Tuesday, November 2, 2010

Letusan Gunung Merapi Terus Berlaku


Keadaan menjadi kecoh, penduduk lari bertempiaran

JAKARTA: Gunung berapi Merapi di Jawa Tengah sekali lagi meletus dan memuntahkan awan debu semalam, menyebabkan beribu-ribu penduduk yang kembali ke kampung untuk meninjau kemusnahan bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri.

Pegawai pengurusan bencana, Rusdiyanto berkata bunyi siren dan pembesar suara menyebabkan sebilangan penduduk yang ketakutan terjun ke sungai untuk mengelak suhu panas, manakala yang lain lari dari kaki gunung atau memecut kenderaan masing-masing.

“Letusan selama tiga minit itu menyebabkan abu panas berwarna kelabu mengalir ke bahagian selatan dan timur Merapi hingga sejauh enam kilometer,” kata pegawai agensi pemantau gunung berapi, Subandriyo.

Letusan gunung itu setakat ini mengorbankan 38 nyawa. Bagaimanapun belum ada kemalangan dilaporkan.

Krisis berlaku ketika penyelamat akhirnya berjaya menguruskan semula penghantaran makanan dan membantu mangsa cedera akibat tsunami di kepulauan Mentawai di Sumatera Barat selepas dilanda gempa berukuran 7.7.

Jumlah keseluruhan korban kedua-dua bencana alam yang melanda minggu lalu di kedua-dua wilayah dianggarkan 500 orang semalam.

Lebih 53,000 orang dipindahkan dari kawasan letusan gunung berapi Merapi yang meletus Selasa lalu.

Keadaan lebih tenang semalam selepas letusan kuat memuntahkan lahar menuruni gunung, menyebabkan sebuah lapangan terbang berhampiran terpaksa ditutup, manakala seorang lagi terbunuh.

Pada sebelah pagi, warna kemerahan muncul dari puncak gunung, tetapi letusan kuat sejak 48 jam lalu berkurangan kepada gegaran kecil.

Di sebalik amaran daripada pegawai, beribu-ribu penduduk dipindahkan daripada zon bahaya, kembali ke rumah mereka dengan menaiki trak, kereta dan menunggang motosikal untuk meninjau haiwan ternakan di bahagian lebih tinggi di gunung itu.

“Kebun saya musnah sama sekali akibat letusan dan awan tebal. Apa yang tinggal sekarang hanya lembu dan kambing. Saya terpaksa mencari rumput dan memberi haiwan itu makan, jika tidak mereka akan mati,” kata Subarkah yang tinggal kurang dua kilometer dari puncak Merapi.

Pihak berkuasa bertungkus lumus mengarahkan penduduk kampung meninggalkan kaki gunung Merapi. Lebih 2,000 askar dikerah sejak kelmarin bagi memaksa lelaki, wanita dan kanak-kanak berpindah ke tempat selamat.

“Keadaan masih berbahaya. Letusan besar seperti semalam biasanya berlaku selepas keadaan tenang beberapa ketika,” kata ketua Pusat Kajian Gunung Berapi dan Menangani Bencana Alam, Surono. – AP

12 comments:
Write comments
  1. Diharapkan mangsa letusan Gunung berapi terus mendapat bantuan oleh semua pihak.

    ReplyDelete
  2. harap bantuan dapat diberikan kepada mangsa yang memerlukan..

    ReplyDelete
  3. letusan gununf merapi ini telah byk memusnahkan harta benda dan nyawa penduduk. harap keadaan akan pulih dengan segera.

    ReplyDelete
  4. Kerajaan Indonesia perlu memastikan pada hari2 yang berikutnya tidak akan ada lagi nyawa yang terkorban. Jika boleh tempatkan penduduk terlibat di tempat yang lebih selamat.

    ReplyDelete
  5. Kasihan.. namun risiko itulah yang harus dihadapi oleh penduduk2 yang tinggal berdekatan dengan gunung berapi..

    ReplyDelete
  6. Jangan buat sesuatu selagi kerajaan Indonesia tidak memberikan arahan.

    ReplyDelete
  7. Berdoa kepada Tuhan supaya mereka ini selamt dari semua bencana alam yang melanda.

    ReplyDelete
  8. Takziah kepada keluarga mangsa. Tidak tersangka gunung merapi tersebut aktif balik.

    ReplyDelete
  9. Saya harap penduduk2x yang tinggal di kawasan gunung merapi akan dipindah ke tempat yang lebih selamat.

    ReplyDelete
  10. untuk lebih selamat, buka penempatan baru jauh dari kawasan berisiko ini.. halang penduduk atau individu yang masih mahu terus menetap dikawasan gunung berapi.

    ReplyDelete
  11. Kerajaan mereka haruslah memindah penduduk yang tinggal berhampiran gunung berapi kepada lokasi yang lebih selamat.

    ReplyDelete
  12. Semoga tiada masalah serius yang akan menimpa penduduk di sana.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.