Tun Dr Mahathir Mohamad membuat pengakuan kepada badan bukan kerajaan (NGO) tentang kebimbangan beliau melihat Barisan Nasional (BN) kalah pada pilihan raya akan datang sekiranya Datuk Seri Najib Razak terus kekal sebagai perdana menteri.
Presiden Ikhlas Mohd Ridzuan Abdullah sebuah pertubuhan mewakili usahawan dan perdagangan Melayu mendakwa, perkara itu disampaikan oleh Dr Mahathir apabila menyatakan tentang masa depan BN di bawah pentadbiran Najib dalam satu pertemuan berlangsung lebih satu jam.
"Dr Mahathir amat jelas mengenai hal ini. Beliau menegaskan pendiriannya untuk tidak menyokong perdana menteri.
"Beliau menyatakan BN akan kalah dalam PRU14 sekiranya peranan Najib berterusan," kata Ridzuan kepada The Malaysian Insider hari ini.
Katanya pertemuan itu berlangsung semalam di pejabat Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.
Beliau berkata pertemuan itu digerakkan Ikhlas atau Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia yang mahu berjumpa bekas perdana menteri itu untuk menyatakan kebimbangan mereka mengenai ekonomi dan masa depan BN.
Ridzuan memberitahu The Malaysian Insider mereka sebenarnya tidak berhasrat membincangkan kepimpinan Najib, sebaliknya Dr Mahathir sendiri membangkitkan isu tersebut.
"Ia bukan dalam agenda kami namun beliau memberitahu kami, tidak bermakna apabila beliau berjabat tangan bersama Najib atau ambil gambar bersama itu bermaksud dirinya menyokong perdana menteri," katanya.
Beliau berkata selain Ikhlas, pertemuan itu juga dihadiri oleh Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia, Persatuan Pengguna Islam dan beberapa NGO lain.
"Ada segelintir dari kami amat bimbangkan BN dan bertanya apa perlu dilakukan kerana berasa terperangkap di tengah-tengah," katanya.
Dr Mahathir sebelum ini mengkritik kepimpinan Najib dan menarik kembali sokongan kerana saranannya tidak diendahkan namun tidak jelas adakah beliau mahu Najib meletakkan jawatan.
Ridzuan berkata Dr Mahathir memberitahu dalam pertemuan semalam perkara salah perlu dipersoalkan supaya ia boleh dibetulkan.
"Beliau berkata salah tetap salah. Kita mesti mengutarakan perkara itu dan tidak hanya berdiri atas pagar, dan ini jalan untuk kita terus ke depan," kata Ridzuan, menambah NGO Melayu itu juga sudah memohon mengadakan sesi lain bersama Dr Mahathir kelak.
Ridzuan juga berkata kesemua NGO dalam pertemuan itu bersetuju Akta Hasutan 1948 tidak perlu dimansuhkan.
"Kita tidak mahu akta itu dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional. Kita cuba untuk berkempen namun tidak mendapat sambutan.
"Kerajaan seolah-olah tidak berminat. Ini kerugian mereka, pada masa sama pembangkang mendapat liputan meluas. Mereka tidak risau tindakan mereka tidak mendapat ruang dalam media arus perdana kerana akan mendapat sokong melalui media online," katanya.
Beliau berkata Dr Mahathir memulakan pertemuan dengan membuat kenyataan mengenai Najib, masa depan BN dan masa depan ekonomi kaum Melayu.
Beliau menjangka Malaysia akan menjadi negara pengguna dan bukan kuasa pengeluar.
"Ini kena mengena dengan polisi kerajaan yang membenarkan negara luar membuka perniagaan di negara ini hingga menjejaskan hasil negara. Berbilion duit negara kita keluar kerana perkara ini," katanya. – TMI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.