Wednesday, January 5, 2011

SIJIL ANAK NEGERI Vs MyKAD

SESUNGGUHNYA pengalaman adalah guru yang paling kejam tetapi merupakan guru yang terbaik kerana ia menghukum dahulu, kemudian mengajar. Namun pengalaman lalu belum cukup untuk mengajar pemimpin Sabah makna sebuah perjuangan yang tulus kerana ingin membongkar keranda tua, semata-mata untuk menghidupkan tulang belulang menjadi ‘Zombie’ yang berjalan sebagai ‘Anak Negeri Sabah’.

Skandal demi skandal bagaikan tidak memberi kesan kepada para pemimpin ‘Anak Negeri’ kerana seolah-olah tidak serik dengan segala Skandal penipuan yang menyebabkan 99 peratus tanah adat di Sabah jatuh ke tangan ‘Anak Negeri Palsu’ melalui pengkhianatan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri di Mahkamah Anak Negeri di seluruh Sabah.

Gejala rasuah yang membudaya, menyebabkan mereka tidak serik-serik memboroikan perut kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sukar untuk memberkas mereka kerana jenayah dilakukan secara terancang dan kolektif.

Saya tertarik dengan beberapa cadangan terutama Ahli Parlimen Malaysia, Datuk Marcus Mojigoh yang mendesak Kerajaan Negeri Sabah agar menghidupkan semula pengeluaran Sijil Anak Negeri bagi membantu Anak Negeri Tulen (hasil perkahwinan campur) mendapat hak mereka; bagi mengelakkan mereka marah dan membalas dendam pada pilihanraya umum akan datang.

Begitu juga dengan Datuk Henrynus Amin yang menyokong Mojigoh berlandaskan keperluan semasa; namun kesan pengeluaran semula bercanggah dengan tujuan murni untuk membantu mereka yang benar-benar layak.

Namun ramai penasihat Anak Negeri dan Aktivis Hak Asasi menyifatkan hasrat mereka sebagai 'Beruk Mabuk Stout' kerana kurang praktikal. Lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan jika tidak ada badan yang mempunyai locus-standi untuk mengeluarkan dokumen pengenalan diri.

Walaupun kebanyakan Sijil Anak Negeri yang dikeluarkan secara songsang tidak mempunyai ‘Fail dan Doket’, namun Ketua Daerah yang ‘mata duitan’ dan Pengarah Hal Ehwal Anak Negeri Sabah yang bermata ‘Setan’ mengesahkan bawa Sijil Palsu berkenaan sebagai betul namun tidak diambil tindakan di bawah Seksyen 199 dan 200 Kanun Keseksaan kerana membuat akuan palsu.

Mengikut Undang-Undang yang berkuatkuasa, Sijil Anak Negeri hanya dikeluarkan kepada ‘Bukan Anak Negeri’ untuk mengesahkan mereka sebagai ‘Anak Negeri’ berdasarkan hubungan mereka dengan Anak Negeri melalui kahwin campur, keturunan anak negeri dan mematuhi Ordinan Anak Negeri Sabah.

Sijil Anak Negeri bukanlah diberi secara automatik oleh Ketua Daerah sebaliknya perlu melalui Prosiding Mahkamah; oleh itu wajib mempunyai fail dan doket bagi setiap kes yang dibicarakan; termasuk keputusan penerimaan atau penolakan sebelum Sijil Anak Negeri dikeluarkan.

Oleh kerana tidak ada jalan yang mampu menghalang pemalsuan Sijil Anak Negeri, maka Kerajaan Berjaya telah menghentikan pengeluaran Sijil Anak Negeri pada 1984; namun pengeluaran secara haram berterusan melalui ‘Skandal Mahkamah Anak Negeri’ dengan memalsukan tandatangan Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri yang sudah meninggal dunia.

Tanpa sebarang ciri-ciri keselamatan, Sijil Anak Negeri terlalu mudah dipalsukan oleh Sindiket yang mengenakan caj antara RM30,000 sehingga RM1 juta; bergantung kepada luas kawasan ‘Tanah Adat Dan Tanah Anak Negeri’ yang ingin dibeli oleh pemilik Sijil Anak Negeri Palsu.

Mengikut Cap. 64, Defination of Native Ordinance of The Law of Sabah;

“Any person who is ordinarily resident in Sabah, is a member of a people indigenous to the Republic of Indonesia or Sulu Group of Island in The Philippine Archipelago or the state of Malaya or The Republic of Singapore, has lived as and been a member of a native community for a continuous period for five years immediately preceding the date of his claim to be a native, has borne a good character throughout that period and whose stay in Sabah not limited under any of the provisions of the Immigration Act, 1959/63 [Sec.2(1)(d)]”

‘Native Community’ means any group or body or persons the majority of whom are natives within the meaning of paragraph (a) of Sub Section (1) and who live under the provisions of the Rural Government Ordinance or of a Native Chief or Headman appointed under the provision of the ordinance [Sec.2 (2)(b)]

Oleh itu, jika Cina daripada Filipina, Indonesia dan Singapura atau Malaya; mereka bukan sahaja tidak layak memohon atau memiliki Sijil Anak Negeri kerana mereka bukanlah kumpulan Indigenous; namun sebaliknya spesis inilah yang paling ramai memiliki Sijil Anak Negeri Palsu.

