Sunday, October 17, 2010

ANSARI GALAS BEBAN PKR DI BATU SAPI ?

JIKA saranan Ketua Cabang PKR Batu Sapi, OKK Hassnar MP Ebrahim diterima pucuk pimpinan PKR Pusat, maka 99.99 peratus, Haji Ansari Abdullah akan diturunkan untuk menggalas beban PKR menentang calon Barisan Nasional pada pilihanraya kecil yang diadakan serentak dengan DUN Galas, Kelantan pada 4 November 2011 kelak.

Pemilihan Ansari, sebagai tokoh yang terlalu banyak jasa kepada penduduk Batu Sapi, terutama yang selama ini ditindas Kerajaan Barisan Nasional, sekalipun mereka tinggal di atas tanah rizab kampung, namun dijenamakan semula sebagai ‘Setinggan’.

Dengan yuran yang telalu minima dan seringkali percuma, Ansari telah membantu ramai penduduk kampung memfailkan saman dan mewakili mereka di mahkamah tanpa mengharapkan sebarang balasan; apatah lagi beliau telah lama kenal hati budi penduduk Batu Sapi ketika menjadi Ketua Perhubungan PKR Negeri Sabah suatu masa dahulu.

Walaupun ramai calon berminat, terutama kumpulan serpihan yang gagal dalam pemilihan pucuk pimpinan parti baru-baru ini, akan turun sebagai calon bebas atau mewakili parti lain, namun Ansari akan mampu menghadapi rintangan yang datang menghadang dan pembelotan yang datang menghujan.

Faktor demarkasi atau garis sempadan kawasan diwakili bukan lagi faktor dominan dalam politik Sabah kerana kematangan politik rakyat Sabah yang mula menerima calon dari daerah lain untuk bertanding di kawasan mereka.

Sekalipun Ansari pernah melalui beberapa pilihanraya umum, namun belum pernah memenangi sebarang kerusi, tetapi senario kali ini amat berbeza kerana ‘Aura’ kebangkitan kuasa rakyat melalui Pakatan Rakyat, mula mewarnai politik Sabah yang selama ini didominasi Barisan Nasional.

Pakej yang ada pada Ansari untuk memperjuangkan hak dan maruah rakyat Batu Sapi yang selama ini diabaikan ADUN Karamunting dan ADUN Sekong; sudah menjadi modal permulaan bagi para pengundi memilih beliau; apatah lagi kebanyakan penduduk Batu Sapi memerlukan Ansari untuk menuntut hak mereka di mahkamah.

Kemungkinan untuk bertemu Presiden SAPP, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee dalam pilihanraya kecil ini mungkin tidak dapat dielakkan, namun ibarat buku bertemu ruas. Peluang Ansari dilihat lebih cerah jika pengundi Cina mengundi Yong dan Thien Fui Yun dan pengundi bumiputera solid memilih Ansari.

Para pengundi Cina amat menyukai dan menghormati Ansari kerana telah membantu Mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Chong Kah Kiat dalam kes Mazu.

Jika Ansari dapat mencuri kepercayaan 30 peratus masyarakat Cina, beliau akan menang dengan majoriti besar.

Dalam hal ini, Yong atau SAPP sepatutnya belajar mengenal kawan dan menghormati lawan sebagai persediaan untuk turun sebagai ‘Lone Ranger’ pada pilihan raya umum akan datang atas faktor ketidakboleh percayaan kepada Gabungan Pakatan Rakyat yang rapuh di Sabah.

Dengan sokongan padu Ketua Cabang Batu Sapi dan seluruh jentera canggihnya, PKR sudah pasti dapat merampas Batu Sapi dengan bergaya daripada PBS-BN yang semakin kehilangan rentak dan tidak mempunyai modal untuk menangkis serangan PKR.

Sebagai ahli politik veteran yang bukan sahaja kelihatan bersih, malah berbau bersih, Ansari belum pernah terjebak dengan sebarang ‘Skandal Moral’ atau menderhaka kepada parti yang disertainya; malah takut menjadi penderhaka kepada negara apabila enggan melibatkan diri dalam Skandal IC Projek sebagaimana pemimpin Sabah yang lain.

Ketokohan Ansari sukar ditandingi mana-mana calon, sekalipun akan difitnah sebagai ‘Bidan Terjun’ kerana status-quo semua calon yang bakal mewakili parti masing-masing adalah sama kerana bukan bermastautin di Batu Sapi, sebaliknya datang daripada daerah lain.

