Sunday, September 14, 2014

Logikkah cadangan Cetak kertas UPSR di UK?

Ahli Parlimen Segambut dari DAP, Lim Lip Eng menggesa Kementerian Pendidikan mendedahkan kepada orang ramai, terutamanya ibu-bapa calon-calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang teraniaya akibat kecuaian ini, siapa dalang yang bertanggungjawab.

“Orang ramai perlu mengetahui siapa yang bertanggungjawab di sebalik kes kebocoran ini dan kenapa ia berlaku,” soal Lip.

Menurutnya lagi, itulah yang sepatutnya dilakukan oleh pihak Kementerian Pendidikan dan bukan buat keputusan mudah dan pemalas dengan mencadangkan supaya kertas peperiksaan dicetak di United Kingdom (UK).

“Cadangan mencetak kertas soalan di UK adalah cadangan pemalas. Cuba jangan iyakan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad. Usahalah lebih sedikit dan berikan cadangan yang lebih bernas, dan bukan cadangan pemalas,” katanya dalam satu kenyataan kepada FMT.

Tambah beliau, kes kebocoran soalan peperiksaan UPSR telah menimbulkan kemarahan ramai pihak, terutama ibu-bapa calon-calon UPSR tahun ini.

“Namun cadangan mencetak kertas peperiksaan UPSR di UK seperti yang dilaporkan media, tidak lain adalah perbuatan mengarut dan membazir serta merupakan satu cadangan dangkal yang tidak pun menangani masalah kebocoran soalan peperiksaan tersebut.

“Jika cadangan sebegini boleh dipertimbangkan, tidak hairan bagaimana tugas mudah menyimpan rahsia soalan peperiksaan pun tidak dapat dilaksanakan,” jelasnya.

Soalnya lagi, adakah kes soalan bocor juga mahu dijadikan alasan untuk mencipta peluang mewujudkan projek baru.

“Soal integriti penjawat awam adalah persoalan utama dalam hal ini. Bukan soal cetak di mana. Kalau sudah wujud sikap tidak amanah yang membarah di kalangan penjawat awam, cetak di mana-mana pun akan ada orang yang bocorkannya,” katanya.

Ujarnya, integriti harus dibina dari dalam kementerian dan agensi-agensinya dengan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab.

“Heret mereka ke mahkamah atas pertuduhan jenayah dan sumbat mereka ke penjara memandangkan tindakan memecat orang seperti ini nampaknya tidak memberikan kesan,” jelasnya.

-fmt

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.