Tuesday, November 4, 2014

Siswa bidas PTPTN kurangkan pinjaman

Pemimpin muda Pakatan Rakyat dan mahasiswa membidas langkah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memotong pembiayaan sebanyak lima peratus kepada pelajar mahu melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT) awam dan 15 peratus ke IPT swasta.

Mereka menyifatkan langkah itu amat tidak wajar ketika rakyat berdepan kekangan kewangan sebaliknya menegaskan kerajaan perlu mengatasi pembaziran dan ketirisan yang berlaku bagi mengelak pendidikan menjadi mangsa.

"Ini membuktikan bahawa dasar pembiayaan pendidikan Kerajaan Persekutuan telah gagal sama sekali," kata Exco pendidikan Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad.

"Pendidikan tinggi bukanlah keistimewaan atau kemewahan. Pendidikan tinggi semakin hari menjadi kepentingan awam.

"Rakyat Malaysia yang didedahkan kepada pendidikan yang mudah dicapai dan berkualiti menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan pekerja yang produktif yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata matlamat kerajaan sewajarnya meluaskan capaian ke IPT, bukan menyukarkan keadaan atau memusnahkan impian anak muda yang ingin melanjutkan pelajaran mereka.

Sementara itu, Presiden Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol berkata langkah PTPTN itu mencerminkan keadaan sebenar kedudukan ekonomi Malaysia.

Menurutnya lagi, tindakan itu juga sebagai bukti kepimpinan sedia ada gagal mengurus ekonomi dengan cekap dan pengurusan pentadbiran negara yang tidak berkesan

"Alasan kekurangan dan merupakan alasan yang tidak sepatutnya diberikan oleh kerajaan, malah alasan ini jelas nyata bahawa Malaysia bakal mengalami krisis ekonomi yang dikatakan semakin meruncing.

"Ternyata pengurusan ekonomi negara Malaysia kini kurang cekap dapat dibuktikan lagi dengan sembilan tahun berturut-turut belanjawan negara mengalami defisit," katanya dalam satu kenyataan..

-mk

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.