Thursday, October 7, 2010

PRK Galas: SPR pilih tarikh ikut kehendak Umno?

Ada ketika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu peratusan keluar mengundi lebih ramai, namun dalam masa yang sama hari mengundi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas diadakan pada hari bekerja.

Ia seumpama kata orang cakap tidak serupa bikin. Malah ada pihak menggambarkan SPR mempunyai tuan yang lebih berkuasa iaitu pemimpin Umno.


Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamad Fadzli Hassan (kiri) berkata, SPR sepatutnya mengambil kira banyak situasi dalam menentukan tarikh pilihan raya kecil Dun Galas termasuk persidangan Dun Kelantan.


“Ketika itu persidangan Dun Kelantan sedang berlangsung dan perasmiannya akan disempurnakan Al-Sultan Kelantan pada 1 November.


“Persidangan Dun diadakan bermula 1 hingga 8 November. Saya hairan mengapa SPR tidak mengambil kira perkara tersebut. Tentunya program besar seperti itu ada dalam pengetahuan mereka,” katanya di sini.


Hari ini SPR menetapkan tarikh pilihan raya kecil Dun Galas, Gua Musang diadakan pada hari Khamis, 4 November depan, manakala penamaan calon pada hari Selasa, 26 Oktober ini.


Perkara itu diumumkan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar di Putrajaya.


Pada pilihan raya tersebut SPR menggunakan Daftar Pemilih Induk 2009 dan digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama dan Suku Tahun Kedua 2010.


Jumlah pengundi seramai 11,553 orang, di mana 27 daripadanya merupakan pengundi pos.


Dr Fadzli yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, SPR sepatutnya mempamerkan sikap tidak berpihak dalam menentukan tarikh pilihan raya kecil.


Bagaimanapun katanya, PAS tetap akan meneruskan cabaran bagi mempertahankan Dun tersebut dengan menggerakkan seluruh jentera PAS dengan dibantu Pakatan Rakyat dari seluruh negara.


”Kita tahu Umno akan menggunakan sepenuhnya jentera kerajaan Malaysia bagi berdepan dengan PAS pada pilihan raya tersebut,” katanya.


Satu sumber pula memberitahu mesyuarat penyelarasan jabatan-jabatan kerajaan pusat bagi membantu kempen calon BN telah diadakan termasuk membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam dan Hal Ehwal Pengguna.

Yang Dipertua PAS Bachok, Datuk Omar Mohamed berkata, tindakan SPR menetapkan hari pengundian pada hari bekerja tentunya akan menyukarkan orang ramai keluar mengundi.


”Saya pun hairan sebelum ini SPR berkempen supaya pengundi keluar mengundi, namun dalam masa yang sama ditetapkan hari mengundi di Galas pada hari Khamis,” ujarnya.


Menurutnya keadaan itu tentunya sedikit sebanyak menyukarkan pengundi keluar mengundi lebih-lebih lagi Dun Galas meliputi kawasan yang luas.


Naib Yang Dipertua PAS Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi (kanan) berkata, SPR tidak sensitif terhadap persidangan Dun Kelantan yang juga berlangsung pada hari tersebut.


Katanya, tarikh persidangan Dun sudah lama ditetapkan dan SPR mustahil tidak mengetahui perkara itu kalau merujuk terlebih dahulu kepada kerajaan negeri.


Namun kata beliau apa yang jelas SPR lebih mengambil kira perkembangan yang berlaku dalam Umno dalam menentukan segala tindakan.


Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, tarikh penamaan calon dan hari mengundi di Galas bertindan dengan tarikh sambutan ulangtahun ke-20 kerajaan PAS Kelantan.


”Program itu merupakan satu program besar di peringkat negeri. Selain itu ia bertembung dengan tarikh persidangan Dun yang bermula 1 November ini,” katanya di Kota Darulnaim.


Menurutnya SPR hanya mengambil kira persidangan Agung Umno, sedangkan ia adalah urusan parti.


”Nampak sangatlah SPR tidak peka terhadap program kerajaan di Kelantan. Sepatutnya mereka lebih peka hal sebegini,” kata beliau. -HD

23 comments:
Write comments
  1. Jika hari pilihan raya itu diadakan pada hari bekerja, diharapkan majikan akan membenarkan pekerja mengambil beberapa jam untuk tujuan mengundi.

    ReplyDelete
  2. Selamat berjuang dan selamat mengundi.

    ReplyDelete
  3. semoga proses pengundian berjalan dengan lancar. pengundi juga perlu menunaikan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi pada hari pengundian.

