Saturday, November 13, 2010

PENDUDUK CABAR JABATAN HUTAN BERDEBAT

PENDUDUK Kg Emahit yang dituduh secara melulu menceroboh kawasan Hutan Simpan Kuala Tomani, Tenom masih belum berpuas hati terhadap keputusan yang telah mereka terima, meskipun ia dilihat agak tidak membebankan keenam-enam tertuduh; Andawan Ansapi, Barani Ambisi, Ansanam @ Azman bin Yapau, Johndy Kawar, Stanely Boyor dan Sarim Arus.



Mereka (tertuduh) tidak sedikit pun menyesali hukuman yang dilaksanakan Majistret malah mereka menganggap hukuman itu setimpal dengan apa yang terkandung di dalam Enakmen Hutan 1968 dan perlu dihormati.

Sebaliknya yang menjadi kekesalan penduduk ialah Enakmen Hutan Simpan yang sudah lapuk dan tidak relevan lagi untuk menggazetkan Hutan Simpan Kuala Tomani dalam situasi sekarang yang sudah botak berpuluh tahun lalu dan terletak di kawasan ‘tanah adat’ penduduk kampung di situ sejak turun temurun lagi.

Jurucakap penduduk Peter @ Phillip Lonok mencabar kerajaan khususnya Jabatan Perhutanan turun padang berdialog dengan penduduk kampung untuk menjelaskan rasional penggazetan kawasan Hutan Simpan Kuala Tomani yang sudah botak dan berada di tengah-tengah tanah adat penduduk kampung.

Jika mereka (Jabatan Hutan) gagal menyahut cabaran penduduk kampung bermakna mereka sengaja melakukan penganiayaan secara terbuka dan mencabul hak asasi manusia sedangkan hak mereka dijamin Perlembagaan Persekutuan.

“Kami juga ada maruah dan ada hak untuk mempertahankan tanah adat kami daripada dicerobohi oleh sesiapa yang tidak berhak. Sebelum kerajaan menggazetkan tanah hutan simpan, kami sudah menduduki kawasan hutan sejak nenek moyang lagi untuk bertani, memburu dan mengumpul damar untuk dibuat minyak. Jadi, kenapa persoalan ini Jabatan Perhutanan tidak mengambil pertimbangan,” tegas Peter Lonok.

KECEWA…. Peter Lonok (kiri) bersama penduduk di luar Mahkamah meluahkan rasa kesal tindakan Jabatan perhutanan.

Lonok seterusnya merasa kesal kerana masalah tanah adat dan juga kedudukan Hutan Simpan yang sudah botak berpuluh tahun lalu tidak diambil perhatian serius oleh dua Wakil Rakyat khususnya di Parlimen dan DUN, yang sepatutnya menjadikan isu tersebut sebagai fokus utama untuk membantu rakyat jelata.

Dalam perbicaraan itu yang berlangsung sejak tahun 2009, hari ini (Jumaat) telah mencatat satu sejarah hitam bagi keenam-enam tertuduh apabila mereka dijatuhi hukuman denda RM1,000 setiap seorang atas tuduhan meceroboh kawasan Hutan Simpan selaras dengan Seksyen 20(1) (C) (1), Enakmen Hutan 1968.

Mereka menyifatkan denda itu terlalu berat bagi mereka sebagai petani yang berteraskan penghidupan seharian, ibarat ‘Kais pagi makan pagi, kais petang belum tentu ada makan’. Kesalahan itu berlaku di kawasan tanah tumpah darah atau lebih jelas lagi tanah tempat menanam tembuni mereka sendiri.

Oleh: MAIL MATHEW (sabahkini)

1 comment:
Write comments
  1. Bagus juga kalau boleh berdebat face-to-face. Bangkitlah isu yang penting.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.