Sunday, September 21, 2014

PKR ibarat perang dengan Istana isu MB Selangor?

PKR terus menafikan dakwaan Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berkompromi dan memberi persetujuan kepada calon lain sebagai menteri besar Selangor.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail menyatakan laporan bahawa Anwar bersetuju memberi laluan kepada Timbalan Presidennya, Azmin Ali sekiranya dipilih sultan Selangor Selasa ini, tidak tepat.

"Sebagai menjawab beberapa dakwaan yang timbul akibat laporan-laporan media berkenaan isu pelantikan menteri besar Selangor yang baru, saya menegaskan bahawa PKR berpegang teguh kepada keputusan parti yang telah dibuat sebelum ini termasuk seperti yang dipersetujui di dalam mesyuarat Biro Politik minggu lalu.

"Oleh yang demikian, calon PKR bagi jawatan menteri besar Selangor yang baru tidak berubah iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata PKR kekal dengan pendirian mereka dan setia mempertahankan perlembagaan negeri bahawa seorang menteri besar haruslah mempunyai sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri.

Ini kerana Wan Azizah telahpun mendapat sokongan majoriti dewan melalui perakuan bersumpah bulan lalu.

"Keputusan dan pendirian PKR adalah atas kepercayaan mempertahankan undang-undang tubuh Selangor dan sistem raja berperlembagaan.

"Makanya sebarang berita tidak wajar disebarkan untuk memberi gambaran bahawa PKR berganjak dari keputusan mempertahankan undang-undang tubuh Selangor dan sistem raja berperlembagaan ini," kata beliau

Beberapa media melaporkan Azmin telah pun mendapat persetujuan lisan dari Anwar dan PKR untuk menggalas tugas itu.

PKR sebelum ini turut menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan perbincangan perkara itu hanyalah melibatkan "senario" sahaja dan bukannya keputusan.

Malaysiakini difahamkan bahawa Azmin telah pun bertemu Anwar secara peribadi untuk membincangkan hal itu dan mengelak salah faham antara mereka.

Sumber dari kem Azmin turut memberitahu Malaysiakini bahawa "perbincangan" tersebut masih lagi berterusan.

Bagaimanapun butir perbincangan peribadi masih lagi tidak dapat didedahkan lagi buat masa ini.

Azmin sebelum ini secara terbuka menyokong pencalonan Wan Azizah sebagai menteri besar walaupun dicalonkan oleh PAS dalam mesyuarat mereka bulan lalu.

-MK

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.