Thursday, January 27, 2011

UMS ANTARA TERBAIK DI DUNIA

2701-lead-9bUniversiti Malaysia Sabah (UMS) yang ditubuhkan sejak 17 tahun lepas kini muncul antara universiti terbaik di dunia, terutamanya dari segi penyelidikan.

Naib Canselor Brig. Jen Prof Datuk Seri Panglima Dr. Kamaruzaman Hj Ampon berkata, sehingga kini UMS telah memperolehi 100 anugerah, iaitu 17 emas, 38 perak dan 45 gangsa.

Katanya daripada jumlah itu 18 anugerah diperolehi di peringkat antarabangsa dan 82 di peringkat kebangsaan.

“Pada tahun lalu sahaja, kualiti penyelidikan dan rekacipta ahli akademik UMS telah menerima sebanyak 41 pingat, iaitu 11 anugerah pingat Emas, 13 Perak dan 17 Gangsa dalam Pertandingan Pameran dan Rekacipta di dalam dan luar negara.

“Antara anugerah khas yang diperolehi di peringkat kebangsaan ialah “Anugerah Khas Polish” bagi projek “Development of Combine Harvester in Seaweed Cultivation” dan Anugerah Pereka Muda melalui inovasi “LesTani: Formulasi Biofungisid Era Moden”,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada kakitangan universiti itu, di Dewan Canselori UMS, di sini, kelmarin.

Kamaruzaman berkata, penghargaan yang telah diperolehi bukan sahaja meningkatkan imej universiti itu malah menjadi pendorong kepada para penyelidik untuk lebih berusaha mempergiat penyelidikan yang berinovatif.

Katanya, kualiti penyelidikan kakitangan UMS juga telah mendapat pengiktirafan dua tahun berturut-turut, apabila dua penyelidikan dalam bidang Sains Sosial dan Kemanusiaan terpilih sebagai Penyelidikan Terbaik Malaysia pada tahun lalu dan awal tahun ini.

“Saya sangat berbangga terhadap pencapaian tersebut dan ia sememangnya menaikkan kualiti penyelidikan dan nama UMS di mata masyarakat tempatan dan dunia. Ia seharusnya dijadikan suntikan semangat kepada ahli akademik yang baru,” katanya.

Selain itu katanya pada tahun lalu, satu produk UMS iaitu “Construction Material” yang dihasilkan oleh Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat (SKTM), berjaya mendapat sijil pendaftaran paten daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyiPO).

“Sebanyak lapan paten telah difailkan, 21 mendapat hakcipta dan 11 Cap dagangan. Harapan kita pada tahun ini segala bentuk aktiviti penyelidikan dan inovasi mampu dikomersilkan dan mendapat lebih banyak pengiktirafan di pasaran global,” katanya.

Kamaruzaman berkata, bagi memantapkan penyelidikan dan memastikan UMS sentiasa relevan dan dirujuk, universiti itu menjalinkan rangkaian antarabangsa dan global.

“UMS menjalin kerjasama dan kolaborasi penyelidikan dengan Gwangju Institute of Science & Technology (GIST) dalam penyelidikan berasaskan Sains dan Teknologi, Royal Agriculture College, London dalam bidang pertanian, Wollongong University dalam bidang hubungan industri dan Universidad Nacional Autonoma de Mexico dalam bidang vertebrata,” katanya.

Menurutnya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9), UMS menerima peruntukan sebanyak RM33 juta bagi 337 projek penyelidikan daripada pelbagai kategori geran penyelidikan.

Katanya lagi, sepanjang tahun 2010, UMS telah mencapai sasaran Key Performance Indeks (KPI) dari segi kuantiti dan kualiti penyertaan penyelidikan. Hampir RM9.5 juta telah disalurkan kepada 129 projek penyelidikan.

“Kita sangat bertuah kerana Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mewujudkan beberapa konsep geran penyelidikan yang baru, termasuklah Long Term Research Grant Scheme (LRGS), Exploratory RGS (ERGS), dan Prototype Research Grant Scheme (PRGS) sebagai tambahan kepada Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) sedia ada.

“Namun UMS turut menyusun strategi sendiri untuk meningkatkan perolehan geran bukan hanya dari sumber kerajaan, malahan melalui penyelidikan kontrak dengan meningkatkan promosi jalinan kerjasama dengan pihak industri yang berpotensi tinggi dan komited untuk membangunkan hasil penyelidikan UMS,” katanya.

Kamaruzaman berkata, antara penyelidikan kontrak dengan industri yang diperolehi adalah daripada Shell, Asian Development Bank (ADB), Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia, dan Construction Industrial Development Board (CIDB).

Bagi memantapkan keupayaan Penyelidikan, KPT akan memberi keutamaan dalam pengagihan geran FRGS kepada projek yang melibatkan kolaborasi antara Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

“Perkara ini difikirkan perlu bagi memantapkan lagi kebolehan penyelidikan dan mengurangkan pertindihan penyelidikan dalam skala yang kecil, berkecamuk dan merugikan negara,” katanya.

Katanya, KPT turut mengambil kira kepentingan penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan yang berkaitan pembinaan negara bangsa, perpaduan dan konsep kesederhanaan.

“UMS adalah universiti yang selama ini mengamalkan budaya toleransi dan hidup dalam masyarakat multietnik. Oleh itu, peluang ini wajar direbut oleh para cendikiawan UMS untuk melaksanakan projek yang berteraskan hubungan etnik dalam negara berbilang kaum,” katanya. -NST

13 comments:
Write comments
  1. Baguslah kalau macam ini.

    ReplyDelete
  2. This is quite an achievement. Keep up the good work!

    ReplyDelete
  3. pencapaian seperti ini perlu ditingkatkan lagi. tahniah kepada UMS.

    ReplyDelete
  4. Sememangnya saya menunggu pencapaian seperti ini berlaku di UMS. Tingkatkan usaha untuk memperolehi lebih lagi pada masa akan datang.

    ReplyDelete
  5. Namun usaha ini saya percaya bukan dilakukan oleh 1 pihak sahaja, ianya adalah kerjasama antara semua pihak. Selamat Maju Jaya!

    ReplyDelete
  6. pencapaian UMS memang membanggakan. semoga UMS terus cemerlang.

    ReplyDelete
  7. kekalkan dan tingkatkan prestasi.. dari segi ranking dunia, Malaysia masih jauh ketinggalan.. tapi apa2pun, tahniah dan saya harap ini adalah langkah pertama bukan yang terakhir.

    ReplyDelete
  8. Antara yang terbaik di dunia, banding dengan Universiti apa? Yale, Havard?Top Ten ka?Top yen Asian Universiti pun tak masuk. Nak kelentong ja....

    http://www.topuniversities.com/university-rankings/asian-university-rankings/2010

    ReplyDelete
  9. Siapa yang memberikan gelaran universiti terbaik ini sebenarnya?

    ReplyDelete
  10. Mungkin UMS telah memasuki ketegori Antarabangsa..Maka itulah sebab antara universiti yang terbaik di dunia..

    ReplyDelete
  11. Universiti tempatan masih perlu meningkatkan lagi kualiti mereka.

    ReplyDelete
  12. Tak sangka UMS lama-lama jadi gah di mata dunia.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.