Friday, January 25, 2013

Gerakan mahasiswa Dalam Politik & PRU13

Sebagai sebuah pergerakan sosial, Gerakan Mahasiswa juga boleh dianggap sebagai gerakan bersifat politikal kerana sering terbabit dalam isu isu nasional yang melibatkan kepentingan Negara. Kebersamaan mahasiswa dalam isu kritikal seperti perjuangan menuntut kebebasan akademik, autonomi universiti dan pendidikan percuma sememangnya sudah diketahui umum. Aksi mahasiswa yang sering kali bersifat radikal juga sering menggemparkan dada-dada akhbar.

Seperti mana gerakan lain, Gerakan Mahasiswa juga tidak terkecuali daripada sifat dinamik yang membolehkan cara kerja gerakan sentiasa berkembang mengikut keperluan dan peluang.

Setelah meniliti metod gerakan mahasiswa sepanjang 2 tahun kebelakang, Gerakan Mahasiswa berkembang daripada gerakan berbentuk issue basis kepada gerakan berbentuk spesifik yang memiliki agenda tersendiri.

Pada pasca 2010 sehingga 2011, Gerakan Mahasiswa sering bersifat reaktif pada isu-isu nasional seperti kenaikan harga petrol, isu Lynas Gebeng, isu politik lucah dan penggantungan Prof Aziz Bari oleh pentadbiran UIA.

Episod perjuangan ini telah menyorong Gerakan Mahasiswa kepada satu idea tuntas pada penghujung 2011 apabila Gerakan Mahasiswa tampil dengan idea untuk memberi fokus kepada perjuangan menuntut Kebebasan Akademik dan Autonomi Universiti. Idea ini telah menjadi punca kepada tercetusnya peristiwa penurunan Bendera Perdana Menteri di PWTC pada 17 Disember 2011.

Banyak pandangan yang saya terima mengatakan bahawa mahasiswa perlu mencontohi kegemilangan mahasiswa 60 dan 70 an yang menggempur regim secara revolusi.

Contoh yang diberikan adalah seperti revolusi mahasiswa Iran menggulingkan Shah Reza Pahlevi dan juga kebangkitan mahasiswa Indonesia menghambat regim Suharto.

Saya tidak sesekali berani untuk menafikan peranan mahasiswa sebagai penggempur kepada sebuah reformasi. Kerana Gerakan Mahasiswa sememangnya dibarisi pejuang muda yang cukup ideal untuk bersifat radikal dan berani.

Bahkan saya tetap yakin hanya mahasiswa mampu memimpin aksi-aksi berani dalam memimpin sebuah reformasi. Berbaring di jalanan, berkhemah di tempat awam, membenteng diri dan menelan sepak terajang balaci regim, semuanya alah bisa tegal biasa bagi aktivis mahasiswa.

Saya juga pasti jika suatu hari nanti regim Barisan Nasional menggunakan kereta kebal untuk menghalang kebangkitan rakyat, mahasiswa jugalah yang akan berhadapan dengan jentera pemakan darah itu.



Namun pada penulisan ini saya tidak memilih untuk mengenang sejarah. Apa yang lebih penting ialah anak muda mahasiswa perlu memikirkan kaedah untuk memanfaatkan masa depan.

Ya, Pru ke 13 semakin hampir. Di sini mungkin ada ruang untuk Gerakan Mahasiswa mempamerkan dinamika sebagai sebuah gerakan yang matang. Sejak tahun 1969, Gerakan Mahasiswa pernah terlibat secara tidak langsung dalam Pilihanraya Umum apabila menghasilkan Manifesto Mahasiswa yang dijaja ke peringkat akar umbi. Hasilnya inisiatif mahasiswa itu telah memberi kesan langsung kepada keputusan Pru pada waktu itu.

Pada tahun 2008 pula, Gerakan Mahasiswa menubuhkan Parti Mahasiswa Negara yang berhasrat ingin mencabar Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah di Parlimen Kepala Batas namun pada saat akhir hasrat itu dibatalkan.

Oleh itu, saya merasakan negara sudah bersedia untuk menerima satu lagi ketumbukan baru dalam sejarah Gerakan Mahasiswa iaitu Mahasiswa perlu bertanding dalam Pru ke 13.

