Thursday, November 25, 2010

Pyongyang bedil pulau Korea Selatan

pix_gal0

Amerika Syarikat (AS) mengutuk serangan artileri oleh Korea Utara ke atas pulau di Korea Selatan, sementara Tokyo membuat persiapan bagi apa juga kemungkinan selepas insiden itu yang menyebabkan pasaran saham dunia menjunam semalam.

Amerika mengutuk sekeras-kerasnya serangan ini dan menggesa Korea Utara supaya menghentikan tindakan suka berperang ini, kata Rumah Putih dalam satu kenyataan.
Korea Utara melepaskan berpuluh-puluh bedilan meriam ke pulau berkenaan, iaitu yang terbesar di Korea Selatan sejak tamat Peperangan Korea pada 1953. Serangan itu dilakukan ketika wakil AS sedang dalam penerbangan ke rantau itu berikutan pendedahan Korea Utara bahawa ia akan meneruskan langkahnya memperkayakan uranium, yang memungkinkannya mengeluarkan bahan bagi senjata atom.

AS dengan tegasnya komited mempertahankan sekutunya, Republik Korea, dan pengekalan kestabilan dan keamanan serantau, kata Rumah Putih.

Di TOKYO, Perdana Menteri, Naota Kan berkata beliau mengarahkan menterinya supaya bersedia bagi apa juga kemungkinan selepas kejadian itu.

Saya mengarahkan (menteri) supaya membuat persediaan agar kami dapat membalas tindakan dengan tegas, andainya berlaku sesuatu yang tidak dijangka, Kan memberitahu pemberita selepas mesyuarat tergempar anggota kabinet dan pegawai kanan kerajaan di kediaman rasminya.
Di BEIJING, China melahirkan kebimbangan berhubung kejadian berbalas tembakan di antara Korea Utara dan Korea Selatan dan menggesa kedua-dua pihak mencari penyelesaian ke arah kestabilan dan keamanan di semenanjung Korea.

Bedilan Korea Utara itu mengakibatkan beberapa bangunan terbakar, serta menyebabkan tembakan balas dari Korea Selatan.

Sekurang-kurangnya dua anggota marin Korea Selatan maut dan 16 lain cedera, kata pihak tentera.

Dalam reaksinya semalam, Kementerian Pertahanan Korea Selatan berkata bedilan artileri itu adalah jelas pencabulan gencatan senjata dipersetujui kedua-dua negara, dan berkata Pyonyang merancang pembedilan itu dengan sengaja.

Ia adalah serangan yang dirancang dan disengajakan...dan jelas ia mencabul perjanjian, kata Lee Hong-ki, pegawai Kementerian Pertahanan Korea Selatan.

Stesen televisyen YTN berkata beberapa rumah terbakar dan peluru masih lagi menghujani pulau Yeonpyeong.

Stesen berkenaan menyiarkan gambar asap tebal di ruang udara pulau terbabit, yang mempunyai antara 1,200 hingga 1,300 penduduk. -AP/Reuters

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.