Sejarah membuktikan British lebih sayangkan Anak Negeri Sabah daripada pemimpin Sabah yang diberi amanah untuk menjaga Anak Negeri. Alibi berikut wajar dijadikan ikhtibar. Kes NCA No.2 Tahun 1959 di antara Perayu Liew Siew Yin dengan Pegawai Daerah Jesselton sebagai responden yang didengar di hadapan Hakim Rodgers J (Presiden), G.R.Hedley dan OKK Indan Kari adalah ‘Bukti Bersejarah’ bahawa bukan senang mahu menjadi Anak Negeri Sabah kerana melalui proses yang panjang.

Melalui Penghakiman yang dibuat oleh korum Hakim berkenaan pada 13 April 1959, mereka sebulat suara menolak rayuan permohonan Liew Siew Yin untuk diiktiraf sebagai Anak Negeri Sabah dengan alasan Liew tidak mematuhi Seksyen 3, Defination Of Native Ordinance Cap.64.

Mengikut fakta kes, Liew telah memohon ‘Sijil Anak Negeri’ daripada Mahkamah Anak Negeri Jesselton (Kota Kinabalu) untuk diiktiraf sebagai Anak Negeri Sabah. Liew dilahirkan di Kudat dan tinggal di Jesselton. Ibunya berketurunan Dusun. Manakala isterinya Sino-Dusun. Liew mendakwa tinggal bersama komuniti Anak Negeri (Native) di Kampung Ayer, Jesselton. Mahkamah Anak Negeri telah meluluskan permohonan Liew. Bagaimanapun Pegawai Daerah ketika itu membatalkan kelulusan tersebut dan prosiding Mahkamah Rayuan telah dijalankan untuk memutuskan kes berkenaan.

Keraguan yang timbul semasa perbicaraan tersebut ialah Liew gagal mematuhi Seksyen 3 Defination Of Native Ordinance Cap.64; berkahwin dengan adat istiadat Cina dan kesemua anaknya diberikan nama Cina serta tinggal bersama masyarakat majmuk.

Hakim Rogers J ketika menyampaikan keputusan penghakiman menyatakan bahawa;

“Perayu (Liew) telah diiktiraf sebagai Anak Negeri Sabah oleh Mahkamah Anak Negeri Sembulan di bawah Defination Of Native Ordinance Cap.64 yang dipinda melalui Interpretation (Defination Of Native) Ordinance No 20 pada 1958.”

“Pengiktirafan tersebut telah diketepikan oleh Pegawai Daerah Jesselton, Burbrook, yang mengarahkan keputusan tersebut dikaji semula kerana perayu tidak menjalani kehidupan lazim sebagai Anak Negeri Sabah.”

Mengikut Seksyen 3, Interpretation (Defination Of Native) Ordinance No 20 1958;

“The Appelent has to be a person ordinarily resident in the Colony and being and living as a member of the Native Community, one at least of whose parents or ancestors is or was a native within the meaning of Section 2 (1) a of Cap. 64.”

“Mengikut pandangan semua ahli Korum, Liew telah gagal membuktikan bahawa beliau mematuhi Seksyen 3. Memang benar bahawa ibunya berketurunan Dusun dan beliau menetap di kampung tersebut; tetapi beliau tidak boleh mendakwa menjalani kehidupan sebagai Komuniti Anak Negeri Sabah. Liew berkahwin dengan adat istiadat Cina dan memberi nama Cina kepada semua anaknya dan tidak membayar Poll Tax (Cukai Kepala) dan tinggal bersama masyarakat majmuk di Kampung Tanjung Aru. Kampung Ayer dan Kampung Tanjung Aru dihuni oleh sebahagian besar penduduk Cina dan Anak Negeri.”

Korum berkenaan telah menolak rayuan Liew namun bersedia menimbangkan jika beliau mengambil keputusan memohon semula selepas tempoh masa tertentu dan bersedia untuk tinggal bersama Komuniti Anak Negeri dan mematuhi Seksyen 3, Interpretation (Defination Of Native) Ordinance No 20 1958.

Kerajaan British telah menetapkan garis panduan yang cukup tepat bagi menjaga kepentingan Anak Negeri Sabah, namun setelah merdeka Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, malah Pegawai Daerah dan Mayor mengkhianati ‘Komuniti Anak Negeri’ dan menjadi ‘Petualang Negara’.

Jika mengikut tafsiran berkenaan, majoriti pemimpin Kadazandusun dan konglomerat di Sabah tidak layak memiliki Sijil Anak Negeri kerana gagal mematuhi Seksyen 3, Interpretation (Defination Of Native) Ordinance No 20 1958.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Sabah sewajarnya menimbangkan semasak-masaknya sebelum menggali kubur nenek moyang untuk bertanya asal keturunan yang boleh dijalan secara mudah melalui teknologi digital dan Akta DNA.

