Sunday, September 28, 2014

Abby Abadi sudah punya teman baru?

SEBUT sahaja nama selebriti ini, pastinya ramai yang mengaitkan dirinya dengan kisah-kisah kontroversi berhubung konflik antara bekas suami, Muhammad Noor Farhan Che Bakar.

Namun, di sebalik kisah penceraian dan tuntutan hutang, Abby Abadi tidak menjadikan perkara itu sebagai penghalang untuk mengecap kegembiraan.

Malah, sejak akhir-akhir ini, Abby tidak keberatan untuk berkongsi wajah insan yang rapat dengannya termasuk di laman sosial.

Walaupun sebelum ini, Abby pernah menegaskan bahawa kehadiran Ustaz Khairul Azli ini sekadar teman biasa, namun kemesraan mereka jelas terpancar.

Menerusi beberapa foto yang dirakam ketika sambutan hari lahir temannya baru-baru ini, Abby turut memberi kejutan buat Khairul Azli.

Melihat kepada belon-belon berbentuk love dengan tulisan u are my sunshine itu, pastinya ramai yang mengagak pasangan ini bukanlah sekadar kawan biasa.

Pun begitu, Abby turut menjelaskan perkara ini di laman Instagram, agar ianya tidak membawa spekulasi liar di kalangan masyarakat mahupun peminat.

"Kami kawan biasa tapi dia punya tempat istimewa di hati saya. Kerana apa? Kerana dia selalu ada di saat saya memerlukan teman bicara.

"Sejujurnya saya memang sayangkannya sebab kami kawan lama. Dari zaman 'lagha' sehingga saya berhijrah. Sampai saya berkahwin hinggalah saya bercerai. Dia tak pernah tak ada bila saya perlukan.

"Baiknya dia, tak pernah berburuk sangka kepada saya sehingga saya rasa bersalah sangat," katanya yang mengakui akan bercerita lebih lanjut sekiranya diizinkan ALLAH SWT satu hari nanti.

Tambah Abby, berkenaan sambutan hari lahir itu, dia tidak merasakan ia sebagai satu kesilapan.

"Di mana silapnya kalau saya meraikan hari jadi dia? Saya ada mengganggu sesiapa ke untuk menggembirakan hati teman saya ini? Bila kita sayang seseorang tak salah kita tunjukkan. Sekurang-kurangnya, kalau saya dah tiada nanti, ada kenangan untuk dia.

"Kenapa mesti berprasangka yang tak sudah-sudah ya? Orang lain pun ada kawan lelaki, siap berpeluk sakan lagi. Tapi kami tak sebab kami takutkan ALLAH SWT.

"Saya dah jelaskan, dia bukan teman lelaki baharu saya. Tapi, kalau ada jodoh, ALLAH Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya. Tapi, di saat saya menulis tentang ini, kami berstatus kawan sahaja. Harap penjelasan ini sedikit sebanyak dapat menutup prasangka
yang bukan-bukan," tulisnya lagi.

Sebelum ini, Abby pernah memberitahu mereka sudah berkawan sejak empat tahun lalu di mana Khairul Azli merupakan tenaga pengajarnya dan anak-anak mengaji Al-Quran.

-sinar harian

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.