Hukuman penjara selama 55 tahun enam bulan yang dikenakan kepada seorang lelaki atas kesalahan merogol 12 tahun lalu memberi pengajaran yang amat berharga buat dirinya.
Bagi Hamid, 56, walaupun dia menyesal dengan perbuatannya itu namun sudah terlambat dan kini dia reda menjalani hukuman di sebalik tirai besi di Penjara Penor.
Menurutnya, dia tidak akan mengimbau kisah hitam lalu bagi mengelak jiwanya tertekan dan apa yang berlaku sudah lama dilupakan selepas dia melangkah masuk ke dalam penjara.
“Selepas 12 tahun meringkuk di dalam penjara ekoran terbabit dengan kes rogol sebanyak tiga kali, saya kini semakin dapat menerima hakikat sebagai seorang banduan.
“Saya akui terlalu banyak pengajaran diperoleh sepanjang berada dalam penjara yang mampu membuka laluan kepadanya membina kehidupan lebih bermakna kira-kira 39 tahun akan datang apabila dibebaskan kelak,” katanya.
Hamid yang berasal dari Pekan berkata, dia bernasib baik kerana disebabkan faktor usia dia tidak dikenakan hukuman rotan.
“Bagaimanapun, pada peringkat awal dijatuhi hukuman penjara, saya seperti macam orang gila hingga terpaksa mendapat rawatan sebagai pesakit jiwa.
“Keadaan diri saya semakin pulih apabila mula mendalami agama Islam dan sentiasa mengaji,” katanya.
Hamid berkata, pengisian dalam aspek keagamaan disediakan pihak penjara berjaya mengembalikan semangatnya untuk meneruskan sisa hidup sebelum dibebaskan pada usia lebih 80 tahun nanti.
“Hukuman saya terima ini perlu dijadikan pengajaran yang mampu menimbulkan rasa gerun kepada lelaki yang bercadang untuk terbabit dengan jenayah rogol.
“Kalau umur saya panjang dan dibebaskan, saya mahu mengusahakan ternakan ikan sangkar. Itu pun kalau umur panjang, kalau tidak, saya reda mati sebagai banduan yang menghuni Penjara Penor,” katanya.
Hamid berkata, sebelum ini dia ada membuat rayuan memendekkan hukuman tetapi tidak diluluskan.
-sinar harian
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.