Sunday, November 14, 2010

Korban Merapi Meningkat 240

Pasukan penyelamat menemui lebih banyak mayat yang tertimbus di beberapa kampung di lereng Gunung Merapi, menjadikan jumlah korban letupan gunung itu meningkat kepada 240 orang, semalam.

Sementara itu, pihak berkuasa memberi amaran kepada ratusan ribu penduduk di pusat perlindungan supaya tidak pulang ke kediaman mereka memandangkan keadaan gunung di Jawa Tengah itu masih berbahaya.

“Kami tidak tahu dan tidak boleh meramalkan bila letupan besar akan berlaku lagi.

“Kerana itu, penduduk perlu kekal di pusat perlindungan sehingga penilaian terbaru dilakukan,” kata pakar gunung berapi kerajaan, Subandrio.

Menurutnya, aktiviti gunung berapi itu masih berstatus berjaga-jaga.

Sebahagian besar yang mati itu tertimbus di bawah lahar dan batu yang dimuntahkan gunung berkenaan apabila ia meletup 5 November lalu, yang terbesar dalam tempoh lebih 100 tahun.

Sementara itu, penyelaras sukarelawan, Makbul Mubarak berkata, 139 penduduk Kampung Sleman, antara kawasan paling teruk terjejas akibat letupan itu, masih hilang.

Katanya, kebanyakan yang hilang itu adalah orang tua dan dewasa. - AFP

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.