Saya kira sudah tiba masanya mahasiswa memikirkan satu bentuk gerakan konstruktif ke arah pembinaan dan bukan lagi sekadar kritikan. Dalam membicarakan masalah institusi pengajian tinggi Negara yang tidak kunjung selesai, mahasiswa perlu tampil dengan satu solusi bersepadu untuk diusulkan kepada kerajaan yang memerintah.

Maka atas faktor inilah mahasiswa perlu berdiri secara lantang dalam parlimen bersama sebuah solusi yang menjamin masa depan pengajian tinggi yang lebih baik. Jika mahasiswa mampu mengetengahkan idea baru ini, maka tidak ada alasan yang boleh meremehkan keinginan mahasiswa untuk menjadi sebahagian daripada anggota penggubal dasar di parlimen.

Oleh itu agenda yang ingin dibawa merupakan pokok pangkal yang perlu dinilai terlebih dahulu sebelum mahasiswa memutuskan samada ingin bertanding dalam Pru atau tidak. Sekiranya mahasiswa berjaya mempamerkan agenda yang benar-benar konstruktif, maka idea untuk bertanding dalam Pru akan dilihat relevan.

Sekiranya agenda yang diketengahkan benar-benar konstruktif dan realistik, saya kira mahasiswa perlu menggunakan apa sahaja ruang yang ada untuk menjadi sebahagian daripada anggota parlimen.

Saya tidak melihat ada masalah sekiranya mahasiswa terpaksa bertanding atau menumpang di atas tiket parti politik samada parti kerajaan ataupun pembangkang. Tidak ada salahnya jika mahasiswa menjalin kerjasama dengan parti yang memiliki agenda sepunya seperti mana yang telah berlangsung sekian lama.

Dalam banyak isu yang diperjuangkan, Gerakan Mahasiswa sering dilihat seiring dengan parti oposisi walaupun tidak pernah wujud hubungan sturuktural antara kedua-dua organisasi ini.

Bahkan Gerakan Mahasiswa juga sering berkongsi pentas dengan parti oposisi dalam proses memberi penerangan kepada masyarakat umum. Saya melihat ini bukanlah satu pencabulan kepada konsep Non-Partisan yang menjadi prinsip asas kepada Gerakan Mahasiswa, tetapi ini merupakan satu kematangan Gerakan Mahasiswa dalam menjalinkan kerjasama strategik.

Dalam masa yang sama, Gerakan Mahasiswa masih konsisten memberi kritikan secara adil kepada semua pihak tanpa mengira kecenderungan politik.

Banyak pandangan yang meragui kemampuan Gerakan Mahasiswa untuk terlibat secara langsung pada Pru yang akan datang. Antaranya ialah, jika pun mahasiswa menang, wakil mahasiswa hanya seorang berbanding 221 wakil parlimen lain yang memiliki agenda kepartian.

Lebih parah apabila parti yang ditumpangi mahasiswa hanya menjadi pembangkang di parlimen. Biarpun begitu, keadaan ini jauh lebih baik berbanding keadaan sekarang. Tanpa wakil di parlimen, Gerakan Mahasiswa hanya menjadi sekelompok kecil yang mampu bersuara namun belum pasti suaranya didengar oleh kepimpinan Negara.

Bahkan ahli parlimen sebelum ini juga masih tidak mampu mewakili suara mahasiswa secara serius apabila isu yang dibahaskan dalam parlimen bersifat selektif dan tidak menyeluruh. Hal ini kerana setiap ahli parlimen memiliki agenda atau manifesto tersendiri yang perlu dilunaskan. Sebagai contohnya, agenda memansuhkan Auku masih menjadi idea picisan dalam parlimen yang hanya berbunyi apabila berlaku sesuatu isu melibatkan mahasiswa.

Begitu juga perjuangan menuntut kebebasan akademik yang sehingga ke hari ini belum ada sebarang deklarasi atau rang undang-undang yang dibahaskan di parlimen untuk melindungi kebebasan intelektual.

Menurut pusat kajian demokrasi UMCEDEL, Pru ke 13 akan memperlihatkan tidak akan ada lagi parti yang menguasai 2/3 kerusi di parlimen.

Keadaan ini sudah pasti akan merintis kepada ruang demokrasi yang sedikit terbuka apabila parti pemerintah tidak lagi boleh melaksanakan pemerintahan secara wewenangan. Ini dapat dilihat melalui perkembangan politik Barisan Nasional pasca Pru ke 12.

Pemansuhan ISA dan Ordinan Darurat, pindaan AUKU, pindaan Akta Polis dan beberapa transformasi politik yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional merupakan hasil daripada kematangan rakyat dalam memilih wakil di parlimen.

