyanyian daripada pelakon terkenal Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan Fauziah Nawi.
Penganjur juga tidak menyangka kehadiran penyokong mencecah hampir 3,000 orang berbanding jangkaan 1,000 sebelum ini, malah tempat duduk yang disediakan juga tidak mencukupi.
Bagaimanapun ia tidak menghalang pengunjung yang hadir dan ada di antara mereka sanggup berdiri dan duduk di sekitar ruang dataran itu.
Walaupun hujan lebat membasahi dataran itu, namun masih ada hadiran yang menunggu sehingga program selesai tidak lama kemudian, dan ada juga yang bertempiaran lari mencari tempat berteduh.
-mk
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.