Monday, September 22, 2014

Mungkinkah Azmin ganti Khalid?

Timbalan presiden PKR Azmin Ali dijangka mengangkat sumpah esok sebagai menteri besar Selangor yang baru esok, beberapa sumber memberitahu Malaysiakini.

Majlis angkat sumpah akan berlangsung di Istana Alam Shah, Klang jam 10 pagi esok.

Sidang media dijangka diadakan oleh Azmin sebagai MB baru sejurus selepas majlis angkat sumpah.

Beliau juga dijangka akan menemui beberapa pemimpin parti dan pemimpin tempatan esok.

Sumber-sumber dari pejabat menteri besar menyatakan maklumat itu telah mereka diterima, namun masih menunggu hebahan rasmi.

"Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menjalani hari terakhir beliau hari ini (Isnin)," kata sumber kepada Malaysiakini.

Khalid dijangka mengadakan sidang media petang ini.

Sementara itu, pihak istana pula dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pemilihan Azmin hari ini.

Satu lagi sumber PKR memberitahu Azmin hari ini mengadakan perbincangan dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan taklimat dan mendapatkan "restu" akhir dari beliau dan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sejak Khamis lalu, PKR setiap hari mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu masih meletakkan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal jawatan itu.

'Tak tepat'

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail menyatakan laporan bahawa Anwar bersetuju memberi laluan kepada Azmin sebagai "tidak tepat".

Beliau menjawab spekulasi media bahawa istana memilih Azmin sebagai menteri besar - sekaligus menyelesaikan penantian lebih dua bulan mengenai pengganti Khalid.

Malaysiakini difahamkan bahawa Azmin sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan Anwar secara peribadi untuk membincangkan hal itu dan mengelak salah faham antara mereka.

Bagaimanapun butir perbincangan peribadi masih lagi tidak dapat didedahkan lagi buat masa ini.

Difahamkan Anwar beberapa kali menyatakan kesediaannya untuk menerima calon kedua PKR sekiranya istana mengambil keputusan menolak Dr Wan Azizah.

Naib Presiden PKR Tian Chua malam tadi menegaskan calon kedua harus mendapat restu dan sokongan parti.

"PKR berdiri teguh di belakang Dr Wan Azizah sebagai pilihan MB kami. Mana-mana nama lain yang dicadangkan, perlu datang dan disokong parti," kata beliau.
"Saya secara khususnya berkata Pakatan Rakyat terbuka untuk menimbangkan pilihan main termasuk Azmin Ali, asalkan proses konsultasi dijalankan.

Chua mengulas demikian sewaktu menafikan laporan The Star yang memetik beliau sebagai berkata 'Azmin tiada sokongan PKR'. -MK

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.