Dengan sokongan padu ahli PKR Cabang Batu Sapi dan Majlis Pimpinan Negeri, Ansari dijangka membuat kejutan pada pilihanraya kecil ini sekalipun tentangan daripada BN bukan kepalang.

Kemelut yang membelenggu BN selama ini seperti tindakan kejam meroboh rumah penduduk; merampas tanah rizab; masalah bekalan elektrik, jalanraya dan menangani masalah sosial di Batu Sapi menyebabkan BN akan merasa semakin tertekan.

Senario ini akan digunakan sebaiknya untuk mencantas peluang dengan memintas beberapa strategi BN dan calon Bebas yang tidak mempunyai modal politik; malah tidak mampu menunaikan cek tendang yang ditinggalkan Edmund Chung yang gagal memperjuangkan hak rakyat Batu Sapi selama ini.

Kematangan politik Ansari begitu ketara kerana beliau bukan sahaja tidak pernah terlibat mengeluarkan walau satu inci kad pengenalan kepada warga asing, malah tidak pernah menyentuh isu berkenaan; berbanding Yong dan Thien yang menjadikan isu berkenaan sebagai ‘modal basi’ mereka selama ini di celah puluhan ribu ‘Fixed Deposit’ BN yang bertebaran di Batu Sapi.

Strategi Pengundi Hantu BN mungkin tidak berjaya pada kali ini kerana sudah pastinya OKK Hassnar sanggup melakukan apa sahaja untuk menjinak ‘Hantu’ yang dipelihara BN selama ini dan memenangkan Ansari yang sudah lama bertekad, ‘Do or Die’.

Kendatipun PAS mula berminat untuk meletakkan calon sebagai pengajaran kepada PKR yang gagal meletakkan sebarang calon sejak dua pilihanraya lalu di Batu Sapi, namun ia tidak ubah seperti rebut dalam cawan yang akan reda sendirinya!

Oleh: MUTALIB M.D (sabahkini)

15 comments:
Write comments
  1. rakyat pasti dapat menilai dengan baik siapa yang layak mewakili mereka nanti. kepada semua yang bertanding perlulah menunjukkan komitmen yang tinggi untuk berbakti kepada masyarakat.

    ReplyDelete
  2. Semoga pilihan raya kecil Galas akan berjalan lancar.

    ReplyDelete
  3. piliharaya batu Sapi nampakanya akan berlangsung dgn sengit. kita lihat sahaja keputusannya nnti.

    ReplyDelete
  4. Tidak meminta balasan?Saya tidak percaya dengan Ansari sekiranya tidak meminta balasan. Senang cerita balasannya ialah pilihlah aku jadi pemimpin mu. Itu yang sebenarnya diinginkan oleh mereka.

    ReplyDelete
  5. kita lihat sahaja nnti samada benar Ansari menjadi pilihan utama rkyat.

    ReplyDelete
  6. terserah kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang mereka suka. harap pilihan raya tersebut akan berjalan dengan lancar..

    ReplyDelete
  7. wow..nampak gaya seperti pemimpin yang bagus kepada rakyat. harap bukan rekaan semata-mata. kalau dia jahat puji macamana pun rakyat tidak pandang. tapi kalau dia baik, berbuat baik dibalas baik..

    ReplyDelete
  8. Kalau Ansari memang mendapat sokongan rakyat apa salahnya. Teruskan perjuangan anda.

    ReplyDelete
  9. Apa pun diharap pilihan raya kecil yang bakal berlangsung tidak akan menimbulkan kekecohan dikalangan pemimpin.

    ReplyDelete
  10. bila masa BN menindas rakyat Batu Sapi? setahu saya rakyat Batu Sapi telah menikmati kemajuan pesat di bawah pimpinan BN, termasuk kemudahan asas dan bantuan lain seperti subsidi untuk nelayan dsb. sebab itu Batu Sapi dikenali sebagai kubu kuat BN.

    ReplyDelete
  11. BN mempunyai banyak kelebihan jika dibandingkan dengan parti2 lain, salah satunya adalah kemampuan BN sebagai sebuah parti pemerintah yang mampu membawa pembangunan di Batu Sapi.

    ReplyDelete
  12. Baik kita tunggu dan lihat, PRK tidak lama lagi.

    ReplyDelete
  13. Susah untuk mencari penganti apatah lagi beliau adalah seorang yang baik hati dan tidak mempunyai rekod hitam sepanjang beliau memimpin di Batu Sapi.

    ReplyDelete
  14. Semoga rakyat batu sapi akan memilih calon yang terbaik untuk mereka. Pilihan mereka akan menentu masa depan mereka.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.