Pengeluaran Sijil Anak Negeri tidak sewajarnya dikuatkuasakan semula setelah 27 tahun berkubur tanpa nisan kerana isu ini boleh diselesaikan semudah ABC iaitu dengan memasukkan status berkenaan dalam Sijil Lahir melalui peringkatan semula DNA melalui Akta DNA yang sudah diluluskan di parlimen.

Hanya dua dokumen sahaja yang boleh diterima sah di bawah Akta Keterangan sebagai mewakili diri iaitu ‘Sijil Lahir’ dan ‘Kad Pengenalan’ (MyKad, MyKid, MyPR) kerana saling berhubung kait antara satu sama lain; yang dijadikan asas untuk memohon apa juga permohonan termasuk Lesen Memandu, Pasport dan sebagainya.

Oleh itu, sebagai langkah bestari Kerajaan Negeri Sabah boleh mengadakan Memorandum Persefahaman dengan Jabatan Pendaftaran Negara untuk memasukkan data ANAK NEGERI khas untuk Sabah semudah memasukkan data lesen memandu dan kad bank; tanpa perlu memandang 27 tahun kebelakang.

Bukanlah Sijil Lahir jelas menunjukkan keturunan anak yang dilahirkan sama ada Cina atau Sino (Status Sino-Native atau Sino-Dusun tidak timbul).

Dengan Sistem Biometrik dan DNA, Sabah akan bebas daripada Skandal Pemalsuan ‘Sijil Anak Negeri’ yang menjadi masalah Nombor Satu kepada Anak Negeri Sabah dan memartabatkan Kedaulatan Rakyat yang telah berbakti setiap kali pilihanraya umum dengan memberi sokongan kepada BN.

Apapun istilah yang akan digunakan kelak terpulang kepada Akta Anak Negeri yang boleh digubah sebagaimana akta-akta atau instrument lain bagi memudahkan urusan pentadbiran dan mengelakan ketirisan maklumat dan pemalsuan.

Agak menghairankan kenapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Di Raja Malaysia menjalankan siasatan rapi di Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri dan Mahkamah Anak Negeri di seluruh Sabah kerana penglibatan mereka mengesahkan Sijil Anak Negeri Palsu sebagai Asal kerana bercanggah dengan Seksyen 199 dan 200 Kanun Keseksaan.

Mungkinkah ada Menteri Kabinet yang terlibat?

Oleh: MUTALIB M.D (sabahkini)

16 comments:
Write comments
  1. Semua ini disebabkan salah laku daripada kerajaan dulu-dulu lagi.

    ReplyDelete
  2. pekara ini perlu ditangani dengan sebaiknya...

    ReplyDelete
  3. apa pun, pekara ini perlu diselesaikan atau diuruskan secara profesional.

    ReplyDelete
  4. bertindaklah selesaikan isu ini sebelum ia menjadi masalah besar kepada kita.

    ReplyDelete
  5. It will be very difficult to solve this problem. Many of those immigrants have been staying here for decades...

    ReplyDelete
  6. sekiranya dengan mengubah akta anak negeri akan dapat mempermudahkan urusan pentadbiran sekaligus mengelakkan ketirisan dan pemalsuan, maka ianya wajar dipertimbangkan.

    ReplyDelete
  7. I think this is a good idea. We should go into it. But on the other hand, some people might not want this to happen.

    ReplyDelete
  8. Mana2 yang layak tidak ada halangan untuk mereka dapatkan sijil anak negeri ataupun Mykad.

    ReplyDelete
  9. mungkin ianya perlu dilakukan bergantung kepada keperluan dan keadaan semasa..

    ReplyDelete
  10. namun hal ini harus dikaji semula dan diteliti setiap sudut sebelum sebarang keputusan diambil..

    ReplyDelete
  11. apa pun, perkara ini harus diselesaikan sebaik-baiknya.

    ReplyDelete
  12. Hal ni patut diberi perhatian serius dan tanggani dengan baik.

    ReplyDelete
  13. Apapun saya harap hal ni dapat diselesaikan dengan baik. Lakukan apa yg patut dan pastikan perkara ni selesai.

    ReplyDelete
  14. Isu ini bukanlah isu lama tapi tidak pernah basi untuk dibincangkan. Namun penyelesaiannya masih lagi "on the way"....jika selamanya "on the way" bila akan sampai ke destinasi?

    ReplyDelete
  15. kita bukan lagi semakin muda dan masa juga bergerak dengan cepatnya. Tidak perlu untuk kita melengah-lengahkan lagi masa yang ada. Jika sudah terdapat mana2 method segeralah implimentasikannya.

    ReplyDelete
  16. Hanya org yang benar berkelayakkan saja yang boleh mendapat sijil dan MyKad tersebut.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.