Thursday, November 13, 2014

Kerajaan ambil tindakan penjawat awam curi RM1 juta

Kerajaan akan mengambil tindakan disiplin kepada penjawat awam yang menggelapkan hampir RM1 juta daripada Jabatan Akauntan Negara, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Katanya, Jabatan Akauntan lewat mengambil sebarang tindakan kerana menunggu siasatan polis tetapi selepas dinasihatkan oleh Peguam Negara, jabatan berkenaan akan mengambil tindakan disiplin kepada pegawai tersebut.

“Kementerian Kewangan berpandangan kita tidak wajar mengambil tindakan disiplin atau surcaj sebelum siasatan polis selesai,” katanya semasa sesi town hall Laporan Ketua Audit Negara 2013 di Kuala Lumpur hari ini.

“Bagaimanapun, pada 18 September 2014, Peguam Negara menasihatkan tidak perlu menunggu siasatan polis selesai, tindakan disiplin boleh diambil.

“Hari berikutnya, kementerian mengeluarkan surat kepada Jabatan Akauntan untuk mengambil tindakan disiplin dan saya dimaklumkan pagi ini jabatan sudah mengambil langkah menjalankan tindakan itu,” katanya.

Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 mendapati pegawai itu dilepaskan walaupun beberapa laporan polis dibuat terhadap beliau bagi dua kejadian – pada 3 Mac dan 10 Mac 2011 – selepas kerugian diketahui.

Pegawai itu terlepas dengan wang yang tidak dituntut berjumlah RM995,031.

"Seorang pegawai mengendalikan dana penipuan dan penyelewengan dari 27 Ogos 2008 hingga 21 Disember 2010, melibatkan RM995,031 wang tidak dituntut dan tiada tindakan undang-undang diambil walaupun laporan polis dibuat terhadapnya.

"Kehilangan itu juga dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 11 Mac tahun yang sama," kata Laporan Ketua Audit Negara.

Laporan yang dikeluarkan di Parlimen pada hari Isnin, berkata polis menyempurnakan siasatan berhubung kes itu.

Kertas siasatan dihantar ke Pejabat Peguam Negara dengan cadangan mendakwa suspek kerana memalsukan akaun di bawah Seksyen 477A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Satu jawatankuasa siasatan ditubuhkan untuk menyiasat kejadian itu mendapati suspek adalah seorang kerani pentadbiran Gred N17 di Jabatan Dana dan Pengurusan Sekuriti Akauntan Negara.

Mereka juga mendapati pegawai itu juga memalsukan dokumen sokongan untuk wang dengan mengkategorikannya sebagai "bayaran tidak wajar" berjumlah RM827,781.46.

Pegawai itu juga membuat pembayaran berjumlah RM106,955.35 kepada pelbagai individu dan tidak boleh ditentukan sama ada jumlah baki daripada RM60,294.50 adalah bayaran sebenar.

Semua wang dipindahkan melalui Pemindahan Dana Elektronik.

Walaupun disyorkan dipecat dan didenda oleh panel siasatan pada 22 April, 2011, Laporan Ketua Audit Negara mendapati pegawai itu sebaliknya ditukarkan ke Bahagian Pengurusan Pembangunan Perakaunan bermula pada 9 Januari 2012.

Pada Mac tahun lepas, Kementerian Kewangan memberi kelulusan menghapuskan RM995,031 yang hilang tetapi mengeluarkan arahan tindakan tatatertib dan surcaj akan diambil terhadap pegawai itu. –TMI

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.