Friday, November 12, 2010

Pelajar merusuh kadar yuran naik

LONDON: Perdana menteri Britain, David Cameron semalam mengecam tindakan ribuan pelajar yang menceroboh Ibu Pejabat Parti Konservatif kelmarin sebagai bantahan terhadap cadangan kerajaan untuk menaikkan yuran pengajian.

Cameron juga mengecam tindak balas polis yang ‘tidak memadai’ dalam menangani rusuhan itu di mana hanya sekumpulan kecil pasukan keselamatan dikerah untuk melindungi bangunan parti yang dipimpin beliau.
Seramai 14 orang cedera dan 35 lain ditahan selepas ribuan penunjuk perasaan bertindak merusuh bangunan pejabat 1960-an itu yang terletak berhampiran bangunan Parlimen.

Penunjuk perasaan bertindak memecahkan kaca dan merosakkan perabot di lobi pejabat parti Konservatif yang memerintah dalam kerajaan campuran dengan parti Liberal Demokrat itu.

Polis mengakui tidak bersedia menghadapi rusuhan itu kerana pihaknya hanya menjangka tunjuk perasaan secara aman.

Insiden kelmarin adalah rusuhan ganas pertama dihadapi kerajaan Konservatif-Liberal Demokrat sejak mengambil alih kuasa pada Mei lalu.
Kerajaan baru-baru ini mencadangkan kenaikan tiga kali ganda yuran pengajian bagi sebagai sebahagian usahanya mengurangkan perbelanjaan.

Kesatuan Kebangsaan Pelajar (NUS) yang berkata sehingga 50,000 orang menyertai tunjuk perasaan itu, turut mengecam tindakan segelintir daripada mereka yang merusuh pejabat parti Konservatif itu.

Bercakap di Seoul, Korea Selatan ketika menghadiri sidang kemuncak Kumpulan 20 (G-20), Cameron berkata, mereka yang bertanggung jawab terhadap rusuhan terbabit perlu dikenakan tindakan.

“Sudah semestinya mereka berhak mengadakan tunjuk perasaan secara aman tetapi saya melihat ada di kalangan mereka yang menggunakan keganasan dan merosakkan harta. Tindakan ini sama sekali tidak boleh diterima,” katanya kepada Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Dalam rusuhan terbabit, beberapa penunjuk perasaan dilihat menaiki bumbung bangunan enam tingkat yang menghadap sungai itu dan membaling pemadam api ke arah polis di bawah ketika beratus pelajar lain bersesak memasuki pekarangan bangunan terbabit sambil membakar unggun api sepanduk.

Seorang pegawai polis wanita dilihat dibawa keluar dengan darah memenuhi mukanya.

Selepas beberapa jam polis rusuhan akhirnya berjaya mengawal semula bangunan dan memaksa pelajar berundur. Selepas penunjuk perasaan itu diusir, lobi bangunan terbabit dilihat dipenuhi kaca yang pecah, serpihan dan kayu sepanduk dengan meja berselerak, saluran udara siling diruntuhkan dan contengan lukisan menghina disembur pada dinding marmar. – AFP

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.