    ReplyDelete
  4. sebaiknya SPR menetapkan tarikh yang benar2 sesuai untuk mengundi. harap proses pengundian berjalan tanpa sebarang masalah.

    ReplyDelete
  5. jangan jadikan itu sebagai alasan, jika benar rakyat menyokong PAS, kemenangan tetap akan berpihak kepada PAS walaupun tarikhnya tidak sesuai..

    ReplyDelete
  6. adakah sokongan rakyat berdasarkan tarikh? berubahkah sokongan rakyat terhadap mana2 parti jika tarikh diubah? jadi, tidak perlu risau dan beri tumpuan kepada usaha memperkasakan parti.

    ReplyDelete
  7. Tarikh itu tidak penting sangatlah, tidakkan kerana tarikh pun mahu jadi isu politik. Yang penting pada masa itu semua orang di Galas dapat menunaikan tanggungjawap mereka. Itu sudah cukup bermakna untuk semua.

    ReplyDelete
  8. Yang penting, semua parti berjuang secara bersih dan adil.

    ReplyDelete
  9. For goodness' sake, it's just a bloody date!

    ReplyDelete
  10. Politik dan rakyat, yang penting sokongan yang diberikan hanya kepada yang betul2 berjuang untuk rakyat...jangan sampai sendiri merana kerana salah memilih calon.....

    ReplyDelete
  11. janganlah mahu mengaitkan satu pihak dengan pihak lain. Itu keputusan SPR jadi terima sajalah. Adakah PAS takut dengan UMNO sehingga banyak isu-isu keluar.

    ReplyDelete
  12. Kalau nak buat pada hari bekerja, jadikanlah ia hari cuti umum sebagai ganjaran kepada mereka yang keluar mengundi. Kalau pergi mengundi selepas itu sambung bekerja, tidak relevan. Ramai orang berkata ia hanya satu 'tarikh' sahaja, namun jika benar2 pengundian jatuh pada hari bekerja, adakah anda ingin turun padang?

    ReplyDelete
  13. Jadi saya lihat tindakan SPR ini memang berbaurkan strategi supaya hanya satu pihak saja yang banyak keluar mengundi. Cuma parti mana sebagai dalangnya kita tidak tahu.

    ReplyDelete
  14. jika itu keputusan SPR, terima sajalah, rkyat yg akan menentukan siapa yang menang dalam pilihanraya ini.

    ReplyDelete
  15. jari, kemenangan sesebuah parti bukan disebabkan tarikh. kalaupun bilangan orang yang mengundi itu sedikit, jika semua rakyat menyokong PAS, pasti kemenangan tetap berpihak kepada PAS. lagipun ini bukan kali pertama hari mengundi dijalankan pada waktu bekerja.

    ReplyDelete
  16. apa pun, jika kena pada hari bekerja maka majikan haruslah memberikan kebenaran/pelepasan kepada pekerja mereka untuk mengundi.

    ReplyDelete
  17. yang penting, pengundi di kawasan Galas haruslah menunaikan tanggungjawab mereka..

    ReplyDelete
  18. SPR juga haruslah lebih telus dalam menunaikan tanggungjawab mereka dan haruslah bersikap neutral dengan tidak berpihak kepada mana2 pihak yang bertanding..semoga PRK Galas akan berjalan lancar.

    ReplyDelete
  19. Rakyat perlulah mengundi calon yang berkebolehan supaya calon tersebut mampu memimpin kawasan masing masing ke arah kejayaan.

    ReplyDelete
  20. Masa depan negeri terletak dalam tangan anda.

    ReplyDelete
  21. neiji sheito, misalkanlah hari mengundi betul2 jatuh pada hari bekerja, adakah anda sanggup turun padang? walhal hari sebelumnya juga merupakan hari bekerja, sanggup anda dari jauh balik kampung hanya untuk mengundi? (misalkan anda kerja jauh dari tempat asal)

    ReplyDelete
  22. Jadi, berbalik kepada komen saya sebelum ini, kalau pun betul SPR terpaksa mengadakan pengundian pada hari itu juga, berikan mereka ganjaran. mungkin bekerja setengah hari atau cuti berbayar. saya yakin anda pun tidak mahu jalan jauh tanpa apa2 pulangan. saya pun manusia juga.

    ReplyDelete
  23. Harap SPR buat langkah yang terbaik tanpa mementingkan mana2 pihak.. Keputusan SPR boleh menjadi salah satu faktor kemenangan dan kekalahan suatu parti.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.