Keadaan parlimen yang menghampiri keseimbangan ini secara logiknya akan membuka kepada pengamalan politik baru yang lebih menggalakan perkongsian idea berteraskan kepentingan Negara.

Oleh itu di celah peralihan budaya politik ini, mahasiswa boleh mengambil kesempatan untuk turut mengemukakan idea reformasi sistem pengajian tinggi yang menjadi agenda mahasiswa.

Perkara ini turut diakui oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Saifuddin Abdullah. Beliau menyifatkan Pru ke 13 akan menyemarakkan elemen politik baru yang dinamakan beliau sebagai New Conversation yang mendorong kepada perkongsian idea demi memajukan Negara, sekaligus memansuhkan budaya kepartian yang sempit.

Ada stigma yang mengatakan jika Gerakan Mahasiswa bertanding di bawah tiket mana-mana parti politik, maka Gerakan Mahasiswa akan terpesong daripada peranan asal sebagai gerakan Non-Partisan yang menjalankan semak dan imbang kepada politik negara. Kerisauan ini ada asasnya sekiranya dirujuk kepada sejarah Gerakan Mahasiswa Indonesia pasca pemerintahan Presiden Soekarno.

Tetapi lebih sesuai jika stigma itu dihalakan tepat kepada kerisauan yang sebenar iaitu salah guna kuasa apabila mahasiswa lupa pada objektif asal. Oleh itu kurang tepat jika stigma ini dijadikan sumber hujah untuk menafikan hak mahasiswa yang ingin bertanding dalam Pilihanraya Umum.

Sekiranya disusun dengan agenda dan perancangan yang teliti, saya pasti Gerakan Mahasiswa akan lebih bersedia untuk menjadi wakil rakyat yang berpendirian, sekaligus menafikan risiko untuk dipergunakan parti politik.

Saya optimis dengan kemampuan Gerakan Mahasiswa untuk terlibat secara langsung dalam Pru ke 13 seterusnya membuka lembaran baru kepada pendidikan politik rakyat.

Rakyat perlu dididik bahawa peranan semak dan imbang masih boleh berjalan biarpun mahasiswa menjalin hubungan strategik dengan sesebuah parti politik. Hal ini sama seperti situasi Gerakan Mahasiswa bersetuju dengan agenda Buku Jingga tetapi dalam masa yang sama Gerakan Mahasiswa mengkritik hebat penggunaan Auku di Kolej kelolaan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Oleh itu tidak ada masalah sekiranya dalam hal tertentu Gerakan Mahasiswa mengambil pendirian berbeza atau mengkritik parti politik yang dalam masa yang sama menjalinkan kerjasama atas agenda sepunya. Inilah corak Non-Partisan matang yang sepatutnya ditonjolkan kepada rakyat dan bukannya stigma Non-Partisan yang salah sehingga mendorong rakyat benci kepada politik dan parti politik.

Pendidikan demokrasi matang sebegini bukan sahaja akan melahirkan lapis rakyat yang partisipatif dalam agenda politik, bahkan akan melahirkan masyarakat yang kritikal dan vokal walaupun terhadap parti sendiri.

Secara kesimpulannya, saya melihat penglibatan mahasiswa dalam Pru ke 13 bergantung kepada sejauh mana mahasiswa mampu menghadirkan idea yang besar dan rialistik.

Idea ini akan merasionalkan sebarang langkah yang diambil oleh mahasiswa samada idea tersebut diketengahkan melalui Pilihanraya mahupun jalan raya. J

ika tidak ada Pilihanraya dalam masa terdekat, maka sudah pasti jalan raya menjadi pilihan untuk Gerakan Mahasiswa mengetengahkan idea reform ini.

Namun hakikatnya Pru ke 13 sedang menanti dihadapan dengan hamparan peluang dan manfaat yang boleh digunakan oleh Gerakan Mahasiswa.

Dengan menyertai Pru ke 13, Gerakan Mahasiswa berpeluang untuk melonjakkan agenda reformasi pengajian tinggi disamping menyemarakkan proses pendidikan politik rakyat.

Dalam masa yang sama, penyertaan dalam Pru juga akan membuktikan kesungguhan Gerakan Mahasiswa dalam menolak kaedah pemerintahan Negara oleh Barisan Nasional.

Oleh SYUKRI RAZAB (DD)

1